Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Dec 22, 2010

Apabila Tirai 2010 Berlabuh...

Tirai tahun 2010 akan mula berlabuh. Bagaimana dengan hasil kebaikan dan kebajikan yang telah kita himpunkan untuk tahun ini?

Beberapa hari sahaja lagi, pentas tahun 2011 akan mula menjengah, sesi persekolahan juga akan kembali dibuka. Para remaja yang masih di bangku sekolah kembali sibuk mengulang kaji pelajaran. Kalau ada yang berbulan madu pada tahun ini, kerana berada di Tingkatan Empat, pada tahun hadapan – harap maaf; anda perlu melakukan pecutan akhir menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada waktu cuti panjang begini, apakah yang anda lakukan? Mungkin sesetengah daripada remaja memanfaatkan cuti dengan mempraktikkan “Cuti-cuti Malaysia;” bersiar-siar ke hulu atau ke hilir. Tambahan pula kita baru sahaja meraikan kedatangan Aidiladha. Namun, sejauh mana kita menyahut pengertian “korban” dalam sambutan tersebut serta menghayatinya dalam kehidupan?

Mungkin juga ada yang sekadar melepak ke sana ke mari tanpa arah dan tujuan. Bagi golongan ini, beringatlah. Setiap hari yang menjelma dan kita habiskan itu menandakan saat demi saat, kita semakin dekat di panggil penghadap kepadaNya dengan membawa amal dan bekal. Rebutlah masa lapang anda pada waktu cuti begini dengan meningkatkan amalan-amalan ibadah kepada Allah s.w.t., membantu ibu bapa, menambah ilmu, mencari pengalaman sebanyak mungkin dan mengulang kaji pelajaran demi mempersiapkan diri untuk tahun hadapan.

Ketika tirai tahun 2010 perlahan-lahan dilabuhkan dan semakin jauh meninggalkan pelabuhan, kita harus merenung ke dalam diri sejenak untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi saat-saat yang lebih mencabar pada tahun hadapan.

Untuk membantu anda mempersiapkan diri merenung ke dalam diri, pendekatan 4M boleh digunakan. Pendekatan 4M yang dimaksudkan ialah :

  1. Muraqabah (memerhati kesilapan diri)

Gunakan sedikit masa, renungkan dan catatkan seberapa banyak dosa, kesilapan, dan kekhilafan yang dilakukan selama ini. Mungkinkah selama ini, ada yang lalai dalam menunaikan perintah-perintah Tuhan? Mungkinkah pada tahun ini, ada yang telah melukai hati kedua orang tua yang tercinta? Mungkinkah telah beberapa kali anda melanggar amanah yang diberi – misalnya sebagai pelajar di sekolah, sepatutnya belajarlah bersungguh-sungguh, tetapi anda malas dan berfoya-foya?

  1. Muhasabah (menilai kesilapan diri)

Saidina Umar r.a pernah berpesan, “Lakukanlah muhasabah pada diri sendiri, sebelum kamu semua dihisab (diperhitungkan amalanmu di akhirat nanti), juga letakkan dirimu di atas neraca (ditimbang amalannya) sebelum kamu semua diletakkan di atas neraca (di akhirat).

Seseorang remaja yang bijak akan selalu bermuhasabah berhadap apa-apa jua kesilapannya. Misalnya, sesudah selepas bemuhasabah, nilaikan pula kesan dan mudarat kesilapan itu.

Imam Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukmin memberikan panduan kepada umat Islam tentang tata cara bermuhasabah. Misalnya, Imam Ghazali menjelaskan pada setiap pagi, sesudah selesai menunaikan solat Subuh, dengan penuh penghayatan, kita panjatkan kesyukuran kepadaNya kerana diberikan satu-satunya nikmat yang dimiliki iaitu umur; kemudian berazamlah untuk tidak mensia-siakan setiap pemberian yang dikurniakan oleh Allah seperti pernafasan, mata, hidung, telinga, dan perut.

  1. Mu’stabah (memproses, membina strategi, dan mencari penyelesaian)

Selepas bermuhasabah, kita hendaklah menyusun strategi baru untuk mengelakkan daripada mengulangi kesilapan yang sama. Jika sepanjang tahun ini, misalnya, kita telah melakukan banyak kesilapan, dosa dan noda; disamping memerangi dan menilai kesilapan dan dosa itu, kita perlu berikhtiar dan merancang strategi untuk mengelakkan daripada tercebur kembali dalam kesilapan itu.

Dalam bidang pelajaran pula, mungkin sepanjang tahun ini banyak kesilapan telah anda lakukan yang menyebabkan pencapaian anda tidak menepati sasaran. Oleh itu, dalam proses bermu’stabah, susunlah strategi baru untuk meraih kejayaan yang lebih cemerlang. Misalnya, antara kesilapan anda sebelum ini ialah belajar hanya dua jam sehari, malu berjumpa guru bimbingan dan kaunseling apabila menghadapi masalah, dan kurang mengulang kaji pelajaran. Oleh itu, pada tahun hadapan, tambah masa belajar, rajin bertanya guru, dan tingkatkan usaha mengulang kaji pelajaran.

  1. Mujahadah (memperbaiki diri melalui perbuatan, amalan, praktis)

Kemuncak segala usaha ialah mujahadah. Jika 3M yang terdahulu berorientasikan teori, M yang ke-4 berpaksikan kepada praktikal dan amali. Mujahadah bererti mengamalkan segala niat, perancangan, strategi dan teknik untuk memperbaiki diri.

Generasi remaja hendaklah menjadi generasi yang tahu potensi diri dan dalam masa yang sama mengetahui kelemahan diri. Potensi yang ada hendaklah digilap supaya boleh memberi manfaat kepada masyarakat Islam. Segala kelemahan hendaklah diperbaiki supaya boleh menjadi model kepada keluarga, masyarakat dan ummah.

Golongan remaja seharusnya menjadikan pendekatan 4M sebagai suatu panduan untuk menyambut ketibaan tahun baru yang bakal menjelma. Ingatlah bahawa pada ketika anda begitu gembira menyambut ketibaan tahun baru, sebenarnya ketibaan tahun baru itu menunjukkan diri anda semakin dimamah usia dan alam barzakh. Moga-moga remaja sekalian dapat mengamalkan pendekatan 4M ini sebelum mentari tahun 2011 muncul di ufuk timur!

No comments: