Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Dec 28, 2007

Mendukung Seorang Gadis


oleh Puteri Zulaikha


Dua orang pendita sedang dalam pengembaraannya sampai ke sebuah sungai. Di situ
mereka melihat seorang gadis yang berpakaian cantik lengkap dengan segala perhiasannya,

tidak tahu berbuat apa-apa kerana air sungai sebak dan dia tidak mahu pakaiannya menjadi

rosak.


Tanpa berlengah salah seorang pendita itu mendukung gadis tersebut di atas belakangnya

lantas menyeberangi sungai itu. Sesampai di seberang gadis tersebut diletakkan di atas tanah

yang kering. Lantas kedua-dua pendita tersebut meneruskan perjalanan mereka. Tetapi

pendita yang seorang lagi itu mulai mempersoalkan tindakan rakannya yang mengendong

gadis tadi:

"Sesungguhnya adalah tidak betul menyentuh seseorang wanita; ianya melanggar

rukun mengadakan hubungan intim dengan wanita-wanita; macam mana anda

berani melanggar undang-undang yang dikenakan kepada sekalian pendita!"


Pendita yang mengendong gadis tadi terus juga berjalan tanpa bersuara, tetapi akhirnya dia berkata:

"Aku telah tinggalkan dia di tepi sungai itu. Tetapi kamu masih mengendongnya lagi."

~ (The World's Wisdom)

Bapa Komputer Moden


oleh Nur Aqilah

Dilahirkan di England pada 26 Disember 1792. Beliau merupakan bekas pelajar di Universiti Cambridge. Pada penghujung tahun 1816 belaiu telah menjadi fellow Persatuan Diraja, dan merupakan Profesor matematik di universiti tersebut. Babbage dikenali kerana melahirkan idea bagi membina Analytical Engine, pelopor kepada komputer digital.
Beliau juga mencadangkan penyelidikan yang melibatkan idea menggunakan mesin dalam menjalankan operasi penyelesaian matematik bagi mengelakkan kesilapan manusia dalam pengiraan Mesin ini boleh menyelesaikan masalah pengiraan sifir matematik seperti logaritma secara mekanikal tepat sehingga dua puluh digit. Mesin ini telah dicipta oleh Charkes Babbage pada tahun 1816. Mengikut draf yang dicadangkan pada peringkat awal, mesin ini menggunakan kad tebuk sebagai input, boleh menyimpan kerja-kerja sebagai ingatan, melakukan pengiraan secara automatik dan seterusnya mengeluarkan output dalam bentuk cetakan pada kertas. Konsep ini telah memeranjatkan ahli-ahli sains pada masa itu kerana dianggap terlalu maju.

Dec 27, 2007

TIDAK SUKA PERANG


oleh Zun-Nun

Pada suatu pagi, seorang guru Sejarah bercadang mahu mengajar mengenai peperangan berlaku. Guru tersebut bertanyakan kepada para pelajarnya sama ada mereka menggemari peperangan atau mahukan keamanan. Kesemua pelajar bersetuju bahawa mereka lebih sukakan keamanan.
"Ada sesiapa diantara kamu yang boleh memberikan sebab kenapa kamu bencikan peperangan?" tanya guru tersebut.
Seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bangun. Guru itu memandang pelajarnya dengan penuh minat untuk mengetahui jawapan pelajar tersebut.
"Saya bencikan perang, sebab peperangan akan membentuk sejarah. Sedangkan saya tidak sukakan mata pelajaran sejarah" jawab pelajar itu.

  • Ilham dari GPMS mencadangkan subjek Sejarah menjadi subjek teras. Biarkan-biarkan, si luncai dengan labu-labunya...

BAGAIMANA SISTEM MERITOKRASI DALAM PENDIDIKAN MEMBEZAKAN INDIVIDU?

Oleh al-Misri

1.0 Pengenalan.

Meritokrasi adalah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kebolehan dan keupayaan seseorang tanpa mengira pangkat,keturunan, kaum dan agama.Sistem ini telah lama diaplikasikan dalam sistem pendidikan di Negara kita ,Malaysia.Pengambilan para pelajar ke sekolah berasrama penuh adalah berdasarkan pencapaian mereka di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR),Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).Kaedah ini dianggap sesuai oleh semua pihak memandangkan kekosongan yang ada di sekolah berasrama penuh dan universiti-universiti tempatan adalah terhad.

Pada bulan Mei 2001 masyarakat Malaysia dikejutkan dengan isu sistem kuota pengambilan pelajar memasuki institusi pengajian tinggi awam(IPTA).Orang Melayu umumnya membantah sekeras-kerasnya jika sistem meritokrasi ini dilaksanakan.Sebenarnya tanpa mereka sedari sistem ini telah diguna pakai sejak lama dahulu.Jika kemasukkan pelajar bukan berdasarkan kecemerlangan(meritokrasi) dalam akedemik mereka,cara apakah yang kita gunakan sekarang?.Oleh itu sistem ini adalah yang terbaik untuk membuktikan para pelajar hasilan Malaysia adalah berkualiti tanpa mengharapkan kuota semata-mata.

2.0 Definisi:-

Menurut Amir Hasan Dawi (2002) dalam bukunya yang berjudul Penteorian Sosiologi dan Pendidikan meritokrasi adalah satu pandangan atau memberi peluang kepada orang untuk maju berdasarkan meritnya,yakni berdasarkan kelayakkan dan kecekapannya atau kecemerlangannya. Menurut Kamus Dewan (Edisi ketiga) meritokrasi ialah satu sistem sosial yang menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya dan bukan kerana keturunan atau kekayaan.

3.0 Konsep meritokrasi :

Meritokrasi merupakan satu pandangan di mana kejayaan atau ganjaran pendidikan dan sosial adalah diagihkan berdasarkan merit kepintaran (IQ),bakat dan ikhtiar individu.Perkara mustahak ialah apa yang seseorang itu lakukan.Meritokrasi adalah berasaskan persamaan peluang dan bukan persamaan hasilan. Selaras dengan dasar fungsionalisme,pendidikan di Malaysia memberi peluang persaingan dalam kesamaan peluang yang diberikan.Ini bermakna sungguhpun semua murid mempunyai peluang masuk yang sama ke sekolah,sistem pendidikan Malaysia moden meneruskan dasar-dasar meritokrasi dalam pendidikan melalui pengaliran.Setelah memasuki sistem persekolahan seseorang itu akan menerima pendidikan dan bersaing antara satu sama lain.Persaingan adalah disahkan oleh sistem peperiksaan .Murid-murid yang ‘inteligen’ telah diutamakan dalam sistem. Siapa yang lebih ‘inteligen’ atau berusaha akan mendapat kejayaan.Kebiasaan sekolah ialah mengasingkan murid-murid mengikut tahap ‘inteligen’. Jika dahulu bilik darjah dinamakan mengikut abjad ‘A,B,C,D’ dan seterusnya,kini pengasingan telah disamarkan dengan memberi nama bilik darjah berasaskan nama-nama pokok,jenis-jenis bunga dan warna seperti Tiga Merah,Tiga Biru,Tiga Jingga dan sebagainya.

Meritokrasi juga boleh ditunjukkan oleh dasar pemilihan pelajar-pelajar pintar ke sekolah berasrama penuh.Pada peringkat awal pelajar-pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan ‘5A’ selalunya akan dipilih.Pelajar yang tidak cemerlang akan ke sekolah biasa.Kemudiannya system biasa. Kemudiannya sistem pemilihan telah diubah berdasarkan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) .Di peringkat sekolah menengah pula,Sijil Rendah Pelajaran (SRP) telah diubah kepada Penilaian menengah Rendah(PMR) yang menjadi sebahagian kriteria pengagihan ke sekolah-sekolah berasrama ,teknik atau pun vokasional dan harian.mereka yang gagal Penilaian Menengah Rendah atau pada tahap seterusnya gagal Sijil Pelajaran Malaysia akan disingkirkan daripada sistem persekolahan.

Sesungguhnya pengwujudan sekolah-sekolah berasrama penuh mempunyai rasionalnya sendiri. Ia adalah selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.Dengan itu pihak yang ketinggalan dari segi ekonomi dan sosial,khususnya orang-orang Melayu diberikan bantuan melalui pendidikan.Mereka inilah yang diharapkan untuk menjadi guna tenaga penting dalam negara Malaysia moden.Oleh itu kriteria untuk memilih mereka yang benar-benar ‘inteligen’ dianggap sangat penting.Setakat ini tidak ada kecaman daripada anggota-anggota masyarakat berdasarkan merit peperiksaan ke asrama penuh.Justeru itu,amalan meritokrasi sebegini secara umumnya telah diterima oleh masyarakat sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

4. Kebaikan meritokrasi.

Sesungguhnya dalam melaksanakan agenda pendidikan kebangsaan para pemimpin, pelajar dan masyarakat perlu mengkaji pro dan kontranya sesuatu isu tersebut sebelum menerima dan melaksanakannya dalam pendidikan. Berikut adalah kebaikkan meritokrasi :-

4.1 Pertama,dengan adanya sistem ini para pelajar dapat bersaing secara sihat untuk mendapat atau merebut peluang yang ada di hadapan mereka.Tiada kaum yang akan mempertikaikan kemasukkan kaum-kaum lain ke institut pengajian tinggi awam.

4.2 Kedua, institut pengajian tinggi awam dapat melahirkan graduan yang benar-benar mahir dalam bidang yang diambil oleh para pelajar.Ini kerana pelajar sentiasa berusaha dengan sedaya upaya untuk membuktikan kebolehan mereka

4.3 Ketiga, para pelajar di luar bandar akan mendapat faedah yang banyak kerana jika sistem ini dilaksanakan sudah pasti pihak kerajaan akan mewujudkan frasarana yang lebih baik seperti wujudnya kelas/bilik komputer yang lengkap dengan peralatan terkini,perpustakaan yang mempunyai buku-buku rujukan yang berkualiti dan terkini serta lain-lain kemudahan yang difikirkan sama dengan sekolah bandar.

5. Keburukan meritokrasi.

Disebalik kebaikkan sesuatu sistem itu , ada juga terselit keburukkannya. Berikut adalah keburukkan yang didapati:-

5.1 Pertama,secara umumnya masyarakat Melayu akan menentang sistem ini secara sekeras-kerasnya ini kerana sistem ini akan menyebabkan mereka hilang hak keistimewaan orang-orang Melayu seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153(1) dan (2).

5.2 Kedua,isu ini amat sensetif untuk dibicarakan dan boleh menyebabkan kontrovesi dan ketegangan di antara kaum dan kita sudah tentu tidak mahu melihat Peristiwa 13 Mei di mana kaum Cina berbunuhan dengan kaum Melayu secara beramai-ramai berulang kembali.

5.3 Ketiga, jika sistem meritokrasi ini dilaksanakan sekolah-sekolah di luar bandar seperti di kampung-kampung dan felda ,pihak kerajaan perlulah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membina atau menyediakan frasarana seperti yang terdapat di sekolah-sekolah di bandar-bandar contohnya menyediakan bilik-bilik komputer yang lengkap,perpustakaan yang lengkap,bilik-bilik darjah yang sempurna.Ini kerana untuk mewujudkan persamaan, peluang terlebih dahulu perlu diwujudkan persamaan kemudahan.Jika para pelajar di bandar ada menghadiri kelas tambahan pihak kerajaan juga perlu mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas tambahan untuk para pelajar di kampung.Aspek-aspek lain juga perlu di kaji secara mendalam supaya sesudah perlaksanaannya tidak timbul sebarang implikasi.

5.4 Keempat, selain merit dan kecemerlangan perlulah diberikan pertimbangan yang sama beratnya kepada factor keperluan iaitu latar belakang,ekonomi,keluarga,social dan juga pendidikan pelajar-pelajar.Pada umumnya pelajar yang datang dari keluarga atau kawasan yang mundur di mana kemudahan pendidikan tidak begitu baik sukar hendak bersaing dengan pelajar dari kawasan maju atau keluarga kaya.

5.5 Kelima, sekiranya hanya kecemerlangan diambil kira dan tidak bersama-sama,maka ramai pelajar dari kawasan mundur atau keluarga miskin tidak kira Melayu,Cina,India,Kadazan,Iban dan lain-lain akan keciciran untuk melanjutkan pendidikan mereka.Akibatnya jurang sosio-ekonomi di antara yang kaya dengan miskin akan bertambah lebar.

6. Perbincangan/cadangan.

Secara umumnya sistem ini sangat baik jika dapat dilaksanakan secara yang dihasratkan oleh kerajaan.Walaupun demikian sebelum system ini dijalankan dengan sepenuhnya,para ilmuan dan para pemimpin perlulah mencapai kata sepakat supaya dengan terlaksananya system ini bukanlah ianya dipengaruhi oleh agenda politik sempit mahupun seperti kata pepatah “Ada udang di sebalik batu”.Segala aspek keparluan fizikal dan mental perlulah dipersiapkan terlebih dahulu.Supaya tidak terjadi penindasan terhadap kaum-kaum tertentu seterusnya menjurus kearah perpecahan kaum yang telah kita pupuk sekian lama.Dalam masyarakat Malaysia yang berbudaya majmuk perlulah ada sikap bertolak ansur dalam menyelesaikan sesuatu isu supaya keharmonian di antara kaum dapat dikekalkan.

Namun, sistem ini sangat ideal kerana ianya dapat melahirkan insan yang benar-benar berkebolehan tanpa dipengaruhi oleh kedudukan,pangkat,kaum dan agama.Sistem ini juga dapat meningkatkan daya saing di kalangan para pelajar terutamanya pelajar kaum seterusnya memajukan bangsa Melayu itu sendiri.Individu yang terhasil melalui sistem ini juga akan mementingkan kualiti kerja yang cemerlang.Suka juga diingatkan bahawa sikap orang Melayu yang mudah bertolak ansur akan memudaratkan hak keistimewan orang Melayu yang semakin terhakis ekoran desakkan demi desakkan kaum lain.Ada perkara yang bangsa lain perlu hormati (bangsa Melayu) dan ada perkara yang membolehkan orang Melayu bertolak ansur.

7. Rumusan/kesimpulan.

Selain merit dan kecemerlangan perlulah diberi pertimbangan yang sama beratnya kepada faktor keperluan iaitu latarbelakang ekonomi,sosial dan juga pendidikan pelajar-pelajar.Pada umumnya pelajar yang datang dari keluarga atau kawasan yang mundur di mana kemudahan pendidikan tidak begitu baik adalah sukar hendak bersaing dengan pelajar dari kawasan yang maju dan keluarga kaya.Sekiranya hanya kecemerlangan diambil kira dan tidak bersama-sama keperluan ,maka pelajar dari kawasan yang mundur atau miskin tidak kira Melayu,Cina,India,Iban,Kadazan dan lain-lain akan keciciran untuk melanjutkan pendidikan mereka.Akibatnya jurang sosio-ekonomi di antara yang kaya dengan miskin bertambah lebar maka akan mendatangkan masalah sosial yang tinggi.

Rujukan:-

Amir Hassan Dawi,2002. Penteorian Sosiologi dan Pendidikan (Edisi kedua),Tanjong Malim,Perak :Quantum Books.

John Rex,1985.Hubungan Ras Dalam Tteori Sosiologi.(terjemahan A.Nazeri Abdullah),Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohd Salleh Lebar,1998.Sosiologi sekolah dan pendidikan,Thinker’s Library Sdn. Bhd.

Sharifah Alwiyah Alsagoff,1988.Sosiologi Pendidikan,Kuala Lumpur,Longman Malaysia Sdn Bhd.

T.Marimuthu,1990.Pengenalan sosiologi pendidikan,Kuala Lumpur,Siri Fajar Bakti

________________, 1996. Kamus Dewan ( Edisi Ketiga) ,Kuala Lumpur,.Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majalah MASSA Berita Mingguan,Bil.291,Mei 2001.

Cerpen : Aukiyuno Dan Citra Negeriku


(Dalam hidup ini cabaran adalah pendorong dan rintangan adalah penaung. Andai terjerat di batu gunung rentasi jalan lain sekalipun begitu asing bagimu

– al-Misri)

Nagkamura menghembuskan asap rokok tenang-tenang selepas mengakhiri pembacaannya dari buku The Historical Philosophy tulisan jurnal al-Misri. Kata-kata akhir dari jurnal itu, menjadi penguat kepadanya untuk meneruskan hidup sebagai seorang fatalis. Dia masih tersandar pada kerusi kayu setelah entah berapa kali mengitari rumah itu. Sudah beberapa minggu malah mungkin juga berbulan-bulan dia berkeadaan begitu setiap pagi atau petang. Kemudian batang rokok itu disedutnya lagi. Kali ini dalam-dalam. Dan asap dari sedutan batang rokok itu dihembuskan lagi (seperti kepulan awan yang sedang berkumpul untuk menitiskan hujan). Kini kepalanya berselirat dengan persoalan. Persoalan dalam mencari cinta dan cita.

“Cinta itukan luas maknannya ? Mengapa jiwaku jadi sebegini kosong. Tidak tenang. Perasaan ini seperti mengaum-gaum dahagakan seteguk air yang namanya cinta,” bisik hati Nagkamura.

Ruang rumah yang dihiasi fabrik indah dan hiasan dalaman dari Bali itu terasa seperti serabut sekali. Sesak dan pusam. Apa juga yang terjadi, hidup perlu diteruskan. Itu kata pujangga yang sering dipertuturkan oleh orang ramai.

“ Betul, kita perlu menjalani hidup seterusnya ini biar pun bagaimana. Aku tidak mahu mengaku kalah, itu yang pasti,” detik hati kecil Nagkamura. Sekilas pandangannya

singgah ke wajah Nur Aqilah yang berada di ruang dapur rumah itu . Kemudian berkata dia dengan tenang:

“Tuhan menjadikan manusia bukan untuk agama.” Dia membuang pandang ke arah lain, “Tapi agama diturunkan untuk manusia.” Dan kali ini pandangannya tertumpu pada Nur Aqilah tepat-tepat.

“Nur Aqilah !” serunya lagi. Dan kali ini pandangannya kepada wajah anak gadis hitam manis dari bandar selatan itu semakin mendalam. Penuh berahi.

Anak gadis itu mengangkat mukanya. Membiarkan wajah comelnya ditenung oleh Nagkamura sepuas-puasnya. Nur Aqilah kelihatan semakin ayu dengan tudung putih yang dikenakan bersama baju teluk belanga moden berwarna merah dan kain labuh berwarna biru pekat persis tiga warna pada bendera negerinya. Itulah tiga warna asas yang menjadi kebanggaannya. Walau bagaimanapun, Nur Aqilah sentiasa bertudung sehingga ada ketika Nagkamura dan siapa saja merasakan bahawa Nur Aqilah seorang wanita yang botak.

“ Apa fikirmu tentang pendapatku tadi?” tanya Nagkamura bagai tidak sabar. “Katakanlah ia atau tidak !”

Nur Aqilah tersenyum sedikit kemudian tunduk ke bawah. Dan sebenarnya dia

- Nur Aqilah- tidak sedikit pun tertarik untuk membincangkan lagi tentang soal perkahwinannya itu dengan Nagkamura. Dia telah pun membuat penjelasan tentang itu pada Nagkamura tidak lama dulu. Dia berada di negara matahari terbit itu adalah semata-mata ingin meneruskan pengajiannya dan tidak mempunyai niat lain apa lagi berkahwin. Nagkamura saja masih terus mendesak-desak.

Di tangannya dua batang kayu penyepit masih melenggang-lenggang dan membalik-balikkan spageti, timun, daun bawang, cili, isi ikan, cendawan dan entah apa-apa lagi dalam periuk yang sedang menggelegak di depannya itu. Itulah tugas biasa yang dilakukan oleh Nur Aqilah iaitu memasak. Jarang sekali dia makan di luar. “Bila berada di negara orang, jaga solat, jaga diri dan pergaulan. Srikandi Selatan itu tahu membezakan halal dan haram dalam kehidupannya apa lagi dalam makanan. Minyak tidak boleh bercampur dengan air, Aqilah. Memang benar sifat manusia biasa itu pelupa dan terleka, tetapi kalu kita sentiasa berwaspada dan berhati-hati pasti kita dilindungiNya,” pesan umi tiba-tiba terdetik di minda Nur Aqilah.

Namun Nagkamura masih tidak berpuas hati dengan tindakan Nur Aqilah dan dengan rasa jengkel yang mencucuk hatinya, memberikan sindiran tajam. “ Kalau dah menghadap aukiyuno, dunia pun awak lupa. Pendek kata di aukiyuno itulah dunia awak. Adakah semua wanita selatan itu, minatnya hanya memasak dan makan? ”

Wajah Nur Aqilah tetap tidak berubah. Hanya matanya memandang ke muka Nagkamura sebentar, senyum sedikit, dan kembali mengacu-acukan chopstik nya ke dalam periuk. Pada Nur Aqilah, mungkin Nagkamura hanya bergurau.

“Benarlah, semua wanita di negerimu hanya tahu memasak dan makan sahaja. Duniamu hanyalah sebesar periuk aukiyuno itu .... periuk yang dibakar buntutnya di depan tetamu, tapi tetamu lain tak sehebat awak, sehingga cakap saya tidak awak dengar sedikit pun. Bangga saya mempunyai makanan seperti aukiyuno yang boleh memukau siapa sahaja.” Terus-menerus Nagkamura menyindir.

Nur Aqilah memikirkan dirinya. Namun, dia tetap tenang dan ketenangan inilah yang dipelajari dari umi dan papanya. “Srikandi Selatan itu, agamalah pegangannya dan adat itulah jati dirinya. Pendidikan yang Aqilah terima di negeri ini, telah mengajar kita tentang adab-adab berselisih pendapat. Berlembut dan beradab sopan dengan bijaksana dan bertegaslah dengan berhikmah.” Kata-kata papanya masih tetap menjadi ingatan dan igauan.

Nagkamura tiba-tiba merasa bahawa cakapnya tadi mungkin terlalu tajam dan keras bagi Nur Aqilah. Dia melihat Nur Aqilah diam membisu kaku. “Ya. Dia orang asing,” dia memujuk hatinya sendiri.

“Sedap aukiyuno tu?” tiba-tiba Nagkamura bertanya. Suaranya begitu lembut.

Nur Aqilah mengangguk lesu.

“ Hendak lagi ? ”

“ Tak, ” geleng kepala.

“Bila awak pulang ke negeri Selatan kelak bagaimana ? Tidakkah awak akan kehilangan makanan yang digemari? Perlukah saya mengirimkannya sebulan sekali?”

Kepala Nur Aqilah nampak menggeleng-geleng lesu. Sambil meletakkan chopstik ke mangkuk kecil di sebelah kiri mejanya, Nur Aqilah berkata;

“ Di negeri kami ada sejenis makanan yang seakan-akan aukiyuno yang kau megah-megahkan ini. Namanya Laksa Daksina. Ianya masakan tradisi yang kami banggakan tidak seperti aukiyuno ini. Adakah kau sedar bahawa aukiyunomu ini adalah masakan campuran hasil gabungan resepi dari barat dan timur. Di mana letak keasliannya Nagkamura?”

Nagkamura terasa kalah. Dia mencebirkan bibir.

“Mengapa awak mencebir ? ” tanya Nur Aqilah. Hatinya terasa tidak senang dengan telatah Nagkamura yang menyolok mata itu. Tindakan Nagkamura seperti lelaki lembut yang cuba melepaskan kemarahan. Namun, perasaan Nur Aqilah itu segera hilang bila melihat Syuzimuri datang termengah-mengah.

Syuzimuri teman sebiliknya baru sahaja selesai berlatih karate di tingkat ketujuh bangunan itu. Kulit tangannya nampak merah berbintih darah. Parang tangannya nampak merah. Dan buku limanya juga nampak merah. Kulit-kulit itu sebenarnya sudah keras macam belulang, akibat hari-hari dia berlatih menetak, menumbuk, dan menepis serangan lawan. Kulit muka Syuzimuri yang putih itu juga kelihatan merah jambu. Namun, keayuan wajah wanitanya masih tetap terserlah.

“Syuzimuri,” Nur Aqilah menghalakan mukanya pada Syuzimuri yang masih mengesat-ngesat peluh itu. Penat benar dia nampaknya. Dialah wanita yang tealah menerima dan mempelawanya untuk tinggal bersama di kondominium ini dua tahun yang lalu. Dia seorang wanita yang peramah dan suka membantu.

“ Ya, kawan ....,” balas Syuzimuri sambil menyondongkan badannya ke bahu Nur Aqilah menggambarkan keakraban seorang sahabat karib.

Nagkamura kelihatan cemburu. Ia memaling muka, seolah-olah tidak suka melihat kejadian itu.

“Seorang perempuan yang mencebir itu ertinya menghina. Tapi apa pula ertinya kalau seorang lelaki mencebir?” kata Nur Aqilah sambil tersenyum-senyum.

Belum sempat Syuzimuri menjawab, tiba-tiba Nagkamura berpaling kepadanya dan bertanya.

“Awak sudah pernah ke negeri Selatan bukan?”

“Ya,” jawab Syuzimuri.

“Ada aukiyuno di sana?”

“Tidak,” terangnya jujur.

Bila mendengar jawapan itu ketawa Nagkamura meletup-letup. Macam bunyi motosikal tersumbat. Nur Aqilah menjeling Nagkamura. Nagkamura ketawa menang.

“Syuzimuri, hujung tahun lalu kitakan pernah ke Teluk Danga yang terletak di negeri Selatan. Kita ke sana sempena rumah terbuka Aidilfitri. Kita melihat persembahan tarian zapin dan kuda kepang. Kemudian, kau dan aku telah melawat rumah limas, rumah tradisional masyarakat Selatan dan menikmati sejenis makanan. Ingat tak Syazimuri ?” tanya Nur Aqilah kepada sahabatnya itu dengan tenang.

Terkebil-kebil kelopak mata Syuzimuri dalam usaha memaksa memori lampau diimbas kembali oleh radar ingatannya. “ Ya, aku masih ingat. Kenapa ?”

“Itulah makanan yang dibangga-banggakan oleh abangmu seakan-akan aukiyono bukan. Kami menamakannya Laksa Daksina,” jelas Nur Aqilah. Kali ini, Nagkamura terus ketawa untuk menutup malu.

Syuzimuri turut tersenyum melihat tingkah abang dan sahabatnya itu. Dia tahu otak Nagkamura telah tidak begitu sihat seperti dulu. Nagkamura sudah dua kali gagal dalam percintaan. Dan kini minat Nagkamura terhadap Nur Aqilah yang satu pengajian dengannya juga sudah diketahui.

Dan jika Nagkamura tidak dapat memikat Nur Aqilah, fikirnya, bererti dia telah tiga kali gagal dalam percintaan. Syuzimuri tidak tahu apa salahnya Nagkamura. Wajahnya tidak buruk. Dia sudah bekerjaya dan juga seorang komposer muda yang agak berjaya di sini. Sekarang ini pun dia sedang berusaha untuk mendapatkan ijazah kedoktorannya. Perwatakannya baik. Sikapnya juga jujur. Dialah pelindung dan tempat mengadu selepas pemergian ayah dan ibu mereka dalam kemalangan ketika dia berumur 10 tahun dulu.

Bila ketawanya makin kendur di hujung, Nagkamura menghulur rokok. Syuzimuri menyambut sambil bertanya sesuatu dalam bahasa Jepun yang cepat, lancar dan mendatar. Susah juga bagi Nur Aqilah untuk memahami perbualan mereka.

“Di sini lelaki dan perempuan dianggap sama. Perempuan cuba untuk lakukan apa yang lelaki boleh lakukan. Merokok di sini bagi perempuan itu perkara biasa. Tetapi di negeriku perempuan yang merokok dianggap pelik dan kurang siuman. Mengapa mereka ini lebih pentingkan gaya daripada kesihatan yang tidak boleh di jual beli ?” detik hati Nur Aqilah tentang tindakan Syuzimuri.

Syuzimuri pernah memberitahu Nur Aqilah bahawa merokok boleh memberikan ketenangan kepadanya. Kata-kata Syuzimuri itu pernah menjadi perdebatan yang panjang antara mereka berdua. Tapi, hujah Syuzimuri tidak pernah disertakan dengan pandangan mana-mana ahli akademik atau saintis. Untuk menjaga hati semua pihak, Nur Aqilah membiarkan persoalan itu lebur begitu sahaja. Dia sedar, bahawa dirinya seorang perantau.

“Bolehkah aku mengubah kebiasaan yang sudah sebati dengan jiwanya sejak sekian lama ? Ahh... biarkanlah dia, detik hati Nur Aqilah lagi.

Sambil matanya tunduk ke bawah, tangan Nur Aqilah terus menerus mengacau periuk yang isinya hanya tinggal sedikit sahaja lagi itu. Dia suka hendak menghabiskan semua aukiyuno itu kalau boleh. Tapi perutnya sudak terasa senak, kenyang sampai ke tekak.

Nur Aqilah sebenarnya merasa hairan kalau melihat gadis-gadis mahu pun pemuda-pemuda atau sesiapa sahaja berbangsa Jepun yang mempunyai satu cara makan yang tersendiri.

Makannya kelihatan begitu sedap. Dan berapa penuh pun pinggan atau mangkuk yang diisi dalam hidangan itu, mereka akan makan sampai habis. Bersih. Licin macam dijilat naga.

Hilai tawa beberapa orang gadis yang sedang makan di ruang dapur berhadapan rumah mereka memeranjatkan Nur Aqilah. Mereka makan sambil bergurau. Dan suasana jadi hingar dengan gelak ketawa mereka. Lantas peristiwa itu telah membuat dia teringat kata-kata uminya, “ Srikandi Selatan itu adab makannya bersopan. Tidak elok kalau berbual-bual dan bermain-main ketika mengadap rezeki. Ingatlah, tanda seseorang itu bersyukur ialah menghargai apa yang dipegang.”

Lama juga Nur Aqilah menumpukan perhatian pada mereka. Kadang-kadang dia tumpang senyum juga. Geli hatinya melihat telatah mereka yang bergurau seperti anak-anak kecil sambil tolak-menolak, tarik-menarik dan tampar-menampar.

Syuzimuri yang menjentik-jentik rokok ke tempat abuk rokok yang terletak berhampiran siku kirinya, mengejutkan Nur Aqilah dengan berkata; “ Nur Aqilah cuba awak fikirkan dalam-dalam, apakah kehidupan manusia ini agama lebih penting dari kebahagiaan?”

“Tidak semestinya begitu,” jawab Nur Aqilah.

“ Jadi apa ertinya alasan yang awak berikan tatkala menolak untuk berkahwin dengan Nagkamura? Kan awak kata yang agama menjadi penghalang besar ...”

“ Bagi saya ! Itu hanya bagi saya.Tapi tidak pula pada orang lain.”

“ Jadi kalau begitu, awak seorang manusia yang tidak tegas?” kata Syuzimuri sambil tersenyum.

“Apa maksudmu?” Nur Aqilah membeliakkan biji matanya.

“ Awak bermain-main dengan kata-kata, “ jelas Syuzimuri lanjut. Kemudian dia ketawa berdekah-dekah. Geli benar rasa hatinya. Wajah Nur Aqilah berubah warna. Tapi dia cuba juga mententeramkan hatinya.

“Katakanlah apa yang awak nak kata. Aku tetap dengan penderianku. Aku di didik di negeriku dengan didikan untuk menjadi insan yang berpegangan dan berprinsip. Islam itulah jiwaku dan adat Melayu itulah pakaianku.”

Suasana sepi sebentar. Nur Aqilah membuang pandangan ke sudut bilik yang digubah indah dengan bunga-bunga dan keladi dari negeri hawa panas.

Banyak keladi-keladi yang dilihatnya itu oleh orang-orang kampung Nur Aqilah dipanggil keladi bakung. Keladi-keladi tersebut jadi makanan babi peliharaan penternak-penternak binatang.

Di Tokyo pokok keladi itu merupakan pokok yang mahal. Hanya orang-orang kaya dan berpendapatan tinggi saja yang mampu memeliharanya.

“ Kalaulah aku nak kaya, boleh aku jadi pengimport pokok-pokok ini,” dia berangan-angan.

“Nur Aqilah, kalau aku bertanya secara jujur, bolehkah awak menjawabnya secara jujur juga?” Nagkamura tiba-tiba bertanya.

“Apa salahnya....!” balas Nur Aqilah ikhlas.

Lama Syuzimuri memandang muka Nagkamura. Dia menunggu-nunggu pertanyaan apakah yang akan dikemukakannya kepada Nur Aqilah. Dada Nur Aqilah berdebar.

Selepas mengesat-ngesatkan tangannya dengan tuala basah yang bergulung kecil di dulang buluh, yang dijalin jaring seperti tangguk itu. Nagkamura bertanya.

“ Awak sudah bertunang di tanah air?”

“Tidak.”

“Bila awak agak – awak akan berumahtangga?”

“Saya tak tau ...”

“ Kalau awak akan berumahtangga, lelaki bagaimana yang awak akan pilih?”

Nur Aqilah diam. Susah dia hendak menerangkan dengan tepat.

Nagkamura jenuh menunggu jawapan Nur Aqilah. Asap rokok berkepul-kepul wajahnya. Tetapi Syuzimuri tidak begitu. Dia tidak sabar. Lantas dia bertanya sebelum Nur Aqilah memberikan jawapan.

“ Yang kacak dan tampan?”

“Tentu.”

High Class ?”

“Tentu.”

“Gentleman ?”

“Tentu.”

“ Yang seagama ?”

“ Sudah tentu.”

“ Sebangsa ?”

“ Tidak perlu !”

Mendengar perkataan tak perlu, dada Nagkamura begitu cerah. Mahu sahaja dia merangkul-rangkul Syuzimuri untuk menyatakan terima kasihnya kerana jawapan Nur Aqilah itu.

“ Bagaimana kalau aku memeluk agamamu esok ?” tanya Nagkamura gugup. Wajah Nur Aqilah ditenungnya lama-lama.

“Silakan dengan hormat,” balas Nur Aqilah jujur.

“Dan kita akan berkahwin bulan hadapan?” terus-menerus Nagkamura menyuarakan harapannya yang maha besar itu.

“ Maafkan aku, aku hanya akan berkahwin dengan lelaki yang dilahirkan di negeri Selatan. Aku cinta negeriku. Dan hidup matiku ada di negeriku !”

Nagkamura tersandar dikerusinya. Waktu itu dunia dirasanya begitu sempit.

Nov 9, 2007

Bapa Fizik Moden

Oleh Nur Aqilah


Albert Einstein merupakan pemikir sains yang terunggul sepanjang zaman. Beliau dilahirkan pada tahun 1879, di Jerman selatan. Kajian beliau menjadi asas kepada fizik moden dan masih merupakan dasar kepada penerangan tentang kejadian alam semesta dan benda yang dilihat oleh saintis di dalamnya. Idea beliau membawa kepada penemuan pelbagai jenis benda, daripada kuasa nuklear hinggalah ke lohong hitam di angkasa lepas. Teori yang paling popular adalah Teori Kerelatifan Khusus. Ia menerangkan bahawa sesuatu benda yang bergerak pada halaju cahaya akan mengalami jarak yang berkurangan dan masa berjalan dengan lebih perlahan.

http://www.westegg.com/einstein/

http://www.aip.org/history/einstein/

(sumber: Saintis Terkenal, Siri Personaliti Terkenal, Nina Morgan)

Balang Mayonis dan 2 Cawan Kopi

oleh; Zun-Nun




Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan. Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.


Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh, dan pelajarnya menjawab "ya!".

Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya..."

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut.

Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang..." profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan.

"Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda... Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda - Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh. Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu..."
"...anda tidak akan mempunya ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda."

"Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir..."

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi.

Profesor tersebut tersenyum. "Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan..."

Renungan untuk semua.

Apabila kehidupan anda seakan terlalu penuh dan tampak sukar untuk diuruskan, apabila 24 jam sehari seperti tidak mencukupi, ingatlah kisah Balang Mayonis dan 2 cawan kopi ini... "

10 Laluan Yang Bakal Dilalui Oleh Manusia Dari Dunia Sampai Akhirat

oleh al-Misri


Bagaimana memudahkannya?

LALUAN MENUJU KE KUBUR
a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)

c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan kadha' hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil!)

LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula kadha' (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala

LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati



LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN
a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH

LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat

LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAKIM
a. Kasihilah aulia ALLAH Ta'ala
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH

LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD
a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulluah
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat Nabi S. a. w.

LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya



* Sudah bersediakah kita untuk itu? Atau adakah kita terlalu sibukkan yang ini?

Nov 7, 2007

Tahukah Anda ?

ASAL USUL GULA GETAH
oleh Nur Aqilah

Menurut sejarah Greek purba, orang-orang Greek juga mengunyah resin pokok yang diperolehi dari pokok mastik yang tumbuh di Turki dan Greek. Mereka memanggilnya gula-gula getah mastik. Ia digunakan bagi mencuci gigi dan menyegarkan nafas. Ia juga boleh didapat di Timur Tengah. Menurut catatan, orang-orang Indian di Tengah Amerika juga menguyah cairan daripada pokok spadilla lebih daripada 1000 tahun dahulu.


Pada tahun 1848 bermulalah gula-gula getah ini diperkilangkan secara komesial oleh John B Curtis dan abangnya. Setelah meraih banyak keuntungan mereka telah mengalihkan kilang mereka dari Bangor ke Porland dalam tahun 1850. Antara perasa yang di hasilkan ialah "White Mountain, Biggest and Best, Four-in-Hand, Sugar Cream dan Licorice Lulu". Pada tahun 1871 Thomas Adams dari New York telah mengeluarkan gula-gula getah secara pengilangan menggunakan mesin. Beliau telah menambah perasa pertama di Amerika dengan pangilan Black Jack. Gula-gula getahnya telah mendapat sambutan hangat sehinggalah tahun 1970 an.
sumber:http://inventors.about.com


HUKUMAN MATI

oleh Zun-Nun


Seorang warden penjara cuba untuk menghiburkan tahanan penjara yang akan menjalani hukuman mati di atas kerusi elektrik, gilirannya akan tiba sebentar nanti.

"Jangan takut. Daya voltannya sangat tinggi, lagi pun semuanya terjadi dalam masa yang sangat singkat," warden berkata.
Kebetulan pula dari kejauhan terdengar laungan kesakitan yang amat luar biasa kuatnya dan perpanjangan.

"Saya pergi ke sana sebentar untuk melihat," katanya.
Tidak lama kemudian, warden tersebut kembali. Dengan selamba dia berkata, "Tak ada masaalah yang berlaku, cuma masalah teknikal sahaja. Sekarang elektrik terputus, jadi mereka gunakan LILIN sebagai gantinya, itu sajaaaaa..."
* Apa macam, berani ke?..

PESAN BESTARI - Merenung Batu?

oleh Puteri Zulaikha

Michelangelo, seorang pelukis dan pengukir Itali yang termasyhor, pada suatu hari sedang duduk sambil memerhati dan merenung sebungkah batu besar yang berada di hadapannya dengan begitu asyik, berserta ketakjuban dan kekaguman yang dibayangkan oleh sinar matanya.


"Apa yang anda tenung ini?' tanya seorang yang berada berhampiran dengannya. " Suatu ukiran yang cantik." balas Michelangelo. Mendengar jawapan Michelangelo itu, orang ramai yang berada dikelilingnya merasa sangsi dan curiga dengan kewarasannya. Tetapi tidak berapa lama kemudian Michelangelo pun mulai memahat bungkah batu tersebut dan akhirnya terjelmalah sebuah ukiran yang sangat cantik.




* Sesuatu yang berada bersama kita, boleh menjadi ilham yang cukup bermakna...

Anda EGO..!!!

oleh; al-Misri

Sedikit sangat orang yang memiliki sifat ego, yang dia menyedari bahawa dirinya memiliki sifat keji tersebut. Natijah tidak menyedari adanya ego itulah maka tercetus berbagai perselisihan dan sengketa di dalam masyarakat. Ini berpunca kerana masing-masing diri dengan sifat ego tersebut bertembung dengan orang lain yang juga memiliki sifat yang sama. Dalam keadaan mereka sama-sama pula tidak menyedari memiliki sifat ego.

Untuk mengetahui samada memiliki sifat ego atau tidak maka perlulah disuluh dengan ilmunya. Ilmu yang menjelaskan tentang ciri-ciri ego tersebut. Namun begitu bukanlah mudah untuk membuang sifat ego itu biarpun sudah mengetahui ciri-cirinya. Kerana ego adalah sifat keji pada batin.

Ego adalah salah satu mazmumah yang bersarang di hati. Sebarang mazmumah bukan mudah hendak dikikis atau dipadamkan. Mazmumah tidak seperti penyakit lahiriah yang mudah diubat. Doktor malah doktor pakar memang bersedia merawat penyakit lahiriah. Penyakit batin atau mazmumah hanya boleh dirawat oleh mursyid yang benar-benar arif. Mursyid inilah yang sangat sukar ditemui. Betapalah pula manusia kini sudah tidak peduli dan tidak berminat untuk mengubati penyakit batin.

Sifat ego adalah penyakit batin. Ianya adalah abstrak atau
maknawiyah, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun tetap dapat dikesan melalui tanda-tanda lahiriah pada sikap seseorang itu. Atau dengan kata lain, sifat ego itu ada manifestasi atau implikasinya. Berdasarkan sikap dan tanda-tanda yang terserlah itulah dapat mengenali seseorang itu memiliki sifat ego.


Di antara ciri-ciri ego itu adalah seperti berikut :-

Menolak Tuhan

Inilah peringkat paling tinggi keegoan manusia. Tidak mahu mengakui akan kewujudan Tuhan ini yang menjadikan mereka berada di dalam kekufuran.

Menolak kebenaran

Biarpun terdapat golongan yang mengakui kewujudan Tuhan namun mereka yang salah faham akan keliru tentang Tuhan turut meletakkan diri mereka di dalam kekufuran. Turut berada di dalam kategori ini ialah mereka yang menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW. Terdapat pula yang mengakui Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad, namun mereka menolak kebenaran ajaran Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mereka yang seumpama ini boleh jatuh kepada murtad atau kufur. Penolakan atas dasar lemah iman dan tidak boleh melawan tuntutan nafsu, syaitan dan kepentingan dunia maka kedudukan mereka sebagai zalim. Andainya berpunca dari kejahilan, namun tidak terlepas juga sebagai mereka yang ego tinggi yang dihukumkan sebagai fasik.Golongan ini pula sangat meremehkan dosa pahala dan tidak suka memperkatakannya. Apa sahaja yang dibuat tidak mahu dikaitkan dengan persoalan dosa pahala atau halal haram. Keegoan mereka ini seolah-olah mahu bebas.

Tidak mahu adanya sebarang keterikatan dengan hukum Allah SWT

Begitu juga dalam kontek kekuasaan Allah SWT, mereka tidak mahu mengaitkan sesuatu peristiwa atau perkara itu dengan bukti kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa. Sesuatu kejadian samada kejayaan, kegagalan mahupun musibah pada mereka lebih nampak kepada sebab atau faktor kejadian tersebut. Dalam soal usaha ikhtiar, mungkin juga boleh diterima sebagai faktor sebab yang terhasilnya sesuatu yang hakikatnya dengan izin Allah SWT. Apa yang anehnya sebagai memperlihatkan ego adalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, jerebu, tanah runtuh yang sifatnya tidak ada campur tangan manusia, pun tidak mahu disandarkan kepada kekuasaan Allah SWT. Lantas dengan cepat mereka mengatakan itu semua adalah lumrah alam atau perkara biasa.

Tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain

Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah.

Ego juga dapat dilihat bilamana seringkali menzalimi orang lain apabila seseorang itu memiliki kuasa. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya.
Sering sahaja bercekak pinggang sebagai gambaran membesar diri. Sifat egonya itu terzahir dalam perbuatan bercekak pinggang biarpun tanpa disedarinya.

Payah hendak bertegur sapa kecuali kalau orang lain mendahuluinya

Dia merasakan tidak layak untuk menghormati orang lain seolah-olah orang lain yang patut menghormati dirinya.

Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang.

Selalu berwajah serius dan masam

Ditambah pula dengan sikap yang kurang mesra.Sangat memilih kawan terutamanya di kalangan orang yang setaraf sahaja. Kadang-kadang lebih suka berada di tengah-tengah orang yang lebih rendah bukan kerana merendah diri tetapi mengharapkan agar dirinya kelihatan lebih menonjol. Dan begitulah sebaliknya cuba mengelak berkawan dengan orang yang lebih atas kerana tidak mahu kelihatan dirinya rendah.

Sangat mudah tercabar oleh kebaikan orang lain

Apatah lagi apabila dicabar maka sangat tidak dapat menguasai emosi. Mudahnya tercabar itu samada akan memberi tindak-balas atau terus merajuk dan membawa hati. Mudah menjadi marah terutamanya kalau orang lain yang membuat silap, lebih-lebih lagi kalau kesilapan itu tertimpa ke atas dirinya.Kalau dia terbukti bersalah sangat sukar untuk meminta maaf. Dan apabila orang lain yang bersalah pula sangat sukar memaafkan.

Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran

Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya. Kalau dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.

Sangat suka berbahas

Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah.


Kesan sifat ego ini sangat merbahaya dan dahsyat. Lihat sahajalah Firaun, Namrud dan Hamman, kerana egolah mereka sanggup menderhakai Tuhan. Bahkan sanggup mati di dalam kekufuran. Biarpun berbagai bencana Tuhan datangkan sebagai amaran dan ancaman, semuanya tidak menjadi pengajaran, iktibar dan ingatan. Apalah ertinya mempertahankan 'kenikmatan' ego itu sedangkan menanggung seksa dan laknat Allah SWT.



Sekadar sebuah perkongsian.......

BELAJAR JADI PEMIMPIN

Belajar jadi pemimpin ... bermakna belajar seni dan sains

Belajar ... dekati orang

Belajar ... sayangi orang

Belajar ... menolong orang

Belajar ... mengutamakan orang

Terkadang belajar ... berkorban untuk kebaikan orang

Belajar ... faham orang demi mempertahankan perkara kerana orang

Belajar ... membaca budaya orang untuk orang lain merasa senang

Belajar membaca gerak orang

Belajar luka kerana orang

Aku belajar mengaku salah demi selamatkan orang

Belajar membaca kurang senang orang

Belajar jadi arang kerana api orang

Belajar jadi bara ... masakan makanan orang

Belajar berjuang walau digelar penentang

Belajar jadi juara walaupun terbuang

Belajar menerima tewas di gelanggang ... untuk orang lain merasa menang

Belajar erti hilang ... agar menghargai yang dipegang

Belajar jadi narawastu kembang mewangi walau di tanah gersang

Aku belajar untuk tidak dikenang ... tapi jasa tetap tertunjang

Belajar jadi pesalah walau sebenar dipersalah

Belajar jadi bintang walau kecil tetap dibilang

Belajar kenal susah pendorong untuk beribadah

Aku belajar kenal Allah untuk cinta tidak berupah

Mari belajar kenal mati agar senang untuk berbakti

Belajarlah jadi kuli ... agar tahu nilainya budi

Belajar jadi perantau ... agar kenal intan berkilau

Belajar jadi hamba ... agar tahu siapa tuan dipuja

Belajar jadi pelapor bukan pengekor

Jangan sampai tak kenal muara

Jangan sampai tak mampu berbicara

Jangan mengangguk seperti tiada

Kerana hidup bukan sekadar di buana

Pasti dijemput menghadap Yang Maha Bijaksana !

Nukilan rasa;

Zun-Nun

Ulu Tiram, Johor

Bersedialah untuk pilihan raya yang akan tiba... & buatlah pilihan yang bijak.

Sandaran Hati






Sekadar sandaran hati.....

Nov 6, 2007

Pesan Bestari

Cerita Hanuman

oleh Puteri Zulaikha


Diriwayatkan di dalam Valmiki Ramayana, ketika laskar-laskar kera sampai ke tepi pantai, mereka menghadapi masalah besar bagaimana hendak menyeberangi lautan yang luasnya beratus-ratus yojana (ukuran jarak dalam bahasa Sanskrit) untuk mereka sampai ke Pulau Ceylon (sekarang Sri Lanka). Semua panglima kera kemudian berkumpul berkeliling Sang Hanuman dan berkata kepadanya, "Hanuman, tuan hamba seorang sahaja yang mampu melakukannya. Apalah sangat seratus yojana ini jika dibandingkan dengan orang seperti tuan hamba? Ingatlah sewaktu tuan hamba masih kecil, tuan hamba melompat ke langit menuju matahari, kerana tuan hamba memikirnya sebagai sebiji buah. Tuan hamba hanya perlu membuat keputusan dan tuan hamba pasti akan berjaya menyeberangi jarak sekecil seratus yojana dan sampai ke Sri Lanka."


Seperti yang dimaklumi, Hanuman benar-benar dapat melakukan lompatan berganda

tersebut dan menjejakkan kakinya di Sri Lanka.


~ Valmiki Ramayana

Tahukah Anda?

Angkasawan Wanita Pertama



Jerrie Cobb, wanita pertama berjaya melepasi semua peringkat ujian angkasawan pada 1959 . Beliau telah dikurniakan pelbagai anugerah kecemerlangan, antaranya, Pilot of the Year oleh International Academy of Achievement serta disenaraikan sebagai salah seorang wanita terpenting di Amerika Syarikat oleh majalah Life.

Islam Is Way of Life

Empat Soalan Asasi

Oleh Zun-Nun Daripada Abi Burdah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak bergerak (berjalan) dua kaki seseorang hamba (manusia) itu pada hari kiamat sehinggalah ia ditanya empat perkara: Mengenai umurnya yang telah dihabiskannya, ilmunya yang telah diamalkannya, hartanya dari mana diperolehinya dan apa yang dibelanjakannya, seterusnya mengenai tubuh badannya apakah yang telah digunakannya – Riwayat Tarmizi

Huraian Hadis 'Tidak bergerak dua kaki seseorang hamba pada hari kiamat' bermaksud bahawa seseorang itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan akhirat kecuali setelah ditanya dan disoal beberapa soalan, dan empat perkara asasi yang akan disoal adalah: * Tentang umurnya, iaitu bagaimana ia telah dihabiskan * Tentang ilmunya, iaitu yang mana telah diamalkan * Tentang hartanya, iaitu dari mana diperolehi dan apa yang telah dibelanjakan * Tentang tubuh badannya, iaitu bagaimana ia telah digunakan Mengenai 'umur bagaimana dihabiskannya' bermaksud adakah sepanjang hidupnya ia telah melakukan kebajikan atau kemungkaran. Semuanya ini akan disoal dan akan ditayang semula di akhirat, dan di waktu itu mulut akan ditutup tetapi anggota lain akan bercakap, mengakui apa yang telah berlaku. Firman Allah SWT: Pada hari ini kami tutup mulut-mulut mereka, dan kami bolehkan tangan-tangan mereka berkata-kata, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi, tentang usaha-usaha yang telah mereka kerjakannya Mengenai 'ilmu adakah ia berilmu dan beramal dengannya' bermaksud setiap individu muslim itu diwajibkan menuntut ilmu fardu ain, dan beramal dengan ilmu-ilmunya. Maka diharamkan kita menuntut ilmu-ilmu yang salah, seperti sihir dan seumpamanya, dan menjadi fardu kifayah pula bagi kita menuntut ilmu yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat. Mengenai 'harta dari mana diperolehi, bagaimana dibelanjakan' bermaksud sejauh manakah ia mencari harta menurut lunas-lunas yang telah digariskan Islam, kerana semua harta di dunia ini sama sahaja dari segi rupa dan nikmatnya, tetapi berbeza dari segi hukumnya. Kita juga diwahibkan menentukan bagaimana pula ia dibelanjakan, sama ada ke arah kemungkaran, seperti pembaziran, atau ke arah kebajikan, seperti membantu orang yang miskin dan sebagainya; semuanya ini akan ditanya di akhirat kelak. Mengenai 'tubuh badan, bagaimana ia menggunakan' bermaksud kita hendaklah memastikan tubuh badan yang sihat itu sama ada dihabiskan kepada perkara yang sia-sia atau sebaliknya, dan umat Islam sememangnya dianjurkan semasa tubuh badan yang masih sihat digunakan untuk kebajikan dan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesimpulan Hadis Di akhirat kelak setiap seorang daripada kita pasti akan disoal empat perkara asasi ini, dan tidak ada satu cara pun yang dapat kita lakukan untuk menyorokkannya. Dari amalan kita di dunia inilah kita akan menerima pembalasannya di akhirat kelak, samada syurga atau neraka. Hadis ini mengingatkan kita supaya hendaklah menggunakan peluang yang baik semasa masih hidup di dunia ini untuk melakukan perkara-perkara kebajikan, iaitu menggunakan umur hidupnya, harta kekayaannya, ilmu pengetahuannya, dan tubuh badan serta kesihatannya, untuk segala macam kebajikan dan amal-amal salih. Wallahu'alam

MEMANIFESTASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN PENAWAR MASALAH PELAJAR

Oleh;

Jafny b. Jaapar

Fakulti Pengajian Pendidikan UPM

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah meletakkan asas yang baik bagi pembinaan hala tuju pendidikan di Malaysia. Ada faktor-faktor asas dan fundamental yang perlu dipertahankan secara kreatif dan dinamik dalam menerima segala perubahan yang berlaku. Dasar pendidikan negara tidak dapat mengelak daripada menerima faktor-faktor sekitar yang sifatnya dinamik dan cenderung berubah. Asas-asas yang fundamental seperti keperluan pembangunan akal, rohani dan jasmani adalah ‘substance’ dalam pembangunan sistem pendidikan kita. Sekiranya pemberatan ilmu dan keterampilan dengan menafikan kepentingan nilai, kita hanya akan membangunkan generasi penerus yang arif tentang ilmu dan keterampilan tetapi tandus akal budinya sehingga wataknya menjadi mekanistik tanpa etika dan akhlak yang tinggi. Oleh itu, ketangkasan jasmani didukung oleh kekuatan ilmu dan keterampilan serta dikendalikan oleh faktor-faktor akal-budi dan akhlak yang tinggi akan menghasilkan daya saing dan jati diri yang baik.

Isu paling besar dalam pendidikan mutakhir ialah pendidikan terlalu bersifat fizikal dan mekanikal. Semua bidang dalam ilmu pendidikan dilaksanakan menurut pendekatan sains tabii dan keperluan teknologi tercanggih. Menerusi pendekatan ini matlamat pendidikan tertumpu pada konsep profesionalisme, kepakaran dan pengkhususan dalam bidang-bidang yang diperlukan segera pada satu masa tertentu. Dalam keghairahan ini, falsafah pendidikan untuk membangunkan manusia (INSAN) yang bermoral, berakhlak, beradab dan berhikmah semakin terpinggir.

John Horgan (1998) dalam bukunya yang terbaru iaitu ‘The End of Science’ menegaskan bahawa sains moden hari ini telah sampai ke titik kematiannya kerana dua ekstrim. Petama, sains telah berjaya memahami semua teori besar seperti teori relativiti, teori kosmologi kuantum dan Darwinisme. Dengan itu tiada lagi teori yang perlu dikaji. Kedua, saat kematian sains telah tiba kerana sains telah gagal mencari jawapan secara rasional dan impirikal tentang apakah tujuan serta makna hidup di bawah kewujudan manusia. Dalam dua ekstrim detik-detik matinya sains, Horgan (1998) membuat dua kesimpulan. Pertama, ahli-ahli sains perlu yakin dan sedar bahawa akal itu mempunyai batasnya. Maksudnya, ada ilmu yang tidak dapat difahami semata-mata dengan proses berfikir (akal). Kedua, krisis pemikiran dan nilai yang dicetuskan oleh budaya hidup sains, akan menggalakkan manusia kembali kepada agama. Menyedari perkara ini, falsafah perlulah di‘hidup’kan semula. Kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Oleh itu, FPK perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam semua komponen pendidikan supaya seimbang, harmonis dan sepadu antara agama dan kehidupan.

Bagaimanapun, era penjajahan lebih 450 tahun lamanya telah juga berjaya menanamkan sejenis penyakit jiwa, iaitu jiwa hamba atau jiwa penjajah di kalangan umat kita. Pendidikan dan pembudayaan penjajah telah melahirkan kelompok pribumi pengagum Inggeris dan kebudayaan Barat. Ini dapat dilihat dengan keangkuhan dan kebanggaan segelintir yang begitu menyanjungi sistem nilai dan budaya Barat hingga malu untuk memperagakan gaya hidup Melayu yang subur dengan nilai-nilai keIslamannya.

Seringkali ungkapan yang terukir di bibir mereka seolah-olah gaya hidup Barat saja yang menyerlahkan kemodenan dan kemajuan yang hakiki. Budaya Melayu Islam semacam tidak relevan lagi dengan peredaran zaman. Jati diri bangsa semakin terhakis lantaran kecelaruaan nilai dan budaya baru yang meresap ke dalam kotak pemikiran sebahagian besar umat Melayu kini. Nilai-nilai pendidikan Islam yang menjadi teras peribadi bangsa Melayu yang cukup dinamik suatu ketika dulu, semakin dipinggirkan. Malah, dalam usaha untuk mencari-cari identiti sebenar bangsa bagi mendepani pelbagai cabaran mendatang, masih ramai yang kabur dan hilang arah.

Sejak akhir-akhir ini, keruntuhan moral dan kecelaruan akhlak remaja, khususnya pelajar semakin menjadi-jadi. Permasalahan ini bukan sahaja berlegar di kalangan pelajar bermasalah, tetapi kini menjalar pada peringkat mendatangkan masalah dan mudarat kepada masyarakat. Kalau dulu kita sekadar mendengar masalah pelajar terbabit dengan dadah, merokok, minum arak, melepak, ponteng sekolah, berjudi di kalangan mereka dan berkelakuan tidak senonoh, kini pelajar-pelajar kita mula terbabit dalam pelbagai jenayah lebih serius sehingga berani membakar rumah, mencederakan sesiapa saja yang didendami oleh mereka serta membunuh.

Jika ditelusuri permasalahan sosial dan kecelaruan akhlak serta nilai di kalangan generasi muda yang semakin serius dan mencemaskan ini, pasti ada antara kita yang tertanya-tanya apakah punca fenomena ini boleh berlaku ? Apakah ini harga yang terpaksa dibayar bagi meraih puncak kemajuan yang dicita-citakan ? Adakah sistem pendidikan negara sudah gagal membentuk generasi yang mempunyai kekuatan nilai dan adab yang tinggi seiring dengan tuntutan zaman ? Atau mungkin juga ada yang mula menuding jari menyalahkan pihak lain ?

Dalam menanganinya, pendekatan mendidik adalah jalan penyelesaian terbaik dalam membentuk kualiti keinsanan pelajar, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Melalui pendidikan bersepadu, kita mampu melahirkan masyarakat yang bukan saja hebat dari segi keterampilan dan kemahiran malah diadun dengan nilai akhlak dan adab yang tinggi. Jesteru, tanpa jiwa merdeka yang lahir daripada adab dan pembudayaan nilai-nilai Islam yang sejati, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya.

Kung Fu Tze, seorang ahli falsafah tersohor China pernah menyatakan ; “Pendidikan individu adalah persiapan kepada masyarakat yang beradab”. Dalam konteks tanggungjawab kerajaan mendidik rakyat, beliau melontarkan pendapat ; “Sekiranya kerajaan menggunakan pendekatan kuasa politik dan hukuman melalui perundangan semata-mata dalam mentadbir rakyatnya, mereka mungkin mengelakkan diri daripada melanggar peraturan itu tetapi nilai malu dan rasa hormat tidak mungkin terbina dalam diri mereka. Namun, jika kerajaan mentadbir mereka dengan menggunakan pendekatan mendidik, pastinya terbentuk perasaan malu dan hormat lalu mereka melakukan sesuatu tanpa perlu dipaksa”.

Dalam Islam, dasar pendidikan mesti merujuk kepada kefahaman ilmu yang luas dan komprehensif. Ilmu yang diterapkan dalam sistem pendidikan ialah ilmu yang berteraskan iman dan akhlak. Pendidikan dalam Islam lebih menekankan pembangunan individu bukan saja dari aspek fizikal tetapi juga kerohanian dan akhlak. Ini bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang, yang dengannya dia dapat beriltizam membentuk akhlak mulia, sekali gus berusaha memanifestasikan kebaikan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam bukunya bertajuk ‘Aims of Islamic Education’ menjelaskan ; “Elemen terpenting yang terkandung dalam konsep pendidikan menurut Islam adalah satu proses penyemaian nilai adab (ta’dib) atas pengertian faham adab yang luas dan merangkumi faktor kerohanian serta kehidupan material manusia berkualiti”.

Pandangan itu diasaskan kepada hadis Nabi Muhammad yang bermaksud : “Tuhanku telah mendidik aku dan Dia telah mendidik aku dengan sebaik-baik pendidikan”. Sekiranya konsep ini difahami dengan jelas, maka tidaklah dinamakan pendidikan seandainya pengajaran akhlak dan adab diabaikan. Malah Islam turut menekankan risalah Nubuwwah itu sendiri bagi menyempurnakan akhlak yang tinggi dan mulia. Firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud; “Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berakhlak mulia”. Pendidikan dan pembinaan akhlak ialah proses seiring yang tidak boleh dipisahkan. Malah, maksud pendidikan tidak bermakna jika elemen akhlak dikesampingkan.

Inilah yang ditekankan Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin yang menetapkan agar pembersihan jiwa daripada akhlak yang rendah sebagai keutamaan awal dalam deretan adab dan tugas pelajar. Menurutnya; “....ibadat hati dan mengisi batin dengan ilmu tidak pula sah tanpa lebih dulu membersihkan hati daripada najis akhlak yang keji dan sifat kotor”.

Sistem Pendidikan Rasulullah membuktikan bagaimana tarbiyah nubuwwah berjaya melahirkan peribadi Muslim yang cukup berkualiti dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi. Proses transformasi moral berlaku secara radikal yang berjaya mengubah budaya fikir dan peribadi umat Islam pada waktu itu. Nabi Muhammad berjaya menukarkan watak dan peribadi masyarakat jahiliyah yang amat rendah nilai akhlak kepada generasi baru yang amat tinggi martabat keinsanannya. Oleh itu, apabila fenomena kecelaruan moral dan kedangkalan akhlak semakin melebar di kalangan pelajar pada hari ini, hal ini seolah-olah mencerminkan atau menggambarkan kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Sistem pendidikan itu boleh dianologikan seperti kilang yang memproses dan mengeluarkan produk untuk manfaat pengguna.

Jika pengguna mencemuh kualiti produk yang dikeluarkan, pasti ada masalah di kilang berkenaan, sama ada dari aspek pemprosesan, kandungan atau kualiti bahan yang digunakan mahupun sistem pengurusan kilang itu. Adalah tidak adil masyarakat terus-menerus mengecam produk itu tanpa dikaji secara teliti kilang yang menjadi tempat produk itu dihasilkan.

Kalau dilihat secara dasar, sistem pendidikan yang ada pada hari ini sebenarnya mempunyai matlamat yang jelas sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dibentuk sejak 1987. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan : “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting dalam membangunkan sesebuah negara. Matlamat yang jelas beserta strategi dan perancangan yang tersusun tidak mempunyai erti sekiranya sistem pendidikan gagal mencapai objektif untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang beretika, bermoral, amanah dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Impian dan cita-cita untuk menjadi bangsa yang maju dan utuh tidak akan mampu direalisasikan andainya tidak dimulakan dengan usaha pembinaan kualiti bangsa yang berpaksikan kepada dinamika tauhid, keilmuaan yang kuat dan kualiti keinsanan yang hakiki.

Persoalannya, sejauh manakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang cukup kukuh, mantap dan bermakna benar-benar diterjemahkan dalam seluruh komponen pendidikan negara ? Atau adakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan sekadar tinggal falsafah yang menjadi hiasan di dinding sekolah atau ungkapan indah yang meniti di bibir pihak berwajib semata-mata ? Dalam aspek lain, peranan pendidik turut menjadi faktor penting dalam mencorakkan dan mewarnai peribadi anak didiknya.

Peranan guru dan pendidik bukan sekadar menyampaikan pengetahuan tetapi membentuk kefahaman dan cara fikir pelajar yang berteraskan nilai adab serta akhlak berpandukan prinsip keagamaan yang tinggi. Sehubungan dengan itu, Al- Ghazali dalam bukunya Adab Pelajar dan Pengajar menganjurkan agar guru menunjukkan sikap kasih sayang dan ikhlas terhadap pelajarnya, melarang secara halus, memberikan pelajaran menurut ukuran fahaman murid dan menunjukkan teladan yang baik.

Ahli falsafah Islam, Ibn Khaldun, dalam bukunya yang masyhur Mukaddimah pernah mengingatkan; pendidik berperanan sebagai teladan yang mampu memberikan impak besar kepada pembangunan akal dan sahsiah pelajar. Peranan dan tanggungjawab pendidik harus lebih dinamik dan diberikan perhatian sewajarnya. Namun demikian, usaha juga harus dilakukan bagi mengkaji pendekatan terbaik dalam menterjemahkan aspirasi besar Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam konteks pembelajaran dan pengajaran di semua peringkat.

Begitu juga halnya apabila kita membicarakan isu yang melingkari krisis moral dan akhlak pelajar yang semakin menjadi-jadi dewasa ini. Perlu ada usaha yang objektif dan ikhlas untuk menilai keberkesanan sistem pendidikan yang menjadi teras pembentukan generasi mahupun pembinaan sesebuah tamadun gemilang.

Dengan pendidikan yang teradun sempurna, kita perlu berhati-hati dalam memimpin generasi muda agar tidak terjebak dengan budaya hedonisme dan sensate . Adalah sangat malang sekiranya generasi muda di negara ini terlalu terpengaruh dengan anasir-anasir budaya Barat yang jelas tidak sejajar dengan ciri-ciri masyarakat Timur yang berpegang kepada agama dan adat resam.

Sikap berhati-hati ini sangat perlu ibarat menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak bersepah dan rambut tidak putus. Hal ini demikian, memandangkan umat sejagat sedang berhadapan dengan wabak pemikiran yang disebut oleh Daryush Shayegan sebagai cultural schizophrenia, iaitu umat menjadi terpesona dengan budaya negatif Barat sehingga tidak melihat lagi kekuatan intrinsik yang terkandung di dalam kerangka budaya, ethos dan agama sendiri.

Malah, kita perlu mengambil sikap khuatir sekiranya penyerapan budaya Barat ini telah menyebabkan generasi muda dan pelajar negara menghadapi krisis kematian nilai (death of values). Apatah lagi, sekiranya mereka sanggup meminggirkan ajaran agama dan khazanah budaya tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Kebobrokan peradaban Barat ini turut diterjemahkan oleh pujangga dan pemikir terkemuka, Muhammad Iqbal menerusi baris puisinya yang berbunyi; “Peradaban Barat adalah pergeseran hati dan perasaan, Oleh kerana jiwanya tidak dapat bertahan di dalam kesucian, tatkala jiwa itu kehilangan kemurniannya, punahlah segalanya ...”

Oleh itu, kita tidak wajar menjadi seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing dalam mengatasi masalah ini. Sudah tiba masanya bagi semua pihak menggembleng tenaga dan buah fikiran bagi menangani kemelut sosial di kalangan generasi muda hari ini. Generasi muda, khususnya pelajar, selaku pewaris negara pada masa depan perlu dibimbing dan dibentuk pemikiran serta keperibadian mereka agar mampu berdepan dengan era globalisasi yang lebih terdedah kepada pelbagai unsur negatif dari luar. Dari suasana baru ini, kita perlu membina generasi muda yang berdaya tahan, bersikap kreatif, kritis dan selektif serta mampu membezakan perkara yang serasi dan perkara yang bertentangan dengan budaya kita.