Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Showing posts with label Way Of Life. Show all posts
Showing posts with label Way Of Life. Show all posts

Feb 15, 2011

Hubungan antara cinta diri, Rasulullah

SEPANJANG Rabiulawal hingga Jamadilakhir memang padat dengan acara Maulid Nabi atau Maulidur Rasul. Sambutan Maulid Nabi saw terutama di Malaysia, menjadi suatu tradisi keagamaan.

Memperingati Maulidur Rasul adalah manifestasi kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad saw yang disertai doa semoga pada hari kiamat kelak kita mendapat syafaatnya. Menyambut Maulidur Rasul samalah seperti kita membesarkan Islam kerana Rasulullah saw adalah simbol agama Islam tertinggi. Imam Mutawalli al-Sya'rawi dalam kitabnya ‘Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya’ berpendapat: "Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, seperti tumbuh-tumbuhan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad saw, malah semua binatang, malai-kat dan jin juga bergembira di atas kelahiran baginda, kenapa ada golongan yang menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda?" Penegasan beliau ini berikutan banyak suara yang mempertikaikan sambutan Maulid Nabi saw. Allah berfirman kepada Rasulullah saw agar mengingatkan umatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai Nabi-Nya. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad saw): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." – (Surah Ali Imran, ayat 31).

Jadi, sambutan Maulid Nabi saw adalah natijah atau kesan daripada perasaan kecintaan terhadap Rasulullah saw; perasaan taat kepada baginda; sentiasa mengingati baginda; mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda. Ini kerana Allah memuji baginda dalam al-Quran. Firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia." – (Surah al-Qalam, ayat 4). Tahap kecintaan kepada Rasulullah saw adalah antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang bermaksud:"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka jelaslah bahawa kesempurnaan iman seseorang mukmin itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah saw.

Penganjuran majlis Maulidul Rasul adalah peluang keemasan yang berkesan untuk menyebarkan ajaran Islam. Di samping itu, kita dapat mendidik umat Islam, terutama kanak-kanak dan remaja mengenai akhlak Rasulullah saw, cara baginda beribadah dan bergaul dengan orang ramai. Namun, tiada ertinya kita menganjurkan sambutan Maulidul Rasul, sedangkan ajarannya supaya kita 'melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran' diabaikan begitu saja. Sebenarnya, untuk mengamalkan akhlak mulia dan meneladani ajaran Rasulullah saw bukanlah hanya di saat menjelangnya Rabiulawal setiap tahun saja. Ini kerana berakhlak mulia itu adalah suatu tuntutan dalam Islam.

Sebagaimana yang kita ketahui, Nabi Muhammad saw adalah rasul dan nabi terakhir. Baginda saw adalah penerima risalah Allah kemudian ditugaskan untuk disampaikan kepada umatnya. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi." – (Surah al-Ahzab, ayat 45-46). Sebagai pendakwah, baginda melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sempurna. Segala wahyu yang diterimanya, sama ada al-wahy al-Matluw (al-Qur'an) atau al-Wahy Ghayr al-Matluw (sunnah) disampaikan kepada umat manusia. Baginda saw tidak menyembunyikan risalah Allah walau satu huruf. Allah memerintah baginda dengan firman-Nya yang bermaksud: "Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang kafir." – (Surah al-Maidah, ayat 67). Rasulullah saw seorang pendakwah yang berjaya dan amat wajar diteladani sepanjang masa. Baginda dilahirkan untuk menjadi teladan utama, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)."– (Surah al-Ahzab ayat 21). Antara faktor utama kejayaannya dakwah baginda ialah kebenaran agama Islam yang dibawa; peribadi baginda yang memiliki akhlak karimah (mulia); kepemimpinan baginda yang baik dan dakwah baginda yang menarik perhatian orang yang mendengarnya. Sesungguhnya kebenaran risalah Islam adalah faktor utama kejayaan Rasulullah saw. Allah menetapkan Islam sebagai agama yang diredai untuk manusia. Firman Allah yang bermaksud:"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam." – (Surah Ali Imran, ayat 19). Oleh kerana Islam agama yang datang daripada Allah Yang Maha Kuasa lagi Bijaksana, pastilah segala ajarannya itu benar.

Justeru, amat tepatlah apabila Allah menyatakan Islam itu sebagai agama yang benar (dinul-haq) sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:"Allah yang menyatakan itu) Dialah yang mengutus rasul-Nya (Muhammad saw) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkan dan meninggikannya atas segala bawaan agama lain; dan cukuplah Allah menjadi saksi (mengenai kebenaran apa yang dibawa oleh rasul-Nya itu)." – (Surah Al-Fath, ayat 28). Islam yang diakui Allah sebagai agama benar itu, apabila difahami dan diamalkan secara benar, pasti akan menghasilkan kebahagiaan, kedamaian, kemajuan dan keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat. Selain faktor kebenaran Islam, kejayaan dakwah baginda ditentukan oleh sifat peribadinya yang berakhlak mulia. Disebabkan tingginya akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, Allah secara langsung memuji baginda dengan firman-Nya yang bermaksud:"Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak mulia." – (Surah al-Qalam ayat 4). Sehubungan itu, dapat difahami bahawa baginda wajar menjadi 'uswatun hasanah' atau contoh terbaik bagi umat manusia seluruhnya. Tambahan pula pengutusan Rasulullah saw sememangnya untuk menegakkan nilai moral yang tinggi atau akhlak mulia. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Bahawasanya aku ini diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia" (Riwayat Imam Malik).

Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'contoh terbaik' dalam ayat di atas terhimpun dalam tiga kategori. Pertama, perkataannya. Iaitu perkataan Rasulullah saw menjadi ikutan dan pegangan, sehingga mempengaruhi umat manusia. Rasulullah saw tidak bercakap mengenai sesuatu yang tidak berfaedah. Jika baginda bercakap pun, adalah dengan bahasa yang mudah difahami. Rasulullah saw juga sentiasa mengulangi percakapannya itu sebanyak tiga kali agar difahami dan tidak disalahertikan. Namun pengulangannya hanya dibuat apabila perlu. Dengan kata lain, Nabi saw bercakap benar dan jujur. Baginda pernah mengingatkan kepada umatnya "Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia berbicara sesuatu yang baik atau ia diam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kedua, perbuatannya. Maksudnya perkataan dan perbuatan Rasulullah saw amat beriringan. Baginda saw tidak hanya sekadar pandai bercakap, malah pandai melaksanakan. Jika baginda menyuruh orang berbuat baik, baginda akan memulakan terlebih dulu. Apabila melarang sesuatu, Bagindalah yang terlebih dulu tidak akan melakukannya. Dalam banyak hal Rasulullah saw berbuat terlebih dulu sesuatu perkara itu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Misalnya, solat. Baginda terlebih dulu mendirikan solat, kemudian baru berkata: "Sembahyang kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ketiga, akhlak dan tingkah lakunya. Akhlak Rasulullah saw adalah model akhlak mulia yang dihurai dan dijelaskan dalam al-Quran. Keterangan jelas mengenai konsep akhlak mulia dalam al-Quran, bukan saja untuk difahami, malah dilaksanakan. Contoh kepada penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah saw. Rasulullah saw seorang mukmin terulung. Seorang yang diasuh dan dipelihara akhlaknya oleh Allah untuk dijadikan seorang Rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan teladan sepanjang zaman. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung."– (Surah al-Qalam, ayat 4). Oleh itu, apabila kita mengkaji akhlak Nabi saw sebagai seorang pemimpin, ketua negara, panglima, suami, bapa dan sahabat, maka seharusnya kita berusaha mengamalkannya dalam kehidupan seharian, baik kehidupan peribadi atau dalam bermasyarakat. Dengan itu akan lahirlah perasaan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad saw. Sesiapa yang mencintai Nabi Muhammad dijanjikan ganjaran dalam syurga. Baginda saw bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya ia mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku, maka nanti ia bersamaku di dalam syurga". Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir. Tidak ada lagi rasul dan nabi sesudahnya. Oleh itu, ajaran yang dibawa oleh baginda bersifat syumul (menyeluruh). Berbeza dengan rasul terdahulu, mereka diutuskan untuk golongan, umat serta jangka waktu tertentu saja. Malah ajaran mereka tidak menyeluruh. Oleh itu, rasul terdahulu menyeru dengan kalimat 'Ya Qaumiy' yang bererti 'Wahai kaumku'. Demikian sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Nuh, Nabi Saleh, Nabi Musa dan rasul lainnya. Adapun Nabi Muhammad saw ketika menyebarkan Islam, diperintahkan oleh Allah swt agar menyeru dengan kalimat 'Ya Ayyuhannas' yang bererti 'Wahai manusia'. Ini diungkapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad saw) wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua."– (Surah al-A'raf, ayat 158).

May 12, 2010

Hidup Sederhana

Membiasakan hidup sederhana, mensyukuri yang sedikit, dan meninggalkan hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang di dunia kerana sifat itu menjauhkan diri dari takbur dan ujub serta selamat dari sifat sombong, memuji-muji diri dan angkuh. Dari Aisyah katanya,"Tikar Rasulullah s.a.w diperbuat dari kulit yang disamak setelah dipenuhi dengan sabut."

Feb 8, 2010

Virus-virus

Kita tahu virus-virus yang membawa pelbagai penyakit merbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Namun, kita lupa ada virus yang lebih bahaya jika ia sudah mula menjangkiti hati kita. Virus-virus hati iaitu sifat-sifat keji yang bersarang di hati, bukan sahaja merosakkan ibadah kita, bahkan juga mengganggu pergaulan sesama suami isteri, jiran tetangga, rakan taulan dan saudara mara. Jesteru itu, kita perlu mengenal penyakit-penyakit hati ini supaya segera mencari penawarnya . 1. Ego Dan Sombong Mungkin kita orang yang berpangkat atau mempunyai harta yang berlimpah ruah. Boleh jadi juga kita adalah seorang yang mahir dalam bidang tertentu, lalu kita merasakan diri tidak setaraf dengan mereka yang berpangkat rendah atau tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Ada waktunya kita merasakan maruah diri tercabar bila terpaksa duduk semeja dengan mereka yang dianggap golongan bawahan. Nampaknya kita tidak sedar hati mula dijangkiti virus ego dan sombong. Ingatlah bahawa ego hanya membuatkan diri kita terasa asing dikalangan rakan dan taulan. Hanya Allah yang maha hebat ke atas makhluk ciptaanNya. 2. Pemarah 'Naik angin' adalah salah satu tanda anda dijangkiti penyakit pemarah. Pantang ada yang kurang menyenangkan hati atau terganggu perasaan, mulalah hati rasa terbakar. Penyakit ini kalau berada di tengah pergaulan, boleh menyinggungkan perasaan pihak tertentu. Rasa marah perlu di atasi dengan bersangka baik, berlapang dada menerima teguran, pemaaf dan sabar. Dengan demikian kita dapat mewujudkan suasana yang harmoni dalam pergaulan. 3. Hasad Dengki Virus ini kalau bersarang di hati, kita tidak akan hidup senang jika melihat kejayaan orang lain. Kegembiraannya hanyalah bila orang itu ditimpa kesusahan. Hati selalu sahaja berkata,' kalaulah rezeki itu milik aku..' itu menunjukkan kita tidak redha bila Allah memberikan rezeki itu kepada orang lain, sebaliknya mengharapkan diberikan kepada kita. Sedangkan kita tidak berusaha untuk mendapatkannya. Apalah gunanya menyimpan hasad dengki. Allah menentukan takdir seseorang dengan pemberian yang berbeza-beza. Jika ada kelebihan pada sudut tertentu pada seseorang, maka sudah pasti ada juga kelemahannya yang tertentu di mana kita diberi kelebihan itu. Bersyukurlah dengan apa yang ada pada kita. 4. Dendam Dendam adalah satu penyakit di mana rasa tidak puas hati terhadap seseorang hingga timbul niat mahu menyakiti atau membalas perbuatan yang dilakukan. Perasaan dendam boleh merosakkan pergaulan bukan sahaja dengan orang yang didendami bahkan orang-orang yang rapat dengannya. Penyakit dendam ini boleh dihapuskan sekiranya kita sentiasa bersabar dan redha atas apa yang berlaku. Memberikan maaf adalah penawar mujarab bagi penyakit ini. 5. Buruk Sangka Sangkaan buruk kita kepada orang lain belum dapat dipastikan lagi kebenarannya. Mungkin apa yang kita sangka, menyimpang terlalu jauh dari keadaan sebenar. Kesan dari pnyakit ini boleh menimbulkan fitnah dan mengundang perasaan marah serta dendam orang lain kepada kita. Misalnya, kenalan yang kita sangka sombong dan tidak mesra seperti selalu, mungkin menghadapi masalah atau sibuk dengan kerjanya. Tetapi dengan bersangka buruk, kita mengambil tindakan dengan menjauhkan diri daripadanya. Buruk sangka ini boleh dihindari dengan membisikkan sangkaan-sangkaan baik dalam hati kita! 6. Bakhil/Kedekut Di antara tanda penyakit ini menjangkiti hati ialah apabila terlalu berkira dengan orang lain. Jangankan hendak bersedekah atau memberi hadiah, hendak memberi hutang pun susah. Kita juga mungkin kedekut dari sudut ilmu. Pengetahuan yang ada susah hendak ditunjuk ajar kepada orang lain. Kononnya takut orang lain lebih berilmu dari kita. Kita tidak sedar, bahawa ilmu yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita adalah untuk dikongsi dengan orang lain. Begitu juga dengan apa saja nikmat pemberian Allah. Kedekut dengan nikmat bererti kita tidak amanah dengan Tuhan. Sedangkan dengan bersifat pemurah dan sentiasa memenuhi hajat orang lain, Allah akan menolong kita memenuhi hajat kita pula, disamping membuka pintu pergaulan dalam suasana yang harmoni dan berkat. Sudah jelas dalam pergaulan, tindak tanduk kita dikawal dan dipengaruhi oleh hati. Sekiranya mahu memperbaiki pergaulan, maka terlebih dahulu perlulah mencegah atau merawat hati kita dari segala virus yang keji ini. Peliharalah hubungan hati dengan Allah dan sesama manusia.

Jan 10, 2010

Janganlah Bersedih...

“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita..” (Surah At-taubah, ayat 40)

Kesedihan itu hanya akan memadamkan api motivasi, membunuh semangat dan membekukan jiwa. Dan kesedihan itu ibarat demam yang membuat tubuh menjadi lemas dan tak berdaya. Mengapa berlaku sedemikian? Kerana kesedihan hanya memiliki daya yang menghentikan dan bukan menggerakkan. Rahsia untuk menghidari itu semua adalah dengan menanamkan prinsip bahawa kesedihan adalah sesuatu yang boleh ditangani, bukan sesuatu yang tidak boleh dikawal hingga kita harus menyerah kepadanya. Kesedihan juga sama sekali tidak mendatangkan manfaat bagi hati, bahkan ia merupakan sesuatu yang amat disenangi syaitan. Oleh itu, syaitan selalu berusaha agar seseorang hamba itu bersedih utk menghentikan setiap aktiviti dan niat baiknya.

Bukan dicari-cari Kesedihan itu bukanlah sesuatu yang dicari-cari dan bukan pula sesuatu yang kita semua harapkan, bahkan ia tidak mendatangkan sebarang manfaat. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. sentiasa memohon perlindungan dari Allah agar dijauhkan dari kesedihan. Baginda selalu berdoa seperti berikut : “Allahumma inni auzubika minal hammi wal hazan..”; maksudnya: “ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kecemasan dan kesedihan..” Kesedihan boleh mengotori kehidupan dan juga merupakan suntikan beracun yang berbisa bagi jiwa yg membolehkan mengakibatkan kelesuan, keluhan, dan kebingungan. Kesedihan juga boleh membawa kepada kemurungan yg menggelapkan hati dan akan membuat keseluruhan keindahan menjadi layu. Dengan kesedihan, keadaan yang baik berubah menjadi buruk dan kehidupan yang menggembirakan menjadi mati kerana kesedihan pada akhirnya akan menumbuhkan sifat pesimis dan penyesalan. Namun begitu, pada tahap tertentu kesedihan memang tidak dapat dihindari dan ia pasti akan dilalui oleh seseorang. Oleh itu, disebutkan bahawa para ahli syurga ketika memasuki syurga akan berkata ; “..alhamdulillahhillazi azhab annal hazan..” ( Surah Fathir, ayat 34 ) “segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita kami..” Ini menunjukkan bahawa mereka semua pernah mengalami kesedihan ketika hidup di dunia dulu.