Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Feb 14, 2008

Raikan Cinta: Menelusuri Pengorbanan Valentinus

oleh; Zun-Nun

Hari ini, warga dunia meraikan cinta. Anak yang kasihkan ibu, isteri yang cintakan suami dan jejaka yang merindui dara pujaan lazimnya akan menghadiahkan kad, bunga ataupun sekotak coklat buat insan-insan yang dikasihi ini.

Sambutan Valentine seharusnya dilihat dan dirai dengan memahami pengorbanan seorang individu yang dizalimi kerana perjuangannya dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kebebasan manusia.

Berdasarkan catatan sejarah, Valentine’s Day dikatakan bermula seawal zaman empayar Rom. Tamadun Rom purba memperingati 14 Februari sebagai tarikh mengenang Juno, Ratu Dewa Dewi Bangsa Rom. Juno dimuliakan oleh mereka sebagai Dewi Perkahwinan. Hari esoknya iaitu 15 Februari menandakan bermulanya Pesta Lupercalia. Antara amalan pada waktu itu ialah pertandingan mencabut nama perawan. Pada malam menjelang pesta Lupercalia, nama-nama perawan Rom akan ditulis di atas secebis kertas seterusnya dimasukkan ke dalam sebiji balang. Setiap seorang pemuda akan mencabut secebis kertas di dalam balang dan pemilik nama yang tercatit pada kertas tersebut akan menjadi pasangan sang pemuda sepanjang sambutan Lupercalia. Adakalanya, hubungan yang dijalin melalui praktik ini berakhir dengan perasaan cinta dan seterusnya membawa pasangan-pasangan tersebut ke jinjang pelamin.

Pada zaman tersebut, kehidupan para pemuda dan gadis diasingkan dan dikawal dengan ketat. Di bawah pemerintahan Maharaja Claudius II, banyak kempen peperangan dan pertumpahan darah telah terjadi. Masalah utama yang dihadapi oleh Claudius ketika itu ialah kesukaran dalam merekrut anak muda untuk menjadi tentera negara. Para pemuda enggan terlibat dalam perang kerana mereka tidak ingin meninggalkan keluarga dan kekasih mereka.

Dalam usahanya untuk menambah jumlah tentera bagi menghadapi peperangan, Claudius mengeluarkan satu dekri yang mengharamkan amalan pertunangan dan perkahwinan di kalangan penduduk Rom. Ini menimbulkan kemarahan ramai memandangkan arahan tersebut bersifat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Namun begitu, dalam senyap-senyap seorang paderi bernama Valentinus membantah arahan tersebut. Beliau tanpa gentar meneruskan tugasnya mengahwinkan pasangan-pasangan muda yang sedang bercinta dalam suasana sulit dan tertutup.

Malangnya, hal ini sampai ke pengetahuan Claudius. Valentinus ditangkap dan dihumban ke penjara. Pemerintah Rom menjatuhkan hukuman bunuh terhadap beliau atas kesalahan melanggar dekri maharaja. Sepanjang beliau dikurung di penjara, ramai pasangan kekasih datang menziarahinya. Mereka menghiburnya dengan kata-kata semangat, menulis nota cinta serta menghadiahkan kuntuman bunga kepadanya. Antara pengunjung setia Valentinus sepanjang beliau dipenjara ialah anak gadis kepada pengawal penjaranya. Gadis itu menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menemani dan berbual dengan Valentinus. Beliau menganggap apa yang dilakukan oleh Valentinus merupakan satu pengorbanan yang sangat mulia.

Menjelang hari kematiannya pada tanggal 14 Februari, sekitar tahun 269 Masihi, Valentinus meninggalkan secebis nota kepada gadis tersebut yang diakhiri dengan ungkapan: “cinta dari Valentinusmu”. Adalah dipercayai, nota yang ditinggalkan oleh Valentinus ini merupakan titik tolak kepada tradisi mengirim ucapan cinta sempena Hari Valentine yang diraikan pada tanggal 14 Februari setiap tahun. Ianya sebagai memperingati pengorbanan Valentinus dalam memperjuangkan cinta, salah satu fitrah manusiawi yang bersifat universal.

Apa yang penting bukanlah isu sejarah Hari Valentine yang dilatari oleh riwayat kehidupan seorang paderi Kristian, tetapi nilai pengorbanan serta keteguhan prinsip seorang individu bernama Valentinus yang mati dengan keyakinannya bahawa cinta sesama manusia tak mungkin bisa dihalang hatta oleh kekangan dari pemerintah yang zalim.

Kini, setiap 14 Februari, manusia meraikan cinta. Dan setiap kali mereka mengenang bagaimana Claudius cuba ‘membunuh’ cinta, mereka akan mentertawakannya. Bagaimana mungkin cinta mampu dibunuh? Cinta itu hakikat. Cinta itu pengikat.

p/s - Bercintalah mengikut apa yang telah dilandaskan oleh agama masing-masing...

3 comments:

Anonymous said...

Cantiknya gambar keluarga bahagia. Puterimu mirip bondanya.

Anonymous said...

Thannks Fatiah... mestilah anak bonda

Anonymous said...

Bila nak tambah ahli keluarga lagi...