Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Jan 31, 2008

Dia Telah Pergi...


Dialah antara orang pertama memperkenalkan aku kepada dunia penulisan, khususnya bidang penulisan lirik dan puisi moden (sajak). Kali pertama aku berkenalan dengan Allahyarham kira-kira 11 tahun dahulu. Ketika itu kami masing-masing mengikuti bengkel penulisan lirik yang dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) dan Papita. Aku terlalu kerdil jika dibandingkan mereka yang hadir ketika itu. Namun, dengan minat yang kuat terhadap seni dan muzik, dari Johor Bahru aku menggalas azam ke UM untuk menyertai juga bengkel itu bagi menambahkan pengetahuan dan pengalaman. Selama 2 hari itu, aku banyak di tunjuk dan di ajar oleh Allahyarham tentang seni penulisan. Sedangkan ketika itu, Allahyarham juga seperti aku sebagai seorang peserta. Tapi pada hemat aku, Allahyarham lebih banyak membimbing aku jika dibandingkan input sebenar yang diberikan oleh pengajur (mungkin ketika itu aku antara peserta yang paling muda). Sejak detik itu, aku rasa sangat bersyukur kerana Allahyarham berterusan memberikan dorongan dan panduan untuk aku jadi lebih teliti sebagai seorang penulis... sehinggalah saat ini.


Allahyarham pernah pesan kepada aku;
membaca akan menjadikan kita lebih menjiwai pengalaman orang lain. Bacalah dengan penuh rasa hormat dan tulislah dengan penuh rasa jujur.
SAYU: Balu Allahyarham Loloq, Hariyah (dua dari kiri) bersama ibunya Hawa Md Bintan (kiri) di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh, semalam. Allahyarham turut meninggalkan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10; Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.


Al-Fatihah utk guruku Allahyarham Rosli b. Khamis @ Loloq maksudnya dalam bahasa Arab kalau tak silap semut merah... Dia telah pergi...

Jan 29, 2008

Bukan Kita...

oleh al-Misri

Kita Bukannya Baik Untuk Cakap Kita Baik..

1. Kita bukannya pandai untuk cakap orang lain bodoh
2. Kita bukanlah kaya untuk cakap orang lain miskin
3. Kita bukanlah handsome untuk cakap orang lain muka tak handsome
4. Kita bukanlah cantik untuk cakap orang lain tak lawa
5. Kita bukanlah baik untuk cakap orang lain jahat
6. Kita bukanlah alim untuk cakap orang lain lupa sembahyang
7. Kita bukanlah kuat untuk cakap orang lain lemah
8. Kita bukanlah berani untuk cakap orang lain penakut

TAPI...

1. Kita adalah pandai jikalau kita sebarkan ilmu itu kepada orang lain
2. Kita adalah kaya jikalau kita manfaatkan kekayaan kita kepada jalan kebaikan
3. Kita adalah handsome jikalau kita tak meninggi diri
4. Kita adalah cantik jikalau kita sentiasa memuji orang lain
5. Kita adalah baik jikalau kita mengajak orang lain kearah keaikan dan menjadi contoh dan tauladan orang lain
6. Kita adalah alim jikalau kita memperuntukkan sebahagian rutin seharian kita kepada-Nya denganseikhlas hati
7. Kita adalah kuat jika kita sentiasa membantu orang yang lemah
8. Kita adalah berani jikalau kita sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan agama


Ingatlah! kita bukannya manusia yang terlalu hebat untuk memcaci dan mengutuk ciptaan-Nya. Dia Maha Mengetahui. Setiap apa yang diciptakannya mempunyai hikmah yang tersendiri...

Cara Memakai Tudung : Adakah Datuk Meniru Atuk?

Adakah cara Siti memakai tudung banyak dipengaruhi oleh idolanya? Adakah ia fesyen terkini yang mendepani zaman ? Apa kata anda....?



Atuk ni tak boleh senyum langsung bila orang nak ambil gambar dia ni... Hai, tak siapa yang tahu siapa tiru siapa?

Jan 19, 2008

Lagu puisi : BONGKAR

video
Iwan Fals
Kalau cinta sudah dibuang Jangan harap keadilan akan datang Kesedihan hanya tontonan Bagi mereka yang diperkuda jabatan Ooh ya oh ya oh ya bongkar2X Sabar sabar sabar dan tunggu Itu jawaban yang kami terima Ternyata kita mesti ke jalan Robohkan setan yang berdiri mengangkang Ooh ya oh ya oh ya bongkar2X Penindasan serta kesewenang-wenangan Banyak lagi... Teramat banyak untuk disebutkan Oh hentikan,hentikan jangan diteruskan Kami muak,dengan ketidak pastian dan keserakahan Di jalanan,kami sandarkan cita-cita Sebab dirumah,tak ada lagi yang bisa dipercaya Orang tua,pandanglah kami sebagai manusia Kami bertanya,tolong kau jawab dengan cinta

Jan 18, 2008

Menghindar Keletihan Ketika Bekerja


Oleh al-Misri

ADA ketikanya seseorang pekerja mengadu keletihan selepas pulang ke rumah. Mereka yang bekerja di ladang dan sebagai buruh binaan akan berasa tubuh badan letih dan sakit-sakit kerana banyak keluarkan tenaga ketika menggunakan tulang empat kerat. Mereka yang bekerja di pejabat pula mengadu letih terutama minda dan mata kerana terlalu kerap bermesyuarat, berfikir dan menghadap komputer.

Selain memakan vitamin dan pelbagai makanan tambahan berkhasiat, seseorang pekerja boleh mengelak keletihan dengan pelbagai cara yang disyorkan doktor dan orang tua. Jika tidak, sikap malas, lesu dan bosan akan menguasai diri hingga menjejaskan produktiviti.
Untuk menghilangkan rasa letih, beberapa petua boleh dicuba. Antaranya:

- Bersifat positif terhadap pekerjaan: Ketika bekerja, kita hendaklah terus menyenangi apa yang kita lakukan walaupun berat dan membebankan. Kita harus ada minat dalam setiap pekerjaan yang kita buat.
- Bersantai sejenak:
Gunakan waktu istirahat untuk berehat dan bersantai. Lakukan dengan menarik nafas dalam-dalam untuk beberapa saat. Ini akan meningkatkan tenaga dan tumpuan ketika bekerja. Jika bekerja di pejabat dan kerap menggunakan komputer, berehatlah lima atau 10 minit dengan memandang ke luar pejabat atau berbual-bual di ruang tamu. Elak menggunakan komputer secara berterusan melebihi sejam.
- Nikmati humor dan ketawa:
Pelbagai cara boleh dibuat seperti membaca komik dan kartun atau berkelakar bersama teman-teman sekerja yang boleh menimbulkan ketawa. Humor dan ketawa dapat membangkitkan tenaga dan kesegaran. Akan lebih mudah menghadapi pekerjaan dengan senyum daripada terus muram.
- Bekerja secara sistematik: Buatlah skala dan jadual keutamaan terhadap pekerjaan yang harus diselesaikan terlebih dulu. Ini akan membuat kita tidak terburu-buru dalam bekerja.
- Banyak minum air mineral:
Air putih dapat menimbulkan kesegaran dan melancarkan metabolisme tubuh.
- Lakukan aktiviti fizikal: Untuk mengendurkan otot-otot yang mulai kaku, lakukan gerak badan atau senam ringan, di dalam atau di luar ruang kerja. Bila pejabat anda terletak di bangunan bertingkat, untuk naik-turun pilihlah menggunakan tangga daripada lif. Jika surau pejabat anda di tingkat satu dan anda bekerja di tingkat lima, apa salahnya turun naik menggunakan tangga untuk menunaikan solat.


* Sedikit tip dari pengalaman dan pembacaan untuk semua.

APA YANG MENCANTIKKAN WAJAH...?


Oleh; Zun-Nun

Al Ahnaf b. Qais tergolong dalam golongan ulamak yang terkenal di zaman hidupnya. Pada suatu hari datang seorang pemuda dari suku Tai'yi berkunjung ke rumahnya. Rumah Al Ahnaf memang sentiasa di kunjungi oleh anak-anak murid dan sahabat handainya. Mereka yang datang itu adalah untuk berguru dan menuntut ilmu dari beliau. Walau bagaimanapun kedatangan pemuda dari suku Tai'yi ini amatlah menarik perhatian Al Ahnaf. Ahnaf mendapati pemuda ini sangat segak dan tampan berbeza dari pemuda yang sebaya dengannya .



Lalu Ahnaf pun bertanya; “Wahai anak muda! Adakah kamu menghiasi wajahmu dengan sesuatu ?” Jawab pemuda; “Memang benar, saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu iaitu jika bercakap saya tidak pernah berbohong. Kalau ada orang yang sedang bercakap saya hanya duduk diam dan mendengar. Jika saya berjanji, akan saya tepati janji itu dan jika saya diberikan sesuatu amanah, saya tidak mengkhianatinya."
Mendengar jawapan yang bernas itu maka berkatalah Ahnaf, “Benar akan kata-katamu itu wahai anak muda, sungguh engkau telah menghiasi dirimu dengan akhlak mulia”.



* Bagaimana pula dengan kita? Apakah yang mencantikkan wajah kita?



Jan 15, 2008

Permata Hati

oleh; al-Misri


Tubuh yang terbaja sembilan bulan tujuh hari
merupakan anugerah Maha Agung
kepada sepasang Sang Dewata
bagi melayarkan seterusnya benih riwayat nafas ini.

Namun,
yang tergantung antara akal dan hati itu ialah nyawa
kini adalah murah nilainya
ke mana-mana akan melayang dan tak semena
hilanglah kasih sayang
terlerailah sang siang dan malam
kelamlah seluruh alam
dan tanpa ada yang indah lagi untuk segar di pandang.

Kali ini
yang hilang tidak pasti tumbuh berganti
yang pergi mungkin tidak akan kembali ditemui
walau ramai yang bakal muncul datang
si permata hati tetap satu dalam beribu bintang
dan seharusnya
si petualang berhati binatang perlu habis-habisan kita tentang!


* Dedikasi utk mereka yg menghargai anak-anak kita...

Tugas untuk bendung, banteras gejala sosial tanggungjawab bersama

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli



PELBAGAI gejala tidak sihat terus bernanah menjadi 'penyakit masyarakat'. Kehilangan Sharlinie Mohd Nashar menjadi satu lagi episod tragis yang menggusarkan kita, selepas kehilangan dan kematian ngeri Nurin Jazlin Jazimin, tahun lalu.

Banyak pihak menyuarakan pandangan dan pendapat kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini.

Namun, beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan. Kini, masyarakat semakin gusar dengan wujudnya kes culik, bunuh dan rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur yang hangat diperkatakan.

Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pasti membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Ketika kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, semua anggota masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan besar bagi menjana kemajuan seiringan dengan proses pembangunan rohani masyarakat.

Tugas ini jika ingin dilihat meninggalkan kesan terbaik, maka ia perlu dilakukan secara kolektif atau bersama. Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim.

Tanggungjawab bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuwan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Sesuai dengan situasi mengejar kemajuan yang begitu drastik mutakhir ini, amat wajarlah kesedaran daripada semua pihak ditingkatkan kerana kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama.

Justeru, tugas atau peranan untuk membendung dan membanteras gejala sosial ini tentu juga beban tanggungjawab yang harus dipikul bersama untuk menanganinya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan lidah, tangan dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya dengan menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri sendiri.

Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa juga perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi kasih sayang berpanjangan.

Anak memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau mengabaikan tugasan berat lantaran terlalu sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak dan menyelesaikan permasalahan yang sering melanda anak-anak remaja, siapakah yang harus dipersalahkan?

Kita bersyukur dengan beberapa tindakan dan langkah drastik yang diambil untuk menyekat kejadian jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah kegawatan gejala sosial yang melanda negara.

Apa pun, tidak lebih sebagai langkah jangka pendek, maka ia hanya bersifat langkah sementara, kerana ia tidak akan dapat mengelakkan diri anak muda secara konsisten, kerana kemahuan mereka akan mengatasi segala-galanya.

Mereka akan terus berusaha untuk memperoleh sesuatu yang mereka ingini walau dengan apa cara sekalipun. Jika ini berlaku, maka akan timbul pula gejala sosial lebih teruk lagi.

Justeru, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan (mafhum dari ayat 2, surah al-Maidah).

Masyarakat setempat hendaklah sensitif dengan keadaan sekeliling dengan saling bantu membantu di antara satu sama lain, menjaga kebajikan dan keselamatan sesama jiran sekampung. Amalan ini mungkin dianggap lapuk, tetapi sepatutnya dihidupkan semula walaupun ramai orang Melayu hari ini lebih suka tinggal di taman perumahan.

Sikap 'sombong' dan tidak mahu saling kenal mengenali dan berbaik-baik dengan jiran apatah lagi satu jalan atau satu lorong, haruslah dihapuskan. Semai dan tanamkan semangat kejiranan seperti diamalkan sebelum ini.

Pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) misalnya perlu berbincang dan berganding bahu mewujudkan pusat pengajian al-Quran dengan segala kemudahan seperti pengangkutan dan sebagainya.

Sejak awal lagi anak perlu ditanam supaya membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf. Didikan awal inilah yang biasanya melekat dalam sanubari mereka. Dengan demikian, apabila dewasa, mereka akan mudah menolak segala bentuk kemungkaran kerana ada benteng dalam diri yang menegah mereka membabitkan diri dalam sebarang tindakan merosakkan diri sendiri.

Sesuai dengan Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud: "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad", maka proses pendidikan yang kuat dan mantap akan menjamin program jangka panjang itu berhasil.

Walaupun perlu diingat, ilmu tanpa pengawasan dan tunjuk ajar yang berterusan akan membuatkan ilmu itu tidak berkembang dan sukar pula mencanai dalam pemikiran bagi proses pembentukan peribadi anak.

Peranan mendidik anak tidak harus dilepaskan oleh ibu bapa hanya kepada guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak umpamanya, ibu bapa berperanan besar dalam menentukan sahsiah diri anak mereka.

Ibu bapa dan semua anggota masyarakat yang berumur perlu menunjukkan qudwah hasanah dengan berakhlak mulia akan dapat diteladani anak muda ini. Usahlah membawa mereka ke arah jalan yang boleh merosakkan pemikiran dan akhlak.

Ada waktunya orang dewasa menjadi duri dalam daging dengan menjadi ejen kepada rosaknya pelbagai langkah dan tindakan yang diambil pihak pemerintah.

Sepatutnya ibu bapa dan orang yang berusia perlu berperanan sebijak mungkin dan menyedari kedudukan mereka sebagai pembina sahsiah anak, bukannya perosak dan peruntuh.


INTI PATI
Sahsiah pendidikan anak


  • Ibu bapa memainkan peranan penting menentukan hala tuju dan arah hidup anak. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka terjerumus gejala sosial.

  • Ibu bapa perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi kasih sayang.

  • Anak memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa. Hubungan erat dengan anak mengelak gejala sosial pada masa depan.

  • Mendidik anak tidak harus dilepaskan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak, ibu bapa berperanan menentukan sahsiah diri anak mereka.
  • Berita Harian, 15 Januari 2007

  • Artikel ini dirasakan amat penting untuk kita sama-sama manfaatkan. Wajarkah ibu bapa dipersalahkan dalam kes seperti ini.
  • Jan 13, 2008

    Bila Langit Mendung

    oleh al-Misri

    Bila langit mula mendung, kekadang terdengar bebelan orang di sekeliling kita, "Cuaca buruk je akhir-akhir ni ye.." Soalnya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk?

    Berapa ramai di kalangan kita yang mengeluh bila hari hujan?


    - Iskk, tak kering la baju kalau asyik hujan je..
    - Alahai, hujan laaagiiii
    - Tiap-tiap hari hujan...susah la mcm ni
    - Payah nak buat apa2 kalau hujan
    - Tak boleh balik lagi, hujan!

    Bukankah bebelan-bebelan itu lebih baik digantikan dengan doa : "Allahumma syaiyiban nafi'a" (Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jadikan hujan ini bermanfaat buat kami).

    Hakikatnya, hujan itu rahmat.

    "Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (Al-A'raf : 57)

    Sebenarnya hujan terlalu banyak manfaatnya.
    1. Membersihkan udara
    2. Menyubur tanaman
    3. Membekal air ke empangan

    Ini sikit sahaja senarai kebaikannya. Ada banyak lagi.


    Kenapa orang selalu "bad mood" bila hujan?

    "Hujan tidak, mendung pun tidak, tiba-tiba je bermuram ni..?" Macam biasa dengar ayat tu kan? Seolah-olah sinonim sungguh hujan dengan suasana muram/tak best. Kesian hujan.

    Sedarkah kita? Bila hujan turun, rahmat dilimpahkan buat manusia. Sebab itu, Nabi pun pernah pesan, bila hujan turun, doa mustajab.

    Sekarang ini, di tempat kita hampir tiap-tiap hari hujan. Tiap-tiap hari ada masa untuk doa menjadi mustajab. Kenapa lepaskan peluang dengan keluhan sia-sia di saat pintu-pintu langit sedang terbuka?

    "Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah" (al-Qamar : 11)



    Maka, BERDOALAH. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Dan semoga, hari esok akan lebih baik. Dalam ilmu tasawwuf dan ilmu-ilmu fardhu Ain lain pun ada juga mengingatkan kita tentang kebijaksanaan Allah.

    Lihatlah firman Allah yg bermaksud :

    "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (Al-Mukminun : 18)



    Rupa-rupanya Allah turunkan hujan ADA SUKATAN. Baru hari ini kita tahu, bahawa Allah turunkan hujan lebat kepada kita sekarang ini ada sebabnya, ada sukatannya. Kemudian, air itu akan disimpan di bumi. Selama mana? Itu semua rahsia Allah.

    "Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya." (al-Hijr : 22)



    Semoga ada iktibar untuk peringatan kita.

    "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." (Surah Hud : 123)


    *** Kadang-kadang hujan juga sinonim dengan mereka yang baru berkahwin, sedang berkahwin dan dalam proses perkahwinan. Apa kata anda?

    Semalam dan Hari ini...

    video
    Sebuah puisi hasil nukilan Faeza Nur ( Harold's Cross) dari Kumpulan Karyawan Luar Negara. Tahniah, buat teman-teman kerana lebih berani. Semoga kita sempat melihat tentang semalam, hari ini dan bersedia untuk esok...
    p/s : Untuk mendapat kesan bunyi yang baik, sila tutup sementara muzik latar pada laman ini. Terima kasih, selamat menonton...

    Jan 12, 2008

    Karisma, rahsia individu tersimpan dalam bentuk tulisan


    oleh; al-Misri


    BANYAK cara sebenarnya untuk `membaca’ seseorang. Baikkah dia, jujurkah dia atau sebenarnya dia seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak jujur, tidak ikhlas juga penipu.

    Berkawan dan mengenali untuk mendapatkan semua maklumat ini adalah cara terbaik tapi ada ketikanya ia akan membuang masa, tenaga dan lebih malang, harta-benda, jiwa dan raga bila akhirnya insan yang dikenali ini hanya indah rupa...hendak pula bila bercinta.



    Ketika itu, segala-galanya sudah tidak bermakna, air mata membazir sia-sia. Inilah yang dikatakan sesal kemudian tidak berguna.

    Justeru, ramai yang mencuba-cuba `mengorek’ rahsia insan yang baru dikenali menerusi tulisan juga tanda tangan. Bukan suatu yang mudah tetapi tidak salah mencuba bukan?

    Tetapi benarkah tulisan dan tanda tangan mampu merungkai rahsia? Benarkah tulisan dan tanda tangan boleh menceritakan sifat sebenar tuan punya badan?

    Menurut pakar psikologi dan grafologi (pakar anilisis tulisan), tanda tangan mempunyai pelbagai makna. Ia melambangkan identiti dan membawa nilai tertentu. Tanda tangan mampu menampakkan maksud ego dan perjalanan hidup seseorang.

    Tanda tangan yang terputus-putus membawa erti perjalanan hidup pemiliknya tidak lancar kerana tidak mempunyai perancangan awal yang matang. Jika tanda tangan melingkar bermakna pemiliknya suka mengeluh dan sering memikirkan kesusahan berbanding kesenangan.

    Tanda tangan yang kecil pula menunjukkan orang itu banyak berahsia. Urusan dengan orang sebegini sentiasa sukar diselesaikan. Selok-belok pada tanda tangan menunjukkan hidup si empunya diri menjadi perhatian orang atau boleh juga diibaratkan sebagai gangguan luar. Boleh jadi juga orang ini suka memanipulasi diri, mengada-ngada atau suka berbohong.

    Ramai juga yang melakar garisan di bawah tanda tangan. Garisan ini sebenarnya mempunyai erti. Kalau garis itu kena pada bawah tanda tangan, orangnya suka bergantung dengan orang lain. Coretan garis itu juga sepatutnya lurus. Jika hujungnya ke bawah, ketika tua nanti hidupnya susah. Lebih teruk lagi jika hujungnya berkait, hidupnya di kelilingi hutang.

    Merujuk pada buku tulisan pakar grafologi, Dr Margaret Gullan-Whur berjudul What Your Handwriting Reveals, beberapa aspek harus dilihat dalam menganalisis tanda tangan iaitu maksud tanda tangan, penempatan, ukuran, keseimbangan, pembetulan, kejelasan dan unsur tambahannya.

    Jelas beliau dalam bukunya itu, umumnya tanda tangan direka oleh seseorang bagi menampilkan ciri keperibadiannya. Mereka yang memiliki dua bentuk tanda tangan yang hampir serupa pula berkemungkinan memiliki dua identiti.

    Jika tanda tangan diletakkan tepat di atas garis yang disediakan, ia menggambarkan rasa hormat terhadap diri sendiri dan juga pihak berkuasa. Jika ia agak di atas sedikit daripada garisan, ia menandakan kegembiraan berkaitan dengan dokumen yang ditandatangani itu dan jika di bawah garisan pula ia menunjukkan kemurungan.

    Tanda tangan yang menaik menampilkan rasa percaya diri yang tinggi dan sebaliknya jika ia menurun.

    Tanda tangan yang cenderung ke kiri dari tempat tersedia menunjukkan rasa takut (pada orang lain atau kegagalan) manakala ke kanan pula bermaksud kurang perhatian.

    Tanda tangan lebih kecil daripada teks tulisan mengungkapkan keinginan untuk menyendiri sebaliknya tanda tangan besar memberi maksud ingin menonjolkan diri. Bila hurufnya besar dan rapat, ia melambangkan kesombongan manakala pendapat lain menyebutkan tanda tangan kecil, mampat dan pendek menunjukkan rasa rendah diri.

    Ada juga yang bukan sekadar meletakkan nama sendiri pada tanda tangan. Nama keluarga juga dilakar bersama. Jika nama keluarga lebih rendah daripada nama depan ia menunjukkan sifat murung pada pemiliknya.

    Bagaimana tanda tangan anda sekarang? Dengan segala penjelasan di atas mungkin ada yang sudah mula mencongak untuk mengubah tanda tangan. Kalau dulu tanda tangan menurun, mungkin sudah ada yang cuba-cuba mencipta tanda tangan baru yang menaik.

    Apapun, tiada siapa mengajar kita merancang atau memilih tanda tangan. Kanak-kanak yang sudah mengenali huruf, sudah pandai membaca juga pandai mencipta tanda tangan mengikut kreativiti mereka.

    Tanda tangan ketika kecil tidak akan kekal biasanya. Keraguan mencipta tanda tangan akan berlaku ketika remaja dan seterusnya apabila meningkat dewasa. Biasanya, tanda tangan yang tercipta kala dewasa ini akan kekal, apatah lagi jika tanda tangan ini sudah digunakan untuk pelbagai urusan seperti perbankan.

    Mungkin ini juga petanda kita sudah mencapai tahap kematangan. Tahu apa yang nampak menarik mungkin juga unik sesuai dengan usia dan kehidupan.

    Bagaimanapun, Prof Dr John Nimpoeno, pakar psikologi dan grafologi dari Kampus Pasca Sarjana Universitas Parahyangan, Bandung, Indonesia berpendapat sebaliknya.

    "Memang dalam tanda tangan ada unsur yang menunjuk sifat atau karakter seseorang, tapi tidak selengkap grafologi (tulisan tangan). Tulisan tangan mampu menunjukkan keadaan yang berlaku pada pemiliknya tetapi tidak tanda tangan kerana unsurnya tidak lengkap.

    “Ada berpuluh indikator pada grafologi sedangkan tanda tangan hanya sebahagian daripadanya,” katanya.

    Berdasarkan grafologi, gerakan menulis jelas ada hubungannya dengan keadaan psikologi seseorang. Pemikiran dan emosi walau sesaat sekalipun mampu dibaca pada tulisan tangan dan kerana itu, tulisan tangan mampu mencerminkan keperibadian seseorang.

    Kata Dr John Nimpoeno lagi, tanda tangan muncul hasil daripada gerakan automatik dan kerana itu ia tidak dapat menceritakan sepenuhnya keperibadian seseorang. Tanda tangan diramal? Itu cuma cerita rakyat, katanya.

    Anda bagaimana? Apa pandangan anda? Mampukah tanda tangan membantu anda mengenali keperibadian seseorang? Bak kata Pakar Grafologi dari Pusat Grafologi Anna Koren, Anna Koren, sekalipun tanda tangan boleh dianalisis, penilaiannya lebih mengikut gerak hati.

    Oleh itu, bila mengenali seseorang, dengarlah kata hati anda...

    Makna tersirat di sebalik tanda tangan:

    1. Satu garisan di bawah tanda tangan

    · Seorang yang sangat yakin

    · Ada personaliti yang hebat

    · Agak mementingkan diri sendiri

    · Percaya bahawa kebahagiaan dalam hidup sangat perlu

    2. Dua titik di bawah tanda tangan

    · Anda romantik

    · Mudah bertukar pasangan macam tukar baju

    · Memilih kecantikan (bagi lelaki)

    · Sentiasa berusaha untuk kelihatan cantik (bagi wanita)

    · Mudah menarik perhatian orang untuk berdamping

    3. Satu titik di bawah tanda tangan

    · Anda kelihatan mudah dan tenang

    · Cepat hilang kepercayaan pada orang anda percayai apabila dikhianati

    4. Tiada garisan/titik di bawah tanda tangan

    · Seronok dengan kehidupan

    · Ikut gaya dan cara sendiri

    · Kurang memberikan perhatian pada pandangan orang lain

    5. Tanda tangan yang tiada kaitan dengan nama

    · Anda sentiasa berusaha supaya smart

    · Suka berselindung

    · Jarang mengambil pandangan orang lain sebagai panduan hidup

    · Yakin dengan kebolehan diri sendiri

    6. Tanda tangan berasaskan ejaan nama tapi sukar nampak

    · Anda cerdik tapi kurang hendak berfikir

    · Anda cepat menukar pandangan dan idea

    7. Tanda tangan huruf satu-satu, tidak bersambung

    · Seorang yang sangat prihatin

    · Tidak pentingkan diri sendiri

    · Sanggup berkorban apa saja untuk orang lain

    · Seorang pemikir

    · Seorang yang mudah serik

    8. Tanda tangan ikut ejaan nama dengan huruf yang jelas

    · Seorang yang sangat baik

    · Boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan atau dengan siapa saja anda berurusan

    · Tegas dengan pendapat sendiri

    · Ada semangat yang tinggi

    Kenali mereka...

    · Osama Laden
    Seorang yang tidak suka berkomunikasi dan suka merancang atau melakukan sesuatu secara rahsia. Garisan tebal atau pekat tanda tangannya menunjukkan dia seorang yang mempunyai tenaga yang tinggi manakala garisan melintang di bahagian atas dan lakaran seperti ketam pada tanda tangannya menunjukkan personaliti keras si pemilik tanda tangan. Keistimewaan ketam - tidak kira bagaimana teruk pun serangan orang padanya, dia tidak akan mati sebaliknya `menggigit’ balik dengan ganas.

    · George Bush
    Tanda tangannya yang bergarisan tebal, menurun ke bawah dan tidak berapa jelas menunjukkan keghairahannya untuk menakluk dunia menggunakan arahan bukan diplomasi. Tanda tangannya bermula dari dasar, menaik ke atas dan seolah-olah bersambung dengan huruf pertama (B) nama seterusnya (Bush) menunjukkan dia seorang yang menyimpan perasaan marah, geram, dendam dan kekekecewaan yang amat tinggi. Ia juga menunjukkan disebabkan perasaan ini, pemiliknya sanggup melakukan keganasan dan kekejaman untuk membalas dendam.

    · Adolf Hitler
    Tulisan tangannya yang bersudut menunjukkan seorang yang mempunyai pemikiran tajam dan agresif. Tulisan yang meliuk-liuk ke bahagian kiri menunjukkan seorang yang tidak jujur dan mempunyai pemikiran seperti seorang penjenayah. Tulisan mencondong ke bahagian kanan pula sering kali menggambarkan pemiliknya tidak mampu mengawal emosi untuk memusnah atau membunuh diri.

    · Bill Gates
    Tanda tangan Bill Gates yang bersudut menunjukkan dia seorang yang mempunyai pemikiran tajam. Garis melintang pada huruf `t’ yang memanjang ke kanan dan titik `i’ yang jelas menunjukkan dia seorang yang baran, lekas marah. Tulisannya juga mencondong ke kanan dan ia bukan petanda yang baik. Seperti Adolf Hitler, Bill Gates juga ingin menakluk dunia tetapi dengan cara yang lebih teratur.

    · Michael Jackson
    Lihat bagaimana penyanyi terkenal ini menyembunyikan nama pertamanya dengan satu lingkungan. Umum maklum bagaimana penyanyi ini menukar jantinanya, mengurung diri dalam tangki oksigen dan semua ini jelas tertera pada tanda tangannya membuktikan penyanyi ini melalui masalah besar dalam hidup. Hidupnya juga amat tertekan berdasarkan tulisannya yang mencondong ke bawah.

    · Albert Einstein
    Mereka yang mempunyai tulisan dan tanda tangan kecil sering kali membabitkan diri dengan kerja yang rumit dan terperinci. Tulisannya padat dan konsisten menunjukkan tenaga yang amat tinggi. Garis melintang huruf `t’ pada bahagian hujung atas menunjukkan pemiliknya seorang yang mempunyai sikap yang bagus dan bercita-cita tinggi dalam hidup. Tanda tangan ini juga menunjukkan kuasa mencapai kejayaan amat tinggi.

    Sumber: www.yoursignaturespeaks.com

    Jan 10, 2008

    MAKCIK DARI KAMPUNG

    oleh Zun-Nun



    Pada suatu hari, Makcik Ain datang ke Kuala Lumpur untuk kali pertama berjumpa anaknya yang menetap di situ. Kebetulan anaknya baru berkahwin dengan orang kaya yang bergelar Datuk "J" dan Makcik Ain telah mencanangkan berita perkahwinan anaknya itu kepada semua orang kampung. Dia turut membawa rakannya Sherry. Oleh kerana hari telah lewat malam, mereka 'check-in' di sebuah hotel mewah semata-mata mahu menunjuk kepada Sherry. Setelah selesai 'check-in' seorang pelayan hotel membawakan beg mereka menuju ke bilik penginapan Makcik Ain. Makcik Ain dengan girangnya mengikuti langkah-langkah pelayan itu dan ketika pelayan tersebut menutup pintu, Makcik Ain melihat sekeliling. Beliau tiba-tiba menjadi marah lalu berkata kepada pelayan tersebut.

    "Eksekius mi. Encik jangan ingat makcik datang dari kampung, tak tahu duduk di hotel. Sudah bayar ratus-ratus, encik bagi saya bilik ini pula. Kecil, tak ada TV, tak ada almari, apa pun tak ada. Katil nak tidur pun tak ada. Hei jangan nak tipu orang la," Makcik Ain memaki hamun pelayan tersebut kononnya untuk menutup malu pada kawannya Sherry.
    Lalu pelayan itu pun menjawab, "Sabar makcik, ini baru lif...


    # Perlu ke kemahiran mendaftarkan diri ke hotel diajarkan kepada warga kita? Jangan lupa pili air di hotel ada 2 warna: merah dan hijau... Jangan mandikan anak dengan pili yang berwarna MERAH. Mara Bahaya!!!

    Cerita Empat Orang Pesalah

    oleh Puteri Zulaikha


    Alkisah ada empat orang yang telah ditangkap kerana melakukan kesalahan jenayah yang sama dan dibawa ke hadapan seorang raja yang bijaksana. Raja memandang kepada pesalah yang pertama dan bertitah, "Gantung dia". Kemudian baginda memandang kepada pesalah yang kedua lalu memerintahkan pesalah tersebut dipenjarakan seumur hidup. setelah memandang kepada pesalah ketiga banginda bertitah, " Dia mesti dibuang negeri". Akhir sekali baginda memandang kepada pesalah yang keempat sambil bertitah, "Beta tidak menyangka sama sekali kamu sanggup melakukan jenayah sekeji itu".

    Ketiga-tiga orang pesalah pun menjalani hukuman masing-masing, tetapi pesalah yang keempat itu kembali ke rumahnya dan keesokan paginya dia didapati telah meninggal dunia. Kata-kata raja tempoh hari kepadanya adalah jauh lebih berbisa daripada dijatuhi hukuman mati.

    ~ (Hazrat Inayat Khan)

    Jan 8, 2008

    Sekolah Di Tahun Baru


    oleh Nur Aqilah


    Apa khabar teman-teman telah lama tak bersua

    Apa azam apa niat tahun baru di sekolah lama

    Hari ini kita sekali lagi telah berhimpun

    Lihat kiri lihat kanan suasana tetap bersih

    Akal cerdas badan pasti sihat .....

    Oh... khabar baik !!!

    Sekolah kita masih indah guru-guru masih gagah

    Kita dapat adik baru tahun satu

    Kita dapat guru baru yang bermutu

    Kita dapat kawan baru yang bukan kacang hantu .....



    Tapi mengapa isu yuran sekolah masih menjadi-jadi sedangkan kita sudah mula ingin mengaji?

    BANTAL & PERIBADI


    oleh Zun-Nun


    Tidur dengan satu bantal

    Mereka bukan jenis mengada-ngada dan boleh menerima keadaan seadanya. Meraka juga membuat keputusan berdasarkan fikiran dan bukan nafsu semata-mata.



    MeLetakkan bantal di bawah kaki

    Mereka mempunyai sifat kurang baik. Mereka jarang bergaul dengan orang ramai, malah kaku dalam pergaulan. Ini menyebabkan mereka cenderung bersifat egois. Mereka juga gemar menempuh jalan pintas untuk mencapai cita. Mereka tidak suka berusaha.



    MemeLuk BantaL

    Mereka yang suka memeluk bantal biasanya berjiwa seni. Penghargaan yang tinggi terhadap lukisan, muzik dan sastera. Perasaan mereka halus dan jiwa mereka romantik. Kadang-kala ada yang boleh membaca peristiwa yang akan berlaku melalui mimpi. Mereka juga sangat prihatin terhadap kesusilaan.



    Menggunakan banyak bantaL

    Mereka biasanya kurang keyakinan. Dalam kehidupan seharian mereka memerlukan banyak pendamping. Mereka jarang membuat keputusan sendiri, sebaliknya mendapatkan pendangan orang lain.



    Tidur tanpa bantaL
    Mereka memiliki sifat percaya diri yang sangat tinggi. Akhirnya sifat percaya diri ini membawa kepada sifat ego.







    * Buatlah apa sahaja pada bantal, tapi janganlah sampai buat peta pada bantal. Kesian kat dia...