Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Jun 19, 2008

Burung Yang Terbang

Lagu Puisi oleh Kumpulan Daksina
video
Kepada pengunjung Suara Sang Minda... kumpulan Daksina memerlukan pandangan, komen dan cadangan anda untuk meningkatkan kualiti lagu-lagu puisi ciptaan Daksina.... Terima kasih.

Ada lah seorang lelaki datang ke sebuah rumah untuk meminta derma. Derma untuk rumah orang-orang tua. Seorang budak pun membuka pintu...



Budak : Derma apa ni bang?
Lelaki : Derma untuk rumah orang-orang tua. Adik ada apa-apa untuk didermakan?
Budak : Nanti sekejap saya ambilkan atuk saya.
Lelaki : ?????


p/s : Walaupun kos hidup semakin tinggi, janganlah sesekali kita mengabaikan tanggungjawab terhadap orang tua... Kesian orang tua tu...

Misteri Dan Hebatnya Makna Cantik/Tampan


oleh; Puteri Zulaikha


Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.


Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain. Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular. Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia.


Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam. Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.


Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini. Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa. Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan.


Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara. Jika anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda. Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati.


Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu. Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.


Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu.


Itu saja yang membezakan.



KEAJAIBAN SIDIK JARI (CAP JARI)



Oleh, Zun-Nun

Ilmu pengetahuan moden menyingkap banyak hal yang membuat keimanan seorang mukmin terhadap keterangan Al Quran semakin mantap. Ayat-ayat Allah di dalam Al Quran menjadi benar-benar jelas tergambar dan terbukti kebenarannya manakala kita melihat bukti-bukti nyata dalam alam semesta dankemajuan ilmu pengetahuan.

Dalam kes pembunuhan misalnya, polis dapat mengecam penjahat berdasarkan cap (sidik) jari yang ditinggalkan oleh pelaku di tubuh mangsa. Hal ini disebabkan struktur cap jari setiap orang berbeza satu dengan lainnya.Bila kelak penjahat itu telah ditemukan maka untuk membuktikan kejahatannya cap jarinya akan dicocokkan dengan cap jari yang ada dalam tubuh mangsa Maka si penjahat tidak dapat memungkiri perbuatannya di hadapan polis.

Kerana itu pula seorang yang mahu menggunakan ATM di masa depan mungkin tidak perlu lagi menggunakan kod PIN yang perlu dia ingat. Cukup dengan menaruh telapak tangan di atas mesin yang dapat
mengidentifikasi dirinya. Jumlah wang yang diinginkan pun tidak perlu ditekan-tekan lagi tetapi cukup dengan diucapkan dan komputer akan menterjemahkannya dalam bahasa angka. Berapa jumlah wang yang anda minta akan diberikan dan wang di bank anda akan dipotong dengan sendirinya.

Pintu rumah di zaman yang akan datang tidak perlu lagi dikunci dengan alat kunci tradisional tetapi boleh dibuka oleh alat sensor yang hanya mengenal jari-jari orang tertentu saja... Demikian juga stereng kereta akan mengenal hanya pengemudi tertentu saja karena ada sensor yang mengenal jari pemiliknya.

Keistimewaan pada jari jemari manusia menunjukkan kebenaran firman Allah yang menyatakan bahwa segala sesuatu ada bekasnya. Allah tidak akan mensia-siakan bekas-bekas ini untuk dituntut di akhirat kelak.

"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab Induk yang nyata (Loh Mahfuzh). (QS. 36. Yaasin:12)

Pengetua dan Hubungan Manusia


Oleh; Jafny b. Hj. Jaapar

Fakulti Pengajian Pendidikan


Perhubungan sesama manusia sangat penting diambil perhatian. Hubungan sesama manusia tidak dapat dielakkan. Di peringkat sekolah , kejayaan pentadbiran sesebuah sekolah sangat bergantung kepada cara mana hubungan antara pengetua, pentadbir, guru, pelajar dan ibu bapa dan pihak luar .

Kebanyakan pengetua dan pentadbir telah mengetahui pelbagai teori pengurusan dan ilmu psikologi. Malangnya ramai pengetua tidak aplikasinya di sekolah atau merasakan tidak sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah. ‘Block mental ‘ ini harus diketepikan. Sepatutnya para pengetua mengubahsuai teori-teori yang dipelajari dan tidak mengabaikannya begitu sahaja.

Contohnya :

  • Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru – hanya sekitar 20 ibu bapa yang hadir daripada 2700 bapa yang sepatutnya hadir.
  • Masalah disiplin pelajar. Seringkali ibu bapa menyatakan disiplin anaknya semasa di sekolah rendah amat baik, tetapi apabila bertukar ke sekolah menengah , disiplin anaknya semakin teruk. Dakwaan ibu bapa begini membawa maksud pendidikan sekolah menengah telah merosakkan anaknya.
  • Masalah black metal di kalangan pelajar.
  • Permasalahan politik yang dipegang oleh anak-anak sejak di bangku persekolahan
  • Kecenderungan ibu bapa menghantar anak ke sekolah bercorak agama
  • Penagihan dadah
  • Kemerosotan prestasi pelajar Melayu dalam pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.

Komunikasi Pengurusan

Komunikasi pengurusan ialah proses bagaimana pengetua berkongsi pengalaman dengan guru-guru, kakitangan sokongan, para pelajar dan masyarakat sekitar sekolah. Seseorang pengetua yang berkesan, popular, disukai ramai dan disanjung oleh oleh guru-guru, ibu bapa dan para pelajar, perkara yang diambil perhatian ialah kemahiran berkomunikasi.

Berkomunikasi bukan sekadar bercakap, malahan berdiam diri dan berpakaian juga jenis komunikasi. Pengetua amat memerlukan kemahiran komunikasi pengurusan kerana beberapa faktor :

Menjalin hubungan

Dengan adanya kemahiran berkomunikasi, pengetua dapat menjalin hubungan mesra dengan semua pihak dan proses pengajaran – pembelajaran berjalan lancar.

Semua guru tidak rasa tertekan kerana adanya kemesraan daripada pengetua. Guru-guru merasakan diri mereka dihargai, dikasihi dan dimuliakan.

Semua pelajar lebih mudah berhubung dengan pengetua dan menyalurkan masalah tanpa ada sebarang sekatan. Apabila pelajar dapat menyatakan masalah, maka pengetua lebih mengetahui corak dan asas permasalahan di sekolah. Maka sebarang permasalahan, rasa tidak puas hati lebih mudah diselesaikan. Jadi komunikasi merupakan suatu pelepasan keluhan perasaan emosi dan memenuhi keperluan sosial. Contohnya : • Penyebaran risalah agama Kristian di kalangan pelajar Islam atau bukan Islam. Buku-buku Bible New Tastament diedarkan di luar sekolah dan dibawa ke kawasan sekolah tentu akan menimbulkan isu sensitif di kalangan pelajar terutama sekali di kalangan Islam. Pelajar yang terlibat dapat memberitahu perkara itu dan tindakan dapat diambil dengan cepat . Contohnya melaporkan kepada pihak polis atau pihak berkuasa yang lain.

Saling faham memahami

Melalui kemahiran berkomunikasi, para pengetua lebih saling memahami. Pihak atasan dapat memahami citarasa dan kehendak orang bawahan. Sementara pihak bawahan dapat mengetahui matlamat, objektif dan kehendak yang ingin dicapai oleh pihak atasan.

Segala maklumat sampai secara terus, tanpa melalui pihak ketiga. Komunikasi secara terus dan kerap adalah lebih baik. Jadi tidak akan berlaku penapisan maklumat. Tambahan pula maklumat boleh disampaikan secara formal dan tidak formal. Maklumat yang disampaikan secara tidak formal lebih memberi kesan di dalam ingatan.

Penyebaran maklumat lebih berkesan. Contohnya pengetahuan teknologi, latihan kerja, kewangan , pengurusan dan sebagainya. Pihak bawahan akan berfungsi lebih bebas, lebih kreatif, berkeyakinan dan penuh dedikasi.

Selain itu pembentukan matlamat akan lebih terarah dan terancangan. Pembentukan matlamat yahg merupakan perahan idea pengetua dan guru-guru akan lebih mujarab menyelesaikan masalah di sekolah . Dalam membuat keputusan , mesyuarat dan perbincangan mesti selalu diadakan. Alternatif yang dirumuskan akan diedarkan kepada semua bagi tujuan perbincangan dan maklumbalas. Apabila persetujuan dicapai, ia akan dimeteri , diedarkan dan dilaksanakan.

Mempengaruhi

Satu perkara yang tidak kurang penting ialah pengetua dapat mempengaruhi orang bawahan secara lisan dan secara fizikal. Guru-guru dana para pelajar akan lebih kagum dan terarah fikirannya kerana ‘boss’ begitu dekat dengan mereka. Guru-guru dan pelajar dapat digerakkan untuk mengubah tingkalaku, minat dan bekerjasama ke arah peningkatan prestasi akademik dan ko kurikulum di sekolah.

Misalnya pengetua mahu guru-guru lain bekerjasama dan mematuhi idea yang hendak dilaksanakan seperti mengadakan Jogathon dan Jamuan amal. Aktiviti ini hanya akan berjaya jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para guru dan pelajar.

Komunikasi juga sebagai alat kawalan. Organisasi sekolah mempunyai hierarki, panduan yang formal yang perlu dipatuhi. Organisasi yang leper memudahkan maklumat disampaikan.

Membantu

Selain itu pengetua dapat membantu menyelesaikan masalah orang bawahan. Masalah peribadi dapat diluahkan tanpa rasa malu. Pengetua akan bertindak sebagai fasilitator dan kaunselor. Prestasi guru-guru dan pelajar dapat ditingkatkan dengan memberikan dorongan dan bimbingan.

Contohnya pengetua dapat membantu masalah guru yang tidak dapat mengawal kelas dengan baik. Pengetua atau guru disiplin menyiasat segera aduan guru tersebut. Pelajar yang nakal , bising dan tidak membuat latihan yang diberi, mestilah dihukum. Sekiranya pelajar tersebut bergaduh dengan pelajar lain atau tidak menghormati guru, tindakan gantung atau buang sekolah boleh diambil.

Berseronok

Seterusnya komunikasi yang berkesan melahirkan rasa seronok bagi kedua-dua pihak. Pihak bawahan akan lebih megah kerana hubungan yang begitu akrab. Sementara pengetua sendiri mempunyai lebih banyak kawan, lebih banyak hubungan dan sentuhan.

Contohnya pengetua dapat memberi nasihat secara berjenaka dan jenaka tersebut dapat difahami dengan jelas , sedangkan isinya cukup pedas .

Ada beberapa halangan kepada komunikasi yang berkesan . Antaranya ialah :

  • Tanggapan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Tindakan pengetua memuji seorang guru yang rajin akan ditanggap sebagai ‘cuba bodek’ oleh guru yang lain.
  • Perbezaan makna bahasa. Istilah yang sama yang digunakan oleh pengetua mungkin mempunyai maksud yang berbeza. Contohnya 'penyegan' - Maksud pertama ‘pemalu’ .Maksud kedua ‘pemalas’

Antara pemalu dan pemalas cukup jauh bezanya. Jadi pengetua harus mengelakkan istilah-istilah seperti ini.

  • Suasana bising mengganggu aliran maklumat ke dalam ingatan.
  • Emosi penghantar dan penerima mesej akan mencairkan maklumat. Mesej akan kehilangan makna jika kita sedang marah, sayang, benci, cemburu, takut dan sebagainya.

Tekanan dan Konflik Guru

Tekanan adalah punca segala penyakit . Tetapi tekanan juga memberikan faedah yang besar kepada kita . Jadi penerimaan terhadap tekanan dan pengurusan tekanan amatlah penting. Sebagai seseorang pengetua, beliau mestilah memanfaatkan peranan tekanan dan menguruskannya dengan sebaik-baiknya.

Pengetua sendiri terdedah kepada pelbagai tekanan dan antara tanda-tandanya ialah :

  • Bimbang amat sangat - prestasi sekolah merosot
  • Terlampau agresif - memukul pelajar tanpa belas
  • Hilang selera makan
  • Sugul dan tak bermaya - tubuh keletihan
  • Mudah terganggu - hilang kawalan diri.
  • Kurang tumpuan dan motivasi
  • Tidur yang terganggu - terkenang masalah sepanjang masa
  • Tidak cukup rehat / tidak senang diri
  • Mabuk -

Semua tanda-tanda di atas mestilah diperhatikan oleh pengetua terhadap dirinya dan kepada kakitangan di sekolah. Perundingan amatlah penting.

Jadi pengetahuan tentang tekanan dan konflik amat penting. Pengetua dapat mengetahui apakah, punca,tanda- tanda atau gejala, kesan-kesan tekanan dan jalan penyelesaiannya. Pengetua sebagai pemimpin harus mengambil langkah bijak mengatasi segala masalah. Jangan pula pengetua menjadi punca tekanan yang berat. Pemberian tugas kepada guru haruslah berpada-pada, mengikut kemampuan guru tersebut. Contohnya :

  • Guru yang sering menggeletar di dalam kelas.Pengetua harus merujuk guru-guru seperti ini kepada pakar kaunselor kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan terganggu.
  • Guru yang cenderung memberontak /Guru yang memberontak sering dikaitkan dengan parti politik. Sikap kepartian haruslah disematkan di dalam hati sahaja dan tidak diluahkan ke dalam kelas. Selalunya sikap ini terbawa-bawa sehingga mengganggu guru –guru yang lain. Contohnya pengasingan pelajar lelaki dan perempuan di dalam kelas. Ada guru yang setuju dan ada yang tidak. Perkara ini juga ada kaitan dengan hukum agama dan dibabitkan dengan dasar politik negara.
  • Pelajar merokok

Pelajar yang merokok di sekolah atau di luar sekolah mestilah dipantau secara bijak. Kemungkinan pelajar ini menghadapi tekanan di rumah lalu mengambil keputusan merokok – sebagai escapism kepada masalahnya.

  • Ibu bapa yang marah-marah di sekolah.

Guru-guru memang tertekan apabila ibu bapa marah-marah dan menyalahkan pihak guru. Contohnya kesalahan ejaan dan tatabahasa di dalam karangan Bahasa Melayu tidak ditanda secara cermat oleh guru Bahasa Melayu. Pengetua harus berkomunikasi secara bijak, tidak menafikan hujah-hujah ibu bapa dan tidak pula menyalahkan guru-guru seratus peratus. Jika pengetua menyokong ibu bapa, morale guru akan jatuh . Cara terbaik ialah menegur pada lain masa yang sesuai, bukan semasa isu itu sedang meletup.

Ada beberapa strategi yang difikirkan sesuai diterapkan oleh pengetua apabila berhadapan dengan tekanan . Pengetua sendiri mestilah bijak dalam menguruskan masa. Jadual waktu kerja , takwim tahunan dan diari kerja mestilah ada di sisi setiap masa. Dahulukan perkara yang wajib , segera dan diuruskan dengan bijak.

Pengetua juga menggalakkan para guru dan pelajar memiliki jadual waktu harian di sekolah dan di rumah. Setiap seorang mempunyai diari. Perdana Menteri sendiri mempunyai diari, jadi sudah tentu kita juga mempunyai diari sendiri , bagi mencatatkan perkara yang akan dilakukan dan mencatatkan apa yang telah dilakukan

Selain itu aktiviti senaman sebelum waktu belajar . Pada peringkat permulaan selama 5 –10 minit. Satu masa dahulu ada aktiviti senaman di jabatan-jabatan kerajaan, tetapi kemudian senyap tanpa berita. Sebenarnya aktiviti ini dapat menggerakkan semula otot dan melancarkan peredaran darah. Golongan guru adalah antara yang tidak terlibat dengan aktiviti sukan, sungguhpun sentiasa terlibat dalam menganjurkan sukan tahunan di sekolah.

Selepas bekerja pula, hendaklah berbaring di lantai dan kaki di atas kerusi supaya darah turun ke otak. Dengan ini kelegaan akan berlaku.

Sokongan sosial juga penting di kalangan guru. Pengetua hendaklah memberikan sokongan kepada guru dan pelajar yang memerlukan . Sokongan sosial ini termasuklah bertanya khabar , bercerita tentang hal-hal peribadi, hal ehwal pelajar di dalam kelas dan yang lebih penting pengetua dapat mengecam nama guru-guru dan pelajarnya.

Melalui pendekatan organisasi pula, pengetua tentu boleh menentukan pemilihan dan penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubahsuai tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan guru-guru. Proses menerima dan menapis pendapat dan pandangan guru mungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima.

Setiap guru dan pelajar hendaklah dilatih mengutamakan perkara yang mudah dan senang supaya ia akan menghasilkan kerja yang menyeronokkan.

Sikap berani berterus terang juga patut digalakkan. Dengan ini hal-hal yang kecil dan remeh boleh diketahui orang pengetua. Pengetua akan dapat mengetahui setiap inci permasalahan. Tambahan pula guru yang berterus terang tentang ketidakmampuannya menjalankan tugas adalah lebih baik daripada memendam rasa.

Tekanan yang dihadapi di rumah pula dapat dirungkaikan dengan memantapkan kemahiran keibubapaan. Seminar keibubapaan perlu diadakan dengan menjemput penceramah-penceramah atau pakar motivasi daripada pihal luar. Pastikan tiada hubungan selepas kerja. Biarkan kerja-kerja di sekolah terhenti setakat di sekolah sahaja. Biarkanlah waktu terhenti apabila kita balik ke rumah. Apabila sampai di rumah, sepatutnya mencipta ruang bebas tekanan, seperti di sudut bilik dan mendengar irama muzik perlahan. Di samping itu mengimbau kenangan masa lalu dengan membelek kembali gambar-gambar zaman persekolahan atau album sekolah .

Sedapat mungkin pengetua mengatur rombongan ke tempat-tempat menarik dengan seluruh anggota keluarga guru. Rombongan keluarga guru di peringkat sekolah rendah lebih kerap berbanding dengan sekolah menengah. Ini mungkin disebabkan di sekolah menengah ada pelbagai kaum, agama dan budaya. Sebaliknya di sekolah rendah, guru-gurunya lebih seragam, bilangannya kecil dan lebih mudah muafakat. Hari Keluarga boleh diatur , misalnya ke Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Melalui cara-cara ini, hubungan pengetua-guru –pelajar akan lebih erat.

Penilaian Prestasi

Penilaian adalah proses yang berterusan untuk menerangkan sejauh mana kejayaan atau kegagalan telah diperolehi. Kejayaan sesebuah sekolah amat dipengaruhi oleh pelbagai faktor, dalaman dan luaran. Kejayaan sesebuah sekolah biasanya dibandingkan dengan sekolah yang lain. Seringkali perbandingan yang dibuat itu tidak adil. Contohnya perbandingan prestasi Sekolah Menengah Asrama Penuh dengan Sekolah Bantuan Kerajaan biasa.

Di sinilah pengetua harus bijak menjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat sekeliling. Namu begitu kekurangan-kekurangan yang ada bukan satu alasan mutlak untuk tidak berusaha mencapai kejayaan lebih cemerlang.

Dalam sekolah pula, penilaian melibatkan penilaian prestasi kerja yang dilakukan oleh setiap kaki tangan. Dalam Sistem Saraan Baru , penilaian prestasi melibatkan pemberian anugerah prestasi menegak dan melintang.

Penilaian kerja mesti dilakukan jika mahu produktiviti meningkat. Ada pelbagai perimeter yang digunakan dan sering cenderung kepada penilaian subjektif. Inilah yang menimbulkan ketidakpuashatian di kalangan guru kerana perimeter tidak jelas, tidak telus dan cenderung diberikan kepada ‘kroni’ dengan alasan ‘kroni’ itu memang layak.

Kejayaaan penilaian personel bergantung kepada falsafah yang diamalkan oleh sesebuah sekolah itu, sikap serta kemahiran pegawai penilai.

Kepada pengetua, penilaian prestasi merupakan cara untuk menggalakkan peningkatan prestasi setiap guru di samping memberikan ganjaran kepada mereka yang bekerja dengan baik. Guru yang baik akan diberi kenaikan pangkat .

Kelemahan dan kekuatan prestasi dalam sekolah dapat diketahui. Sekiranya terdapat kelemahan, pengetua dapat mengenalpasti keperluan latihan yan bakal diberi. Seterusnya prestasi dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Ia juga sebagai perbicaraan disiplin yang adil.

Penilaian pengajaran di kelas sering berhadapan dengan ketidaktepatan maklumat. Guru-guru mungkin mengajar dengan baik ketika pengetua atau ketua-ketua bidang melakukan pencerapan. Tetapi pada masa lain, guru tersebut mengajar Matematik sambil lewa , dengan penuh prasangka, tidak lansung menggunakan alat bantu mengajar dan sebagainya. Oleh itu pengetua harus berhati-hati dalam perkara ini.

Budaya Organisasi Sekolah

Budaya adalah satu cara kita membuat kerja . Di dalam sistem ini terkandung corak idea, pemikiran, norma dan nilai yang menyumbang kepada pembentukan kelakuan individu.

Pengetua sebagai ketua di sekolah haruslah mempelopori atau menjadi juara sesuatu budaya yang positif. Apa yang dilakukan oleh seseorang pengetua akan menjadi ikutan dan akan dikenang sepanjang zaman. Contohnya budaya yang perlu disemai ialah :

  • Budaya penyayang
  • Budaya hormat menghormati
  • Budaya berani menyoal
  • Budaya membaca

Setiap budaya yang dinyatakan di atas perlu diiringi dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan . Budaya Membaca misalnya disemai melalui aktiviti :

  • Projek Nilam – setiap pelajar yang telah habis membaca sesebuah buku, mencatat laporan ringkas buku yang telah dibaca.
  • Sudut buku di dalam kelas - menjadi tempat majalah dan surat khabar.
  • Pondok buku - tempat membaca buku
  • Laluan ilmu - papan penyataan yang penuh dengan maklumat berguna
  • Seminggu sebuah novel - diterapkan kemahiran membaca buku

Budaya Penyayang pula disertai dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkkan .Contohnya ;

  • Guru terlebih dahulu menyapa pelajar
  • Projek mentor-mente
  • Buku biodata rakan sekelas
  • Buku catatan harian ( diari ).

Penutup

Pengetahuan pengetua tentang ‘hubungan manusia dalam pendidikan ‘ cukup penting. Ia akan membentuk ciri-ciri kepimpinan yang berkesan :

  • kemahuan yang tinggi untuk memimpin dan tabah bertindak menghadapi cabaran
  • Pintar dan berinisiatif tinggi
  • berwawasan dan mempunyai matlamat yang jelas mengenai organisasi dan pengajaran
  • bekerja keras dan menjadi contoh yang baik kepada staf yang lain.
  • memberi peluang kepada guru menonjolkan kepemimpinan mereka
  • mengetahui batasan kepimpinan formal dan tidak formal seperti kemahiran interpersonal , ramah dan baik hati.
  • Proaktif dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas.

Pengetahuan di atas selaras dengan saranan Sergiovanni ( 1995 : 85 ) , seorang pengetua yang berkesan perlu mempunyai lima kemahiran iaitu :

  • Kemahiran teknikal
  • kemahiran manusia
  • Kemahiran pendidikan
  • Kemahiran simbolik
  • Kemahiran budaya.

p/s - Semoga pengetua membenarkan saya menyambung pengajian di peringkat Sarjana... Amin...

Jun 11, 2008

UNDANGAN DAN PEMAKLUMAN PROGRAM SASTERA DBPWS

PENDAHULUAN

Pementasan teater berskala kecil yang dikategorikan sebagai teater monodrama berjudul ‘Jual Ubat’ diusahakan pementasannya oleh DBP Wilayah Selatan (DBPWS) bersama Khalid Salleh yang merupakan pengarah, pelakon dan penggiat teater terkenal tanah air iaitu dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ). Atas tujuan menyemarakkan lagi pementasan teater terutamanya teater monodrama di negeri Johor, maka Unit Sastera DBPWS akan mementaskan teater monodrama ini di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru pada 20 - 21 Jun 2008. Pementasan ini juga diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-52 Peringkat DBPWS.

UNDANGAN

Pengarah

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan

Dengan takzimnya menjemput

Y. Bhg. Datuk / Dato’ / Datin / Tuan / Puan

--------------------------------------------------------------

ke :

PEMENTASAN TEATER MONODRAMA

‘JUAL UBAT’

(Arahan dan Lakonan Khalid Salleh)

Tarikh / Masa:

20 Jun 2008 (Jumaat) : 8.30 malam

21 Jun (Sabtu) : 3.00 petang

- termasuk Diskusi Bersama Khalid Salleh

● 21 Jun (Sabtu) : 8.30 malam

Tempat:

Balai Seminar DBPWS,

Larkin Perdana, Johor Bahru.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:

i. Rusdi Abd. Rahman, DBPWS (07-235 8802).

PERTANDINGAN DEKLAMASI PUISI

‘BAHASA JIWA BANGSA’

Sempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-52 Peringkat DBPWS

Anjuran Unit Sastera DBP Wilayah Selatan

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Bukit Timbalan, Johor Baru. Pada tahun ini DBP merayakan ulang tahun ke-52. Sempena sambutan ulang tahun DBP ke-52 peringkat DBP Wilayah Selatan (DBPWS), satu pertandingan deklamasi puisi bertemakan bahasa Melayu yang terbuka kepada umum akan diadakan di DBPWS.

Pertandingan ini terbuka umum kepada semua golongan masyarakat tetapi hanya dihadkan kepada para peserta yang bertaraf amatur sahaja. Peserta yang ingin menyertai pertandingan ini seharusnya merupakan peserta yang belum pernah memenangi sebarang pertandingan deklamasi puisi pada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah yang dianjurkan oleh pihak jabatan kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan atau badan bukan kerajaan. Syarat-syarat penyertaan dan tawaran hadiah seperti maklumat di bawah:

1. Pertandingan ini terbuka umum kepada semua golongan masyarakat di negeri Johor.

2. Penyertaan perserta terhad kepada peserta bertaraf amatur (seperti maklumat di atas). Pihak penganjur hanya akan memilih 20 peserta berdasarkan penyertaan terawal sahaja.

3. Pertandingan akan diadakan pada 22 Jun 2007 (Ahad) pukul 2.00 petang di Balai Seminar DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana, Johor Bahru.

4. Peserta dikehendaki mendeklamasikan hanya sebuah (1) puisi daripada 10 buah puisi pilihan bertemakan bahasa Melayu yang disediakan oleh DBPWS.

5. Deklamasi puisi yang dimaksudkan adalah pembacaan puisi, bukannya menyanyikan puisi dengan irama-irama tertentu dengan dibantu bunyi daripada rakaman kaset atau cakera padat atau sebagainya.

6. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut tentang pertandingan ini serta berhasrat ingin mendaftarkan diri sebagai peserta pertandingan, sila hubungi: Rusdi Abd. Rahman, DBPWS (No. tel.: 07-235 8802).

Hadiah:

a. Pertama - Wang tunai RM300.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.

b. Kedua - Wang tunai RM200.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.

c. Ketiga - Wang tunai RM100.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.

d. 7 hadiah sagu hati - Wang Tunai RM50.00 / Sijil Penghargaan/ Hadiah Iringan.