Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Aug 21, 2008

Peristiwa Falak – Detik Kemerdekaan Malaysia

Oleh; al-Misri
SEBELUM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak. Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kasysyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu (Mokhtar Petah, 1997). Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab: "am khir atana" (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Beliau juga melarang pemuda-pemuda UMNO (United Malays National Organization) dari memberontak dan merampas kuasa jika kerajaan British tidak menyetujui tarikh 31 Ogos 1957 ini. Jika kemerdekaan tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki itu, Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962. Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. dan pada 20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Menarik untuk diperkatakan mengenai tarikh kemerdekaan yang dipilih oleh Syeikh Abdullah Fahim. Menurut seorang guru dari Sekolah Agama Daeratul Ma'arif Al Wataniah (DMW) di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bahawa sejenis alat digelar astrolabe kepunyaan Syeikh Abdullah Fahim ada disimpan di bilik pengetua sekolah tersebut dan dikatakan bahawa Syeikh Abdullah Fahim biasa menggunakan alat astrolabe ini bagi menghitung pergerakan cakerawala terutamanya buruj-buruj bintang. Mengambil kira hakikat ini atas ilham pemilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh Syeikh Abdullah Fahim, tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 31 Ogos 1957 ini dipilih, istimewanya mungkin dari kedudukan buruj-buruj bintang yang boleh kelihatan pada waktu maghrib sempena detik kemerdekaan negara 1957. Rajah 2 menunjukkan bahawa pada malam kemerdekaan didapati empat buah buruj sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari pada jam 7.19 malam, 30 Ogos 1957 bersamaan 4 Safar 1377 H, malam Sabtu. Buruj-buruj tersebut ialah Buruj Scorpius (Kala Jengking), Buruj Libra (Dacing), Buruj Virgo (Anak Dara) dan Buruj Kapal Layar (The Sail). Kelihatan juga dua buah planet yang sangat terang pada ketika itu iaitu Musytari (kecerahan 100 peratus) dan Zuhrah atau bintang Kejora dengan kecerahan 79 peratus berhampiran Buruj Kapal Layar. Bulan pula tepat berada di dalam Buruj Libra. Apabila dua simulasi kedudukan malam yang berlainan bagi tarikh pilihan Syeikh Abdullah Fahim diperbandingkan iaitu bagi malam 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962 (29 Rabi'ul Awal 1382), adalah didapati jasad cakerawala berkedudukan serupa terutamanya bintang Kejora yang terang di ufuk barat pada waktu itu. Apa yang lebih menarik lagi ialah Buruj Libra (Dacing) dan Buruj Kapal Layar yang kelihatan dengan jelas di angkasa. Tidak diketahui sama ada pemilihan dua tarikh tersebut oleh Syeikh Abdullah Fahim mempunyai kaitan rapat dengan politik Malaysia pada waktu itu atau di masa kini di mana Buruj Dacing tampak sangat sinonim dengan lambang Barisan Nasional manakala Buruj Kapal Layar berbetulan pula dengan lambang Parti Perikatan yang menang majoriti dalam pilihan raya 1955 bagi mencapai hasrat kemerdekaan dalam tempoh empat tahun (1959), namun kemerdekaan telah berjaya dicapai lebih awal lagi iaitu dalam masa dua tahun sahaja. Pada 16 September 1963; Malaya, Singapura, Sarawak, dan Sabah (dikenali dengan Borneo Utara) telah bersetuju untuk membentuk negara Malaysia. Brunei, yang turut menyatakan hasrat untuk menyertai persekutuan Malaysia telah membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir. Namun, tidak ramai di antara kita yang menyedari rahsia di sebaliknya apabila permasyhuran Malaysia pada hari itu telah dimeterai oleh peristiwa falak seumpama "mata rantai yang mengikat antara keduanya". Banda raya Kuala Lumpur turut diisytiharkan sebagai ibu kota negara Malaysia dengan lokasinya yang berada di pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Klang. Menara Kuala Lumpur, menara keempat tertinggi di dunia dan juga yang tertinggi di Asia Tenggara merupakan satu projek mega Telekom Malaysia yang mula dibina pada tahun 1992 dan disiapkan empat tahun kemudian. Ia menjadi mercu tanda ibu kota di samping Menara Petronas atau KLCC. Menara Kuala Lumpur diketahui berada pada latitud 3o09'06" Utara dan longitud 101o42'09" Timur. Menurut perkiraan adalah didapati matahari transit di meridian Menara Kuala Lumpur pada jam 1:18:09.90 tengah hari pada 29 Mac 2003 dan pada jam 1:08:37.50 tengah hari pada 15 September 2003 iaitu hampir genap 40 tahun Ulang tahun Pemasyhuran Malaysia yang jatuh pada 16 September 1963. Setelah matahari melalui garisan Khatulistiwa (equator, 0 darjah) pada 21 Mac 2003, pada 29 Mac 2003 ia akan melalui meridian (meridian transit) Menara Kuala Lumpur. Peristiwa ini berlaku pada jam 1:18:09.90 tengah hari tetapi matahari ketika ini adalah di deklinasi 3o12'57" Utara iaitu lebih tepat di suatu tempat dalam jarak lingkungan 7.130 kilometer dari Menara Kuala Lumpur. Meridian transit matahari atas Menara Kuala Lumpur hanya berlaku pada jam 9:18 pagi dengan ketinggian matahari 30o04'24" pada arah azimuth 88o10'51" di sebelah timur sedangkan ketinggian sebegini bukan lagi pada titik maksimum matahari zenith (rembang) di atas kepala. Begitu juga pada 15 September 2003, peristiwa meridian transit di atas Menara Kuala Lumpur pada jam 1:08:37.50 tengah hari itupun tidak betul-betul berada bersegaris secara vertical crossing (lintasan menegak). Ini kerana pada waktu itu matahari di deklinasi 3o11'23" Utara. Tempat di sekitar Kuala Lumpur yang betul-betul berada di bawah transit matahari ini ialah dalam jarak lingkungan 4.228 kilometer dari Menara Kuala Lumpur. Namun matahari hanya tepat di atas Menara Kuala Lumpur pada jam 3:31:30 petang sewaktu matahari telah pun condong ke barat di altitud (ketinggian) 54o20'19" dan pada arah azimuth 271o00'54". Ketinggian begini (54 darjah) juga bukan lagi berada pada titik maksimum matahari zenith di atas kepala. Matahari kemudiannya akan berada di garisan Khatulistiwa (0 darjah) pada 21 September. Ketika ini, bandar Pontianak di Kalimantan, Indonesia adalah berada tepat dengan meridian transit matahari. Tugu Khatulistiwa di situ adalah penanda rasmi peristiwa matahari transit ini. Bagi Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pula, meridian transit matahari adalah berlaku pada tarikh 3 April 2003 pada jam 1:22:13.50 tengah hari tetapi hanya benar-benar tepat bagi tempat di lingkungan 22 kilometer darinya. Peristiwa meridian transit di USM turut berlaku pada 10 September 2003 ketika tengah hari pada jam 1:15:56.50 tengah hari tetapi transit matahari ini lebih tepat berada pada tempat lingkungan 29.076 kilometer. Walaupun peristiwa falak mempunyai beberapa hubungan yang berkait dengan sejarah negara, ini sebenarnya adalah suatu yang lumrah dan bukannya suatu kuasa kosmik yang luar biasa. Maksud di sini ialah peristiwa falak menjadi titik-tolak bagi meraikan hari yang bersejarah secara kesederhanaan di mana kita boleh jadikannya sebagai satu iktibar bahawa perjalanan alam ini telah diatur sedemikian rupa oleh Allah Ta'ala dan mempunyai erti yang amat besar bagi orang-orang yang mahu merenunginya. Dalam disiplin ukur tanah, sesuatu ukuran lot sempadan tanah adalah diukur dan diikat dengan posisi kedudukan matahari bagi menentukan arah utara, selatan, timur dan barat bahkan juga arah kiblat. Ini secara langsung menunjukkan bahawa peristiwa falak tidak sahaja `mengikat' sesuatu hari yang diraikan itu, bahkan ia turut sama mengikat kedudukan kita di atas muka bumi ini atau dalam erti kata lain ialah "darinya juga kita akan dikembalikan". Kita tidak dapat lari ke mana-mana di alam ini kerana kita sebenarnya telah diikat rapi oleh masa dan ruang. Peristiwa falak adalah masa dan ruang itu.

Tiga Jenis Pemimpin

oleh; Zun-Nun

Ada tiga jenis pemimpin, iaitu pemimpin yang benar-benar pemimpin, pemimpin yang

setengah pemimpin dan pemimpin yang bukan pemimpin. Pemimpin yang benar-benar

pemimpin ialah yang mempunyai pendapat sendiri dan mahu bermusyawarah. Pemimpin

setengah pemimpin ialah yang mempunyai pendapat sendiri dan tidak suka bermusyawarah.

Yang ketiga ialah pemimpin yang tidak mempunyai pendapat sendiri dan tidak mahu

bermusyawarah!

~ Al-Hassan ibn Ali ibn Abi Talib

Sehangat Angin Ogos

oleh; al-Misri

Angin Ogos menyapa lagi – mengibarkan bendera, meniupkan semangat, menyemarakkan api patriotisme di sana-sini. Syukur setinggi-tinggi syukur, Malaysia dipanjangkan usia dan dilimpahi rahmat keamanan serta kemakmuran yang barangkali jarang kita dengar dari negara lain. Dan dua musim lagi kita akan mencapai usia ranum separuh abad.

Fikirkan: Orang dewasa, dan remaja yang sudah cukup matang untuk mengenal erti kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kini sudah sekurang-kurangnya mencapai usia 60 tahun. Ramai juga yang telah tiada. Yang kita lihat pada sambutan Hari Kemerdekaan dewasa ini – di padang dan di stadium; yang berarak, membaca ikrar atau berpayung terjun – rata-rata adalah dari golongan muda. Mereka dilahirkan di bumi Malaysia yang sudah sedia merdeka, Mereka kini hidup dikelilingi TV satelit, program realiti, laman web pelbagai ragam, telefon bimbit generasi terbaru dan kereta nasional berlumba-lumba di jaringan lebuh raya moden. Bagaimana rasanya mendapat kemerdekaan setelah beberapa abad berada di bawah telunjuk penjajah – itulah soalan yang seharusnya ditanyakan oleh golongan muda kepada generasi zaman pra-Merdeka. Atau, tanyakan: “Bagaimana rasanya bila tanah tumpah darah kita diperintah dan dibelenggu penjajah?” Mereka yang pernah bertanya berkemungkinan besar telah mendengar jawapan yang memilukan, yang barangkali mampu meruntun lelaki berhati waja. Pahit getir peperangan, kesengsaraan hidup di bawah kongkongan orang asing, dan perjuangan penuh pancaroba untuk menuntut kemerdekaan – semuanya menjadikan dinihari 31 Ogos 1957 sebuah mimpi indah yang akhirnya menjadi kenyataan, satu hari yang seolah-olah melimpahkan cahaya baru yang penuh dengan seribu satu harapan. Kemudian, bila kita sudah pandai merangkak, bertatih dan bangun lalu menegakkan tiang-tiang seri bangsa, dan bila kita sudah yakin berteriak “Malaysia Boleh” di puncak dunia, apatah lagi dengan prasarana kelas G7 di kota-kota besar, kita mula menjadi terlalu berani dan terlalu terbuka, malah kadang-kadang menjadi alpa dan terlupa akan nilai-nilai murni bangsa kita. Kerana itulah kita ingin menyambut kehadiran 31 Ogos dengan acara besar-besaran selama sebulan, yang kita ingin sasarkan kepada golongan muda. Kita mahu golongan muda turut sama kembali mengimbau keperitan perjuangan membebaskan tanah air, dan menyelami keagungan nilai sebuah kemerdekaan. Kita mahu pengguna jalan raya dan kanak-kanak bukan sahaja bangga mengibar bendera, tetapi juga mengerti bahawa lebih 51 tahun yang silam, tiada bulan bintang dan jejalur yang gemilang di tiang bendera kita. Pada masa yang sama, kita ingin mengajak semua pihak merenung sejenak: Di mana kemurnian Merdeka jika “Merdeka” disorak dan dilaungkan tanpa jiwa, tanpa keinsafan dan tanpa kesedaran? Kita tentunya tidak mahu generasi akan datang melihat 31 Ogos sebagai sekadar hari tidak bersekolah atau tidak bekerja, dengan Jualan Murah Merdeka di sana sini. Paling kita tidak mahu, kalimah Merdeka yang penuh keramat itu dipetik bagi mengiringi temasya alkohol atau perayaan “kebebasan” yang sebenarnya hanya mencanangkan bahawa jiwa kita masih dijajah orang asing. Antara kobar dan kibar musim perayaan ini, kami di Suara Sang Minda ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-51. Semoga hangat semilir Ogos ini akan terus kekal, semoga api patriotisme akan terus membakar pada bulan-bulan dan musim-musim mendatang, dan kita akan terus hidup sebagai satu Negara, satu Bangsa yang sentiasa Merdeka.

Mereka...

oleh; Puteri Zulaikha
Seseorang yang tidak tahu dan sedar apa yang tidak diketahuinya adalah bodoh -jauhi diri daripadanya Seseorang yang mengetahui dan tidak tahu apa yang diketahui olehnya adalah sedang terlena -bangunkan mereka Seseorang yang tidak tahu dan tidak tahu apa yang diketahuinya adalah jahil -bimbinglah mereka
Mereka yang mengetahui, tahu apa yang diketahuinya dan akan menambah pengetahuannya adalah seorang yang bijak -pelajari daripada mereka Seseorang yang mengetahui dan tahu apa yang diketahuinya adalah seorang pemimpin -contohi mereka

Sang Penghibur

video

Perjuangan Anthocharis

Oleh al-Misri

Hari ini, awan yang cerah dan angin sepoi bahasa seperti rutinnya menghantarkan kalimah-kalimah zikir memuji al-Hafiz kepada seluruh alam tentang keindahan maya. Namun di perdu pohon Kenanga, sayup zikir tadi ditenggelami oleh tangisan Anthocharis. Hatinya terlalu sedih. Sebak dan pilu. Telah terbenam baginya kecerahan dan keindahan hari ini. Baru seminggu yang lalu dia berasa gembira. Riang dan ceria. Tetapi hari ini nampaknya dia kecewa lagi.

Dia masih bersugul di bawah pohon itu. Puas dipujuk oleh Anthocharis jantan, namun dia tetap begitu. Perasaan marah dan kecewanya masih belum sudah. Memang mereka tidak berperikemanusiaan! Adakah ini ujian, peringatan atau balasan Tuhan?

Tingkah lakunya telah diperhatikan. Kasihan melihat Anthocharis sendirian. Keesakkan menangis. Lalu dia merangkak menghampiri.

“Mengapa engkau menangis Anthocharis?” Monarch bertanya temannya.

“Oh...engkau rupanya. Sebenarnya aku kesedihan!”

“Apa yang engkau sedihkan?”

“Anak-anak aku dimakan Apanteles dan Exorista. Mereka memang tidak berhati perut!” Anthocharis memberitahu dalam sedan yang belum tamat.

“Aku kasihan dan bersimpati di atas nasib engkau. Bersabarlah,” Monarch menunjukkan rasa terharunya.

Anthocharis tetap bersedih. Dia terasa kehilangan yang amat sangat. Bagaimana dia harus bergembira lagi? Segala-galanya telah hancur dan musnah. Rentung hatinya dengan perbuatan Apanteles dan Exorista.

Ketika Anthocharis pulang daripada mencari makanan, dia melihat Apanteles dan Exorista tanpa segan dan silu merobek telur-telur kepunyaannya. Anthocharis dapat merasakan kesakitan yang dideritai oleh telur-telurnya. Dia tidak berupaya melawan. Sanggup mereka menganiaya kumpulan yang sama. Ah... tidak wajar mereka melakukan begitu padaku! jerit hati Anthocharis.

* * *

Baru seminggu yang lalu Anthocharis menghasilkan telur-telurnya. Semuanya di dalam saiz yang kecil, 3 hingga 6 mm. Dia meletakkannya dengan baik di atas sehelai daun ketapang. Dia ingin melihat telur-telurnya, menetas, menjadi larva, menjadi pupa dan akhirnya dewasa sepertinya. Namun hasrat Anthocharis terpadam begitu saja. Semua ini adalah gara-gara Apanteles dan Exorista. Andai diberikan kekuatan, mahu saja dia menuntut bela di atas kematian anak-anaknya.

“Anthocharis... apakah engkau tidak mempunyai alat perlindungan untuk melindungi dirimu daripada musuh-musuh yang datang menyerang!” Monarch bertanya.

“Aku sedih kerana aku tidak seperti temanku, Idea Leucano. Mereka lebih bernasib baik daripada diriku,” bilang Anthocharis.

“Mengapa engkau berkata demikian! Bukankah engkau dari spesies yang sama!”

“Memang kami daripada spesies yang sama tetapi famili yang berlainan. Mereka mengumpulkan racun di dalam tubuh untuk mempertahankan diri,” jelas Anthocharis.

Monarch agak keliru dengan penjelasan Anthocharis. Dia bertanya lebih lanjut.

“Tetapi bagaimanakah mereka boleh hidup dengan racun?”

Apa yang Anthocharis tahu, idea mengumpulkan racun di dalam tubuhnya ketika masih di tahap larva lagi. Racun diperoleh daripada tumbuh-tumbuhan yang dimakan. Racun yang terkumpul itu tidak merosakkan larva. Racun itu akan dibawa ke tahap dewasa apabila melengkapi kitar larva dan pupa. Racun ini amat berguna bagi mereka melindungi diri daripada musuh. Sesiapa yang memakan mereka akan turut sama mati kerana racun itu. Oleh yang demikian, tiada haiwan lain yang berani menggangu mereka.

“Idea tergolong di dalam famili ‘Si Harimau, Si Gagak’ manakala dirinya dari famili ‘Si Biru, Si Tembaga’,” Monarch mengangguk tanda faham. Lantas dia berkata.

“Tetapi engkau tetap cantik di kalangan teman-temanmu, jangan bersedih,” Monarch cuba memujuk.

Anthocharis memang cantik seperti yang dikatakan oleh temannya. Ia berukuran kecil hingga sederhana. Dia dipanggil “Si Biru, Si Tembaga”, kerana kepaknya yang lazim berwarna biru atau jingga yang bergemerlapan.

* * *

Anthocharis kelihatan gembira hari ini. Gundahnya telah mulai surut, sikit demi sedikit. Kesuraman hari-hari lalu mula disinari panas sang mentari. Dia sudah mahu terbang ke sana dan ke mari. Lemah gemalai mengibarkan sayap. Keindahan kepak depan dan kepak belakang sungguh menambat hati.

Anthocharis terbang dan hinggap di atas bunga yang sedang berkembang. Menghisap manis sari pati madu bunga. Sesekali dia datang kepada temannya.

“Aku gembira melihat engkau begitu ceria hari ini.” Monarch menyambut kedatangan temannya dengan ukiran senyum di bibir.

“Terima kasih Monarch.”

“Kau boleh menghasilkan telur-telurmu lagi, jangan bimbang.” Monarch memberikan semangat dan rangsangan kepada temannya agar tidak berputus asa.

“Tetapi aku takut. Mereka akan menyerang lagi!”

Anthocharis mulai merasa bimbang. Dia resah. Dia tidak mahu peristiwa itu berulang kembali. Dia mahu telur-telurnya menetas di dalam keadaan yang aman. Tiada sebarang gangguan. Dan tiada sesiapa yang akan memakan telur-telurnya.

“Jangan bimbang Anthocharis. Aku akan menjaga anak-anak engkau. Namun kita harus percaya setiap ketentuan al-Hafiz,” janji Monarch.

Anthocharis riang. Dia mengibarkan kepaknya beberapa kali. Hatinya mula berbunga gembira. Dahulu, Anthocharis seakan patah semangat. Dia ingin mati setelah kehilangan segala-galanya. Hidup bagaikan tidak bererti lagi. Sudah puas dia memikirkan semuanya. Mungkin ini jalan yang terbaik! Namun, adakah al-Hafiz akan menerima kematiannya sebagai kematian yang baik? Tetapi, dia boleh mengawan lagi. Mengapa terburu-buru!

“Terima kasih, Monarch. Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas budi engkau. Sudah terlalu banyak engkau membantu aku.”

Tidak terucap kata-kata paling indah buat Monarch. Segala pertolongan yang diberikan begitu bererti. Baru sekarang dia merasakan impiannya akan tercapai, jika masa dulu tidak... ia akan tercapai sekarang! Dirinya akan lari daripada kekecewaan.

“Anthocharis. Mengapa engkau takut pada Apanteles dan Exorista?”

“Mereka musuh aku. Aku benci pada mereka!”

Kedua-duanya serangga parasit. Mereka meletakkan telur-telur mereka ke atas telur, larva, dan pupa kepunyaan Anthocharis. Kadang-kadang telurnya hampir beratus-ratus biji.

“Kamu tahu Monarch... apabila telur-telur Apanteles dan Exorista menjadi larva, ia akan memakan jasad lemak yang ada pada telur, larva dan pupa kepunyaanku. Anak-anak aku mati menjadi makanan mereka.” Ucap Anthocharis sayu.

Monarch mengeleng-gelengkan kepalanya. Dahsyat sungguh perilaku mereka.

“ Apabila jasad-jasadku telah habis dimakan, ia akan memakan organ dalaman seperti salur pencernaan dan sistem saraf,” Anthocharis menyambung ceritanya.

“Apanteles menggunakan satu tiub panjang yang dipanggil ‘ Ovipositor’ untuk menusuk ke dalam kulit larvaku yang lembut dan mengalirkan telurnya ke dalam larvaku.”

“Bagaimana pula Exorista menyerang telur-telur engkau?”

Monarch mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Sekurang-kurangnya dia dapat belajar sesuatu dan tahu cara untuk menyelamatkan diri daripada diserang Apanteles dan Exorista.

“Exorista meletakkan telur-telurnya di atas permukaan telur-telurku. Apabila telurnya menetas, ia akan menghasilkan larva Exorista. Larva Exorista kecil tetapi ia mempunyai mulut yang tajam. Dengan menggunakan mulut yang tajam inilah, ia menggigit dan mengorak masuk ke dalam telur, larva, dan pupaku,” Anthocharis mula merasa sedih.

“Maafkan aku, Anthocharis. Aku tidak bermaksud untuk membuat engkau merasa sedih.”

Monarch mula melihat ada manik-manik jernih yang jatuh dari wajah temannya. Dia cukup simpati. Malang sungguh nasib temannya itu. Tidak dapat melihat anak-anaknya membesar apatah lagi untuk bermain bersama.

* * *

Anthocharis berasa cukup bertuah. Mempunyai teman seperti Monarch yang memahami keadaannya. Sanggup berkongsi suka dan duka. Bukan senang mencari teman sebegini. Adakalanya teman lebih suka mementingkan diri. Silap-silap jadi habuan teman sendiri.

“Kita saling memerlukan di dalam hidup ini. Apatah lagi di dalam dunia kita yang begitu sempit,” kata Monarch pada temannya.

“Tapi bagaimana engkau dapat menolong aku?” tanya Anthocharis.

Dia ingin tahu bagaimana temannya boleh menolong. Mengapa Monarch perlu bersusah payah kerana dirinya? Sedangkan telur-telurnya mengambil masa sekurang-kurangnya satu setengah bulan untuk menjadi Anthocharis dewasa. Sanggupkah dia berkorban untuk suatu jangka masa yang lama?

“Aku akan membina sarangku dengan menganyam daun-daun di kelilingku. Letakkan telur-telur engkau dekat dengan sarangku. Apabila telurmu menetas. Larva-larvamu akan masuk ke dalam sarangku dan memakan daun-daun itu,” jelas Monarch.

“Kemudian apa akan berlaku?”

“Aku akan mengangkat keluar larva-larvamu dan membawanya ke kawasan yang mempunyai daun dan pucuk yang banyak. Dan aku akan menjaga larvamu daripada serangan musuh-musuhmu itu... sehinggalah ia berkembang dan selamat menjadi pupa.”

“Oh... aku sungguh berterima kasih kepada engkau... Monarch. Kau memang baik hati!” ucap Anthocharis.

* * *

Anthocharis sudah bersedia. Dia mahu mengawan lagi. Dia mahu impiannya tercapai.

“Sungguh banyak telur-telurmu!” Monarch kagum Anthocharis dapat menghasilkan hampir seratus biji telur.

“Itulah zuriatku. Aku cukup gembira.”

“Aku berjanji akan menjaganya dengan baik,” Monarch memberi harapan agar temannya tidak gusar lagi.

Monarch memang telah bersedia sejak awal. Dia telah membina sarangnya terlebih dahulu. Telur-telur Anthocharis diletakkan berdekatan dengan sarangnya. Monarch tidak menjaganya seorang diri. Dia meminta bantuan teman-temannya yang lain untuk sama-sama menjaga telur Anthocharis.

Sikap saling bantu-membantu sudah sebati di dalam jiwa keluarga Monarch. Bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Itulah pegangan yang ditunggak selama ini. Kerana itu, tiada siapa yang berani mengganggu keturunan mereka.

“Lihat Anthocharis... di dalam masa seminggu, telur-telur engkau telah menetas menjadi larva!” jerit Monarch gembira.

“Oh... sungguh senang hatiku. Tidak sabar aku menanti mereka menjadi dewasa,” Anthocharis berteriak keriangan.

Anthocharis tidak dapat menyembunyikan perasaan girangnya. Dia benar-benar gembira. Terlalu gembira. Dia terbang penuh gemalai. Dan sering memerhatikan kawasan sekeliling dengan berhati-hati. Dia khuatir, musuhnya datang menyerang.

Anak-anaknya kian membesar. Larva yang baru menetas akan menjalani proses penyalinan kulit untuk menjadi lebih besar. Proses penyalinan kulit berlaku antara 4 hingga 6 kali di dalam tempoh 7 hingga 20 hari. Anthocharis semakin tidak sabar. Kini larvanya di dalam proses istirehat dan dipanggil pupa. Pupa juga mengambil masa dan ketika untuk berubah menjadi Anthocharis dewasa.

“Aku lihat engkau tidak sabar-sabar lagi menanti anak-anakmu menjadi seperti engkau,” Monarch menelah hati temannya.

“Oh... Monarch. Memang saat ini yang aku nantikan, jika tidak kerana pertolongan engkau dan perkenan dari al-Hafiz, nampaknya aku akan terus kecewa.”

“Hari ini aku menolong engkau. Mungkin suatu hari nanti engkau pula yang akan menolong aku,” kata Monarch pada temannya.

Mereka sama-sama tersenyum. Ikatan ini terlalu kukuh untuk diurai. Dan mereka terus menanti kemunculan yang ditunggu. Beberapa hari kemudian, sarung pupa mula pecah. Terserlah Anthocharis dewasa menyerupai ibunya.

“Aku sungguh gembira hari ini... Monarch. Aku telah dapat melihat anak-anakku sendiri. Aku boleh terbang dan bermain bersama mereka. Dan aku juga tidak lupa untuk ucap terima kasih kepada engkau dan teman-teman yang lain kerana sudi menolong aku.” Tergambar keceriaan di wajah Anthocharis.

“Aku juga tumpang gembira. Sungguh cantik anak-anakmu itu. Tidak ubah seperti engkau jua,” Monarch memuji.

“Oh... sungguh terima kasih, Monarch,” balas Anthocharis kembali.

“Aku mahu mengajar anak-anakku terbang. Nanti aku kembali,” Anthocharis meminta izin temannya.

“Pergilah wahai temanku.”

Anthocharis membawa anak-anaknya hinggap di atas kuntuman bunga. Dia mengajar anak-anaknya terbang. Anthocharis gembira melihat kelatah anak-anaknya. Bersungguh-sungguh mereka belajar di udara. Ada yang masih tidak dapat mengawal sayap dan jatuh ke tanah.

Anthocharis terus memberi semangat dan dorongan yang kental. Dia mahu anak-anaknya menjadi penerbang yang baik. Nyaris-nyaris seekor anaknya disambar burung. Nasib mereka baik, burung pula dikejar sang helang.

* * *

Musim tengkujuh telah tiba. Anthocharis harus berhijrah bersama-sama anaknya. Musim hujan boleh mempengaruhi kebolehdapatan sumber tumbuhan sebagai makanan. Tetapi Anthocharis begitu sedih untuk meninggalkan temannya, Monarch. Dia tidak sanggup berpisah. Itulah satu-satunya teman yang sukar untuk dicari ganti.

“ Monarch, nampaknya aku terpaksa berhijrah... musim tengkujuh telah tiba. Aku harus cari perteduhan yang sesuai untuk kami,” Anthocharis menyatakan hasratnya.

“Apakah engkau akan meninggalkan aku!” Monarch inginkan kepastian.

“Kami akan berhijrah buat sementara waktu. Bila musim telah berubah, aku akan kembali di sini.” Sebak dada Anthocharis memberitahu.

“Nampaknya, aku akan kehilangan seorang teman,” Monarch sudah dapat merasakan saat-saat mereka akan berpisah. Pandangan mata mula kabur ditenggelami air mata yang mula bertakung.

“Jangan bersedih, teman. Aku akan kembali lagi,” janji Anthocharis.

“Sebagai seorang sahabat, aku akan menanti engkau. Jagalah anak-anakmu dengan baik. Jangan sampai diserang musuh lagi. Semoga engkau semua selamat di bawah peliharaan al-Hafiz.”

“Oh... Monarch, aku amat menyayangimu sebagai sahabatku. Semoga kita berjumpa lagi.”

Mereka menangis dengan perpisahan sementara waktu ini. Bisakah mereka bertemu di pertemuan kali kedua? Anthocharis melambai-lambai dengan sayapnya.

Gementar Ketakutan

Pasar dibuka beberapa hari lamanya. Semua jualan laris dengan keuntungan berlipat ganda, mengatasi pengalaman yang sudah-sudah. Kebetulan pada saat itu bertepatan dengan hari Yahudi, yang dimeriahkan dengan upacara besar-besaran.

Muhammad SAW, Abu Bakar dan Maisarah keluar menonton keramaian itu. Tatkala Muhammad SAW memasuki tempat upacara untuk menyaksikan cara mereka beribadat, maka tiba-tiba berjatuhanlah semua lilin-lilin menyala yang bergantungan pada tali di sekitar ruangan, yang menyebabkan paderi-paderi Yahudi gementar ketakutan.

Seorang di antara mereka bertanya: “Alamat apakah ini?” Semuanya hairan, cemas dan ketakutan.

“Ini bererti ada orang asing yang hadir di sini,” jawab pengerusi upacara. “Kita baca dalam Taurat bahawa alamat ini akan muncul bilamana seorang lelaki bernama Muhammad SAW, Nabi akhir zaman, mendatangi hari raya agama Yahudi. Mungkinlah sekarang orang itu berada di ruangan kita ini. Carilah lelaki itu, dan kalau bertemu, segeralah tangkap!”

Abu Bakar r.a, sahabat Muhammad SAW sejak dari kecil, dan Maisarah, yang mendengar berita itu segera mendekati Muhammad SAW yang berdiri agak terpisah, dan mengajaknya keluar perlahan-lahan di tengah-tengah kesibukan orang yang berdesak-desakan keluar masuk ruangan.

Tanpa menunda waktu lagi, Maisarah segera memerintahkan kafilah berangkat pulang ke Makkah. Dengan demikian tertolonglah Muhammad SAW dari kejahatan orang-orang Yahudi.

Cerita Dalam Negara!

Sebaik sahaja mengambil tempat duduk di ruang menunggu sebuah klinik, Saiy terpandang Pull sedang menangis teresak-esak. Dia segera mendekati Pull. Saiy : Kenapa menangis? Pull : Saya datang untuk ujian darah. Saiy : Awak takut ke? Pull : Bukan itu sebabnya. Semasa ujian darah dijalankan, mereka telah terpotong jari saya. Mendengarkan penjelasan Pull, Saiy pula menangis. Pull : Eh, kenapa pula awak menangis? Saiy : Saya datang untuk ujian air kencing... * Soalannya, siapakah yang mengawal laporan perubatan ? Ya betul, jawapannya Saiy + Pull =Saiful....mcm pernah dengar je nama ni?

Erti Kemerdekaan

Dan jatuhnya hanya beberapa hari lalu terbelenggu empat ratus tahun suatu tempoh yang amat payah dan panjang pengabdian dan kehilangan yakin diri 51 tahun kita berdiri menebus maruah merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada apa yang ada masih mahukan harga itu diperjudikan?

Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu ditangan kita masih panas keringat, tulang-belulang dan tenaga fikir menghayun langkah membina wawasan waspada harimau di matahari terbenam tidak akan hilang belangnya mengisytiharkan dirinya Yam Tuan Tunggal Sejagat dengan hukum rimba ganas yang lemah longlai yang gagah gergasi akan meruntuhkan segala sempadan rimba atas nama membina perkampungan dunia mahukan kita biarkan mereka menginjak-injak dan menghancurkan taman kecil permai ini?

Rimba tanpa sempadan atas nama "kebaikan" menyelinap menusuk matafikir hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan slogan

"Kasih alam ketelusan hukum keadilan timbangan kesatuan warga dunia kebebasan mutlak"
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan kesatuan alam dengan sorak sorai
"runtuhkan sempadan runtuhkan kronisme runtuhkan korupsi runtuhkan kolusi"
dan di belakang mereka tidak melihat bayang-bayang belenggu halimunan yang lebih ganas daripada segala yang ganas kita pun akan kehilangan harga dan erti diri mengapa diundang mereka dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah kita?

kita telah bangun dengan segala kepayahan membuka belantara dan mempertahankan warisan kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri merdeka kita dengan fikiran dan kita pertahankanya dengan fikiran dunia sudah melihat kita dunia sudah menghormati kita timur dan selatan mengharapkan kita mereka datang berbondong-bondong mencari di bumi ini perlindungan dan erti hidup mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat dengan tangan masih terbelenggu ke belakang dan hanya sesekali menjulangnya mengikut rentak genderang dunia matahari terbenam? bijak pandai pernah berpesan: "mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali" sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu bangsa akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang mengapa kita mula halalkan sejarah hitam berulang?

Nasib kita gengam dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang maruah bangsa kita julang kemercu alam kita bangunkan suatu tamadun cinta damai di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan dan bukan alat peperangan dunia belajar erti merdeka sejati mempelajari dan menerima segala perbezaan merdeka mentafsir hidup tanpa paksaan kuasa.

Di sini kita yakin segalanya boleh itulah erti kemerdekaan perjuangan ini mesti diteruskan.