Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Feb 14, 2008

Raikan Cinta: Menelusuri Pengorbanan Valentinus

oleh; Zun-Nun

Hari ini, warga dunia meraikan cinta. Anak yang kasihkan ibu, isteri yang cintakan suami dan jejaka yang merindui dara pujaan lazimnya akan menghadiahkan kad, bunga ataupun sekotak coklat buat insan-insan yang dikasihi ini.

Sambutan Valentine seharusnya dilihat dan dirai dengan memahami pengorbanan seorang individu yang dizalimi kerana perjuangannya dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kebebasan manusia.

Berdasarkan catatan sejarah, Valentine’s Day dikatakan bermula seawal zaman empayar Rom. Tamadun Rom purba memperingati 14 Februari sebagai tarikh mengenang Juno, Ratu Dewa Dewi Bangsa Rom. Juno dimuliakan oleh mereka sebagai Dewi Perkahwinan. Hari esoknya iaitu 15 Februari menandakan bermulanya Pesta Lupercalia. Antara amalan pada waktu itu ialah pertandingan mencabut nama perawan. Pada malam menjelang pesta Lupercalia, nama-nama perawan Rom akan ditulis di atas secebis kertas seterusnya dimasukkan ke dalam sebiji balang. Setiap seorang pemuda akan mencabut secebis kertas di dalam balang dan pemilik nama yang tercatit pada kertas tersebut akan menjadi pasangan sang pemuda sepanjang sambutan Lupercalia. Adakalanya, hubungan yang dijalin melalui praktik ini berakhir dengan perasaan cinta dan seterusnya membawa pasangan-pasangan tersebut ke jinjang pelamin.

Pada zaman tersebut, kehidupan para pemuda dan gadis diasingkan dan dikawal dengan ketat. Di bawah pemerintahan Maharaja Claudius II, banyak kempen peperangan dan pertumpahan darah telah terjadi. Masalah utama yang dihadapi oleh Claudius ketika itu ialah kesukaran dalam merekrut anak muda untuk menjadi tentera negara. Para pemuda enggan terlibat dalam perang kerana mereka tidak ingin meninggalkan keluarga dan kekasih mereka.

Dalam usahanya untuk menambah jumlah tentera bagi menghadapi peperangan, Claudius mengeluarkan satu dekri yang mengharamkan amalan pertunangan dan perkahwinan di kalangan penduduk Rom. Ini menimbulkan kemarahan ramai memandangkan arahan tersebut bersifat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Namun begitu, dalam senyap-senyap seorang paderi bernama Valentinus membantah arahan tersebut. Beliau tanpa gentar meneruskan tugasnya mengahwinkan pasangan-pasangan muda yang sedang bercinta dalam suasana sulit dan tertutup.

Malangnya, hal ini sampai ke pengetahuan Claudius. Valentinus ditangkap dan dihumban ke penjara. Pemerintah Rom menjatuhkan hukuman bunuh terhadap beliau atas kesalahan melanggar dekri maharaja. Sepanjang beliau dikurung di penjara, ramai pasangan kekasih datang menziarahinya. Mereka menghiburnya dengan kata-kata semangat, menulis nota cinta serta menghadiahkan kuntuman bunga kepadanya. Antara pengunjung setia Valentinus sepanjang beliau dipenjara ialah anak gadis kepada pengawal penjaranya. Gadis itu menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk menemani dan berbual dengan Valentinus. Beliau menganggap apa yang dilakukan oleh Valentinus merupakan satu pengorbanan yang sangat mulia.

Menjelang hari kematiannya pada tanggal 14 Februari, sekitar tahun 269 Masihi, Valentinus meninggalkan secebis nota kepada gadis tersebut yang diakhiri dengan ungkapan: “cinta dari Valentinusmu”. Adalah dipercayai, nota yang ditinggalkan oleh Valentinus ini merupakan titik tolak kepada tradisi mengirim ucapan cinta sempena Hari Valentine yang diraikan pada tanggal 14 Februari setiap tahun. Ianya sebagai memperingati pengorbanan Valentinus dalam memperjuangkan cinta, salah satu fitrah manusiawi yang bersifat universal.

Apa yang penting bukanlah isu sejarah Hari Valentine yang dilatari oleh riwayat kehidupan seorang paderi Kristian, tetapi nilai pengorbanan serta keteguhan prinsip seorang individu bernama Valentinus yang mati dengan keyakinannya bahawa cinta sesama manusia tak mungkin bisa dihalang hatta oleh kekangan dari pemerintah yang zalim.

Kini, setiap 14 Februari, manusia meraikan cinta. Dan setiap kali mereka mengenang bagaimana Claudius cuba ‘membunuh’ cinta, mereka akan mentertawakannya. Bagaimana mungkin cinta mampu dibunuh? Cinta itu hakikat. Cinta itu pengikat.

p/s - Bercintalah mengikut apa yang telah dilandaskan oleh agama masing-masing...

Pembubaran DUN dibuat serentak untuk Pilihan Raya Umum Ke-12




Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan, kira-kira 15 bulan lebih awal daripada tempoh penggal ke-11 berakhir Mei tahun depan.


Semua kerajaan negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Sarawak yang baru mengadakan pilihan raya negeri pada Mei 2006.


Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, lima pilihan raya sebelum ini diadakan dalam tempoh sembilan hingga 20 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen.


Mengikut Akta Pilihan Raya 1958, tarikh penamaan calon boleh ditetapkan sekurang-kurangnya empat hari selepas SPR mewartakan notis pilihan raya umum, manakala hari mengundi seawal-awalnya tujuh hari selepas penamaan calon, menjadikannya 11 hari.


Pada Pilihan Raya Umum 2004, penamaan calon diadakan sembilan hari selepas Parlimen dibubarkan pada 4 Mac dan pengundian 21 Mac membabitkan lapan hari berkempen.


Seramai 10.9 juta pemilih termasuk 700,000 pengundi baru layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini, yang mempertandingkan 222 kerusi Parlimen, termasuk tambahan tiga kerusi baru di Sarawak, serta 505 kerusi DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 24 Februari ini manakala pengundian pada 8 Mac 2008. Selamat mengundi...



Kepada pengunjung yang sudah layak mengundi dan ingin menyemak daftar pemilih boleh klik :

p/s : Ingatlah dan mengundilah secara bijaksana kerana negara kita adalah untuk kita sahaja...

Feb 10, 2008

Berehatlah Seketika...

Setelah penat belajar dan bekerja, berehatlah seketika. Semoga kita tidak seperti profesor ini.... Mr. Bean le siapa lagi...
video

Tip Hadapi Peperiksaan

Oleh; al-Misri

Oleh kerana, tidak berapa lama lagi saya dan rakan-rakan akan menduduki peperiksaan semester akhir. Di sini saya sertakan sedikit bahan yang mungkin dapat membantu kita menghadapinya dengan lebih bersedia. Semoga saya dan anda berjaya dengan penuh kecemerlangan. Dan selebihnya berserah dan bertawakallah kepada yang Maha Bijaksana!

Ketika anda menghadapi peperiksaan, anda sedang memperlihatkan kemampuan anda memahami apa yang telah anda pelajari.

Peperiksaan memberikan gambaran terhadap perkembangan pelajaran anda.

Terdapat beberapa aspek, seperti sikap dan keadaan anda akan mempengaruhi anda dalam peperiksaan.


Sepuluh Tip Untuk Membantu Anda Dalam Peperiksaan:

Datanglah dengan cukup bersedia dan lebih awal.
Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan, seperti pensel, pen, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini akan membantu anda untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang masa peperiksaan.

Tenang dan percayakan diri anda.
Ingatkan diri anda bahawa anda sudah siap sedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik.

Bersantailah tapi berhati-hati.
Pastikan meja dan kerusi anda dalam keadaan baik dan selesa untuk anda menulis. Duduk dalam keadaan menegak.

Prebiu soalan-soalan terlebih dahulu.
Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan secara mendalam, tanda kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan. Rancangkan untuk menjawab soalan yang mudah dulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang mungkin akan digunakan sebagai jawapan.

Jawab soalan secara strategik.
Mulai dengan menjawab soalan mudah yang anda tahu, kemudian dengan soalan yang mempunyai markah banyak. Soalan terakhir yang seharusnya anda jawab adalah:

  • soalan paling sukar,
  • yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk menulis jawapannya,
  • tetapi mempunyai markah sedikit.

Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Mula-mula, abaikan jawaban yang anda tahu salah. Tekalah pilihan jawapan ketika tidak ada pilihan jawapan yang dapat anda abaikan. Jangan mengubah suatu pilihan jawapan jika anda tidak pasti kerana pilihan pertama jawapan anda biasanya betul, jangan menggantinya kecuali anda yakin dengan pembetulan yang anda lakukan.

Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis. Buat rangka karangan untuk esei dengan mencatat dulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun isi-isi itu mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.

Semasa menjawab soalan esei, jawab pada persoalannya. Tulis frasa pokok pada frasa pertama. Gunakan perenggan pertama sebagai pengenalan esei anda. Gunakan perenggan seterusnya untuk membincangkan isi-isi utama secara terperinci. Sokong isi anda dengan penerangan yang jelas, contoh, atau petikan dari buku atau media lain jika perlu.

Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksa jawapan. Periksa jawapan; elakkan keinginan untuk cepat meninggalkan dewan atau bilik setelah anda menjawab semua soalan ujian. Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca. Untuk jawapan matematik, pastikan tidak ada kesilapan (misalnya salah meletakkan tanda titik perpuluhan). Bandingkan jawapan matematik anda yang sebenarnya dengan pengiraan ringkas.

Analisa jawapan anda. Setiap peperiksaan akan membantu anda dalam mempersipakan diri untuk peperiksaan berikutnya. Tetapkan strategi mana yang sesuai dengan anda. Tentukan strategi mana yang tidak menjadi dan ubahlah. Gunakan pengalaman kertas peperiksaan sebelumnya ketika belajar untuk peperiksaan akhir.

Terjemahan dari : Landsberger, Joe. Ten Tips of Test Taking

Feb 5, 2008

Starlight - Muse

video
Lirik lagu ini begitu besar makna dan seninya.... Selamat mendengar. p/s - sekiranya anda ingin mendapatkan kesan bunyi yang lebih baik, sila tutup sementara muzik latar untuk laman ini. Terima kasih.

Melayu Yang Berani...

oleh; Nur Aqilah


Ini mungkin kali pertama Mamat sampai ke Kuala Lumpur tetapi bukanlah kali pertama dia menaiki bas sebagai alat perhubungan menuju ke destinasi. Di Kuala Lumpur, Mamat tinggal sementara di Kampung Kerinchi bersama Sakai. Pada suatu petang, Mamat diajak oleh Sakai ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

Sakai : Jom pergi KL. Esok tahun baru, apa kata kita cuci mata.
Mamat : Ok, no problem...
Sakai : Wah, bangga aku siut kau pandai cakap org putih...
Mamat : Small matter...

Mendengar kata-kata Sakai tu, semakin kembanglah hidung Mamat seperti jambu air. Mereka pun bersiaplah lalu menaiki sebuah bas ke ibu kota. Si Sakai memilih untuk duduk di tempat duduk berasingan dengan Mamat bagi memastikan keselesaan. Ini kerana Si Mamat ni, badannya boleh kira besar le jugak. Apabila bas sampai di Lembah Pantai, lalu naik seorang warga asing dari Bangladesh dan duduk di sebelah Mamat. Apabila bas itu bergerak, tiba-tiba warga asing ni gelabah lalu bertanya kepada Mamat :

Abangla : Ekskiusme, this bas go to Mid Valley or not... because I'm new here?

Dengan confident dan beraninya Si Mamat menjawab dengan kuat bagi memastikan Sakai dan penumpang lain dalam bas mendengar kemahiran bahasa Inggerisnya;
Mamat : No....No...No....no... tol kondak, happy new year...

Kemudian Si Mamat sempat lagi menjeleng dengan bangganya ke arah Sakai bagi menunjukkan bahawa dia lebih berani berbahasa Inggeris...

Hakikatnya, memang dia sangat berani....

Ilmu Di Dalam Kitab atau Di dalam Dada?


oleh; Puteri Zulaikha


Sewaktu dalam perjalanan kembali ke Thaus dari sebuah daerah bernama Jarjan, selepas Imam Ghazali belajar dengan Imam Abu Nasyar Al Ismaili, rombongan Imam Ghazali telah dirompak oleh segerombolan perompak yang banyak berkeliaran di waktu itu. Semua barang mereka habis dirompak termasuklah manuskrip-manuskrip Al Ghazali yang berharga.

Al Ghazali merasa sayang sekali pada bahan-bahan manuskripnya itu lalu beliau memberanikan diri menghampiri ketua prompak untuk meminta kembali bahan-bahan tersebut.

Tatkala mendengar rayuan Al Ghazali itu maka ketua perompak itu lalu berkata,

"Apa gunanya lagi catatan-catatan engkau itu kiranya ilmu itu sudah engkau pelajarinya?

Bukankah ilmu itu sudah ada di dalam kepalamu (dadamu - penulis)?"

Bagaimanapun selepas itu ketua perompak itu telah mengembalikan semula barang-barang yang dikehendaki oleh Al Ghazali itu.

Sejak dari peristiwa itu Al Ghazali telah mengutamakan pemahaman serta penghafalan daripada kerja mencatat sewaktu mempelajari sebarang ilmu yang dituntutnya. Beliau sering menyebut,

"Pelajaran-pelajaran selanjutnya akan saya faham dan hafalkan kerana sekiranya barang-barang itu kemudiannya dirompak orang, saya tidak akan kehilangan apa-apa lagi ilmu yang telah saya pelajari itu."


~ Luqman Hakim

Ikhlas Sifat Mulia Penyelamat Diri

oleh; Zun-Nun


SALAH satu sifat yang harus ada pada diri kita dalam kehidupan sehari-hari ialah sifat ikhlas termasuk ikhlas dalam mengerjakan amal ibadat dan mengikut perintah-perintah Allah. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan setiap muslim diterima Allah atau sebaliknya. Ini bermakna keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan muslim di dunia dan akhirat.

Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat 2 yang tafsirnya:

"Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya."

Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam al-Bukhari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrah itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu."

Agama Islam adalah agama yang amat unik di mana setiap gerak-geri dan perlakuan harian penganutnya dianggap sebagai ibadat. Setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah. Oleh itu selama mana seseorang muslim itu menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh tulus keikhlasan, maka selama itulah segala tingkah laku perbuatan dan percakapannya akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah. Kita hendaklah menjauhi sifat-sifat yang buruk yang boleh menghakis sifat keikhlasan seperti riyak, ujub dan sombong. Ini kerana Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kepada umat Islam bahawa sifat riyak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.

Jadi hendaklah kita menghiaskan diri dengan sifat mulia dan ikhlas bukan saja dalam kehidupan kita sendiri, juga akan dapat membantu memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia. Orang-orang yang ikhlas akan mendapat kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah.

Dapatlah kita simpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah di mana ia menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman muslim kepada Allah. Sesungguhnya sifat ikhlas penting disemai dan dibajai dalam hati setiap muslim di dalam melaksanakan ibadat seperti sembahyang, puasa, sedekah dan haji serta segala niat yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat ganjaran pahala.

Dengan menjadikan ikhlas sebagai amalan hidup kita, barulah hati akan bersih dan suci dari sebarang kekotoran serta penyakit yang boleh menghancurkan ummah. Harta dan kemewahan dunia tidak setanding dan bererti melainkan hati yang ikhlas seperti sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu."

SUNGAI SEGGET


Sungai ini tidak pernah menyoal dari mana ia bermula

sebab arusnya terlalu membuta menuju ke kuala

kau selalunya malang

rumpunan aur berceracak di tebing

rimbun dan cerdik inayat didikan alirmu

kini menetak mencedera akar persaudaraan

parang kesumat curiga galak berarak

lembing khianat gejolak meniup olak

keris tamak petah melontarkan perbalahan

dan darah kemelut perpecahan

mengeruhkan ceria air

menghunjam titik jingga ke dasar sejarahmu.


* untuk bacaan selanjutnya puisi ini sila klik

Guru dan Kejayaan Wawasan


Oleh, al-Misri

Wawasan 2020 mengandaikan bahawa dunia akan menjadi paling sengit dari segi persaingan. Hakikat masa kini dan masa hadapan ialah every nation for it self. Sekiranya kita tidak mengukuhkan diri kita tidak ada sesiapa yang akan membantu kita.

Projek kereta nasional adalah lambang pengisytiharaan bahawa negara kita sudah mula bergerak ke arah kemajuan negara. Ia merupakan simbol transformasi dari segi peranan kita dalam era kepesatan dunia yang mengamalkan K-Ekonomi. Mereka yang berada dalam era ini adalah pengeluar, pencipta dan pereka. Kita harus mengubah peranan kita daripada menjadi pengguna kepada peranan yang lebih besar sebagai pencipta dan pengeluar.

Justeru, adakan sistem pendidikan kita berteraskan kemajuan wawasan yang didokong oleh guru yang berkualiti. Menurut Wan Mohd Zahid Mohd Nordin (1994), bukan sahaja guru yang harus aktif dalam sesuatau hal, pengetua, bahkan lebih penting lagi Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) harus arif dan tahu apa yang berlaku dan tidak lupa juga Kementerian Pelajaran Malaysia.Kita mahu kuasa ilmu pengetahuan digunakan. Ia adalah sebaik-baik kuasa untuk meraih pengiktirafan.

Menjamin kualiti perkhidmatan dalam profesion perguruan berteraskan prinsip etika yang dipegang pada abad ke-21 merupakan satu cabaran. Stakeholders dan pelanggan pendidikan pasti akan membuat tuntutan peningkatan mutu pendidikan. Arus pembangunan masa kini mendesak peningkatan kualiti dalam semua bidang perkhidmatan sosial. Fenomena ini akan meningkatkan lagi tuntutan sosial ke arah suatu tahap kualiti perkhidmatan yang berkualiti dalam profesion keguruan.

Sejarah beberapa buah negara telah membuktikan bahawa kekayaan wang sahaja tanpa ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap telah membawa kehancuran dan kemunduran negara tersebut. Kualiti perkhidmatan dan keberkesanan seseorang pendidik tidak bergantung kepada kepimpinan dan sumbangan profesional yang diberikan sepanjang kerjayanya. Pendidik perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan umum, tugas penyeliaan dan ilmu-ilmu pendidik profesional ke suatu tahap yang selari dengan segala jenis perkembangan kemajuan dan inovasi dalam masyarakat dunia. Pendidik harus ingat bahawa kuasa ilmu dan keterampilan seseorang manusia itu lebih penting dan lebih mempengaruhi daripada kuasa jawatan. Kuasa jawatan tanpa ilmu dan berketerampilan dalam bidang keguruan, tidak memberi banyak makna. Fungsi keguruan dianggap sesuatau yang dituntut kerana tidak ada gunanya seseorang memegang sesuatu jawatan yang beramanah serta bertanggungjawab sekiranya tugas tidak dapat dilaksanakan secara sempurna.

Dewasa ini prinsip dan amalan keguruan telah berubah. Dulu pengurusan mengawal kerja semata-mata tetapi sekarang tumpuannya adalah kepada kualiti guru yang menggalakkan inovasi dan kreativiti. Pendidikan keguruan haruslah memberi penekanan yang sewajarnya kepada penyuburan potensi diri supaya menjadi self-motivated and self-directed. Kita memerlukan tenaga profesional yang boleh membuat pilihan dengan cepat dan tepat dalam segala situasi. Dalam keadaan masyarakat yang kian berkembang di arus kemodenan sains dan teknologi, fungsi guru bukan setakat mengajar sahaja. Guru perlu bertindak sebagai fasilitator, penyelesai masalah dan pemangkin kepada pembelajaran. Sistem pendidikan sekarang harus mengintegrasikan latihan prakerja, latihan dalam kerja dan pendidikan berterusan menjadi wajib kepada profesion perguruan. Perancangan ini akan membawa penganjakan berkualiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Kunci kepada perancangan ini adalah guru berkembang bersama-sama pendidikan.

Oleh itu, sebagai pemimpin pendidikan, pendokong wawasan, pelaksana reformasi dan penterjemah Falsafah Pendidikan Negara. Kita memancarkan arca wawasan dan misi, kemudian kita memantapkan keterampilan diri demi terbinanya kepercayaan dan keyakinan dan akhirnya kita bertindak memecah kebiasaan dan kelaziman, untuk merangsang inovasi, perubahan, imaginasi dan pembaharuan. Pelaksanaan tanggungjawab mendokong wawasan dan merealisasikannya dalam dunia pendidikan menuntut guru menampilkan diri sebagai model yang berpegang kepada etika mengatur agenda membina generasi bangsa ke arah kesejahteraan.