SEPANJANG Rabiulawal hingga Jamadilakhir memang padat dengan acara Maulid Nabi atau Maulidur Rasul. Sambutan Maulid Nabi saw terutama di Malaysia, menjadi suatu tradisi keagamaan.
Memperingati Maulidur Rasul adalah manifestasi kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad saw yang disertai doa semoga pada hari kiamat kelak kita mendapat syafaatnya. Menyambut Maulidur Rasul samalah seperti kita membesarkan Islam kerana Rasulullah saw adalah simbol agama Islam tertinggi. Imam Mutawalli al-Sya'rawi dalam kitabnya ‘Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya’ berpendapat: "Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, seperti tumbuh-tumbuhan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad saw, malah semua binatang, malai-kat dan jin juga bergembira di atas kelahiran baginda, kenapa ada golongan yang menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda?" Penegasan beliau ini berikutan banyak suara yang mempertikaikan sambutan Maulid Nabi saw. Allah berfirman kepada Rasulullah saw agar mengingatkan umatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai Nabi-Nya. Firman-Nya bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad saw): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." – (Surah Ali Imran, ayat 31).
Jadi, sambutan Maulid Nabi saw adalah natijah atau kesan daripada perasaan kecintaan terhadap Rasulullah saw; perasaan taat kepada baginda; sentiasa mengingati baginda; mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda. Ini kerana Allah memuji baginda dalam al-Quran. Firman-Nya bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia." – (Surah al-Qalam, ayat 4). Tahap kecintaan kepada Rasulullah saw adalah antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang bermaksud:"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Maka jelaslah bahawa kesempurnaan iman seseorang mukmin itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah saw.
Penganjuran majlis Maulidul Rasul adalah peluang keemasan yang berkesan untuk menyebarkan ajaran Islam. Di samping itu, kita dapat mendidik umat Islam, terutama kanak-kanak dan remaja mengenai akhlak Rasulullah saw, cara baginda beribadah dan bergaul dengan orang ramai. Namun, tiada ertinya kita menganjurkan sambutan Maulidul Rasul, sedangkan ajarannya supaya kita 'melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran' diabaikan begitu saja. Sebenarnya, untuk mengamalkan akhlak mulia dan meneladani ajaran Rasulullah saw bukanlah hanya di saat menjelangnya Rabiulawal setiap tahun saja. Ini kerana berakhlak mulia itu adalah suatu tuntutan dalam Islam.
Sebagaimana yang kita ketahui, Nabi Muhammad saw adalah rasul dan nabi terakhir. Baginda saw adalah penerima risalah Allah kemudian ditugaskan untuk disampaikan kepada umatnya. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi." – (Surah al-Ahzab, ayat 45-46). Sebagai pendakwah, baginda melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sempurna. Segala wahyu yang diterimanya, sama ada al-wahy al-Matluw (al-Qur'an) atau al-Wahy Ghayr al-Matluw (sunnah) disampaikan kepada umat manusia. Baginda saw tidak menyembunyikan risalah Allah walau satu huruf. Allah memerintah baginda dengan firman-Nya yang bermaksud: "Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang kafir." – (Surah al-Maidah, ayat 67). Rasulullah saw seorang pendakwah yang berjaya dan amat wajar diteladani sepanjang masa. Baginda dilahirkan untuk menjadi teladan utama, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)."– (Surah al-Ahzab ayat 21). Antara faktor utama kejayaannya dakwah baginda ialah kebenaran agama Islam yang dibawa; peribadi baginda yang memiliki akhlak karimah (mulia); kepemimpinan baginda yang baik dan dakwah baginda yang menarik perhatian orang yang mendengarnya. Sesungguhnya kebenaran risalah Islam adalah faktor utama kejayaan Rasulullah saw. Allah menetapkan Islam sebagai agama yang diredai untuk manusia. Firman Allah yang bermaksud:"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam." – (Surah Ali Imran, ayat 19). Oleh kerana Islam agama yang datang daripada Allah Yang Maha Kuasa lagi Bijaksana, pastilah segala ajarannya itu benar.
Justeru, amat tepatlah apabila Allah menyatakan Islam itu sebagai agama yang benar (dinul-haq) sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:"Allah yang menyatakan itu) Dialah yang mengutus rasul-Nya (Muhammad saw) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkan dan meninggikannya atas segala bawaan agama lain; dan cukuplah Allah menjadi saksi (mengenai kebenaran apa yang dibawa oleh rasul-Nya itu)." – (Surah Al-Fath, ayat 28). Islam yang diakui Allah sebagai agama benar itu, apabila difahami dan diamalkan secara benar, pasti akan menghasilkan kebahagiaan, kedamaian, kemajuan dan keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat. Selain faktor kebenaran Islam, kejayaan dakwah baginda ditentukan oleh sifat peribadinya yang berakhlak mulia. Disebabkan tingginya akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, Allah secara langsung memuji baginda dengan firman-Nya yang bermaksud:"Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak mulia." – (Surah al-Qalam ayat 4). Sehubungan itu, dapat difahami bahawa baginda wajar menjadi 'uswatun hasanah' atau contoh terbaik bagi umat manusia seluruhnya. Tambahan pula pengutusan Rasulullah saw sememangnya untuk menegakkan nilai moral yang tinggi atau akhlak mulia. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Bahawasanya aku ini diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia" (Riwayat Imam Malik).
Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'contoh terbaik' dalam ayat di atas terhimpun dalam tiga kategori. Pertama, perkataannya. Iaitu perkataan Rasulullah saw menjadi ikutan dan pegangan, sehingga mempengaruhi umat manusia. Rasulullah saw tidak bercakap mengenai sesuatu yang tidak berfaedah. Jika baginda bercakap pun, adalah dengan bahasa yang mudah difahami. Rasulullah saw juga sentiasa mengulangi percakapannya itu sebanyak tiga kali agar difahami dan tidak disalahertikan. Namun pengulangannya hanya dibuat apabila perlu. Dengan kata lain, Nabi saw bercakap benar dan jujur. Baginda pernah mengingatkan kepada umatnya "Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia berbicara sesuatu yang baik atau ia diam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kedua, perbuatannya. Maksudnya perkataan dan perbuatan Rasulullah saw amat beriringan. Baginda saw tidak hanya sekadar pandai bercakap, malah pandai melaksanakan. Jika baginda menyuruh orang berbuat baik, baginda akan memulakan terlebih dulu. Apabila melarang sesuatu, Bagindalah yang terlebih dulu tidak akan melakukannya. Dalam banyak hal Rasulullah saw berbuat terlebih dulu sesuatu perkara itu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Misalnya, solat. Baginda terlebih dulu mendirikan solat, kemudian baru berkata: "Sembahyang kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ketiga, akhlak dan tingkah lakunya. Akhlak Rasulullah saw adalah model akhlak mulia yang dihurai dan dijelaskan dalam al-Quran. Keterangan jelas mengenai konsep akhlak mulia dalam al-Quran, bukan saja untuk difahami, malah dilaksanakan. Contoh kepada penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah saw. Rasulullah saw seorang mukmin terulung. Seorang yang diasuh dan dipelihara akhlaknya oleh Allah untuk dijadikan seorang Rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan teladan sepanjang zaman. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung."– (Surah al-Qalam, ayat 4). Oleh itu, apabila kita mengkaji akhlak Nabi saw sebagai seorang pemimpin, ketua negara, panglima, suami, bapa dan sahabat, maka seharusnya kita berusaha mengamalkannya dalam kehidupan seharian, baik kehidupan peribadi atau dalam bermasyarakat. Dengan itu akan lahirlah perasaan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad saw. Sesiapa yang mencintai Nabi Muhammad dijanjikan ganjaran dalam syurga. Baginda saw bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya ia mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku, maka nanti ia bersamaku di dalam syurga". Nabi Muhammad saw adalah rasul terakhir. Tidak ada lagi rasul dan nabi sesudahnya. Oleh itu, ajaran yang dibawa oleh baginda bersifat syumul (menyeluruh). Berbeza dengan rasul terdahulu, mereka diutuskan untuk golongan, umat serta jangka waktu tertentu saja. Malah ajaran mereka tidak menyeluruh. Oleh itu, rasul terdahulu menyeru dengan kalimat 'Ya Qaumiy' yang bererti 'Wahai kaumku'. Demikian sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Nuh, Nabi Saleh, Nabi Musa dan rasul lainnya. Adapun Nabi Muhammad saw ketika menyebarkan Islam, diperintahkan oleh Allah swt agar menyeru dengan kalimat 'Ya Ayyuhannas' yang bererti 'Wahai manusia'. Ini diungkapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad saw) wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua."– (Surah al-A'raf, ayat 158).
No comments:
Post a Comment