(Dalam hidup ini cabaran adalah pendorong dan rintangan adalah penaung. Andai terjerat di batu gunung rentasi jalan lain sekalipun begitu asing bagimu
– al-Misri)
Nagkamura menghembuskan asap rokok tenang-tenang selepas mengakhiri pembacaannya dari buku The Historical Philosophy tulisan jurnal al-Misri. Kata-kata akhir dari jurnal itu, menjadi penguat kepadanya untuk meneruskan hidup sebagai seorang fatalis. Dia masih tersandar pada kerusi kayu setelah entah berapa kali mengitari rumah itu. Sudah beberapa minggu malah mungkin juga berbulan-bulan dia berkeadaan begitu setiap pagi atau petang. Kemudian batang rokok itu disedutnya lagi. Kali ini dalam-dalam. Dan asap dari sedutan batang rokok itu dihembuskan lagi (seperti kepulan awan yang sedang berkumpul untuk menitiskan hujan). Kini kepalanya berselirat dengan persoalan. Persoalan dalam mencari cinta dan cita.
“Cinta itukan luas maknannya ? Mengapa jiwaku jadi sebegini kosong. Tidak tenang. Perasaan ini seperti mengaum-gaum dahagakan seteguk air yang namanya cinta,” bisik hati Nagkamura.
Ruang rumah yang dihiasi fabrik indah dan hiasan dalaman dari Bali itu terasa seperti serabut sekali. Sesak dan pusam. Apa juga yang terjadi, hidup perlu diteruskan. Itu kata pujangga yang sering dipertuturkan oleh orang ramai.
“ Betul, kita perlu menjalani hidup seterusnya ini biar pun bagaimana. Aku tidak mahu mengaku kalah, itu yang pasti,” detik hati kecil Nagkamura. Sekilas pandangannya
singgah ke wajah Nur Aqilah yang berada di ruang dapur rumah itu . Kemudian berkata dia dengan tenang:
“Tuhan menjadikan manusia bukan untuk agama.” Dia membuang pandang ke arah lain, “Tapi agama diturunkan untuk manusia.” Dan kali ini pandangannya tertumpu pada Nur Aqilah tepat-tepat.
“Nur Aqilah !” serunya lagi. Dan kali ini pandangannya kepada wajah anak gadis hitam manis dari bandar selatan itu semakin mendalam. Penuh berahi.
Anak gadis itu mengangkat mukanya. Membiarkan wajah comelnya ditenung oleh Nagkamura sepuas-puasnya. Nur Aqilah kelihatan semakin ayu dengan tudung putih yang dikenakan bersama baju teluk belanga moden berwarna merah dan kain labuh berwarna biru pekat persis tiga warna pada bendera negerinya. Itulah tiga warna asas yang menjadi kebanggaannya. Walau bagaimanapun, Nur Aqilah sentiasa bertudung sehingga ada ketika Nagkamura dan siapa saja merasakan bahawa Nur Aqilah seorang wanita yang botak.
“ Apa fikirmu tentang pendapatku tadi?” tanya Nagkamura bagai tidak sabar. “Katakanlah ia atau tidak !”
Nur Aqilah tersenyum sedikit kemudian tunduk ke bawah. Dan sebenarnya dia
- Nur Aqilah- tidak sedikit pun tertarik untuk membincangkan lagi tentang soal perkahwinannya itu dengan Nagkamura. Dia telah pun membuat penjelasan tentang itu pada Nagkamura tidak lama dulu. Dia berada di negara matahari terbit itu adalah semata-mata ingin meneruskan pengajiannya dan tidak mempunyai niat lain apa lagi berkahwin. Nagkamura saja masih terus mendesak-desak.
Di tangannya dua batang kayu penyepit masih melenggang-lenggang dan membalik-balikkan spageti, timun, daun bawang, cili, isi ikan, cendawan dan entah apa-apa lagi dalam periuk yang sedang menggelegak di depannya itu. Itulah tugas biasa yang dilakukan oleh Nur Aqilah iaitu memasak. Jarang sekali dia makan di luar. “Bila berada di negara orang, jaga solat, jaga diri dan pergaulan. Srikandi Selatan itu tahu membezakan halal dan haram dalam kehidupannya apa lagi dalam makanan. Minyak tidak boleh bercampur dengan air, Aqilah. Memang benar sifat manusia biasa itu pelupa dan terleka, tetapi kalu kita sentiasa berwaspada dan berhati-hati pasti kita dilindungiNya,” pesan umi tiba-tiba terdetik di minda Nur Aqilah.
Namun Nagkamura masih tidak berpuas hati dengan tindakan Nur Aqilah dan dengan rasa jengkel yang mencucuk hatinya, memberikan sindiran tajam. “ Kalau dah menghadap aukiyuno, dunia pun awak lupa. Pendek kata di aukiyuno itulah dunia awak. Adakah semua wanita selatan itu, minatnya hanya memasak dan makan? ”
Wajah Nur Aqilah tetap tidak berubah. Hanya matanya memandang ke muka Nagkamura sebentar, senyum sedikit, dan kembali mengacu-acukan chopstik nya ke dalam periuk. Pada Nur Aqilah, mungkin Nagkamura hanya bergurau.
“Benarlah, semua wanita di negerimu hanya tahu memasak dan makan sahaja. Duniamu hanyalah sebesar periuk aukiyuno itu .... periuk yang dibakar buntutnya di depan tetamu, tapi tetamu lain tak sehebat awak, sehingga cakap saya tidak awak dengar sedikit pun. Bangga saya mempunyai makanan seperti aukiyuno yang boleh memukau siapa sahaja.” Terus-menerus Nagkamura menyindir.
Nur Aqilah memikirkan dirinya. Namun, dia tetap tenang dan ketenangan inilah yang dipelajari dari umi dan papanya. “Srikandi Selatan itu, agamalah pegangannya dan adat itulah jati dirinya. Pendidikan yang Aqilah terima di negeri ini, telah mengajar kita tentang adab-adab berselisih pendapat. Berlembut dan beradab sopan dengan bijaksana dan bertegaslah dengan berhikmah.” Kata-kata papanya masih tetap menjadi ingatan dan igauan.
Nagkamura tiba-tiba merasa bahawa cakapnya tadi mungkin terlalu tajam dan keras bagi Nur Aqilah. Dia melihat Nur Aqilah diam membisu kaku. “Ya. Dia orang asing,” dia memujuk hatinya sendiri.
“Sedap aukiyuno tu?” tiba-tiba Nagkamura bertanya. Suaranya begitu lembut.
Nur Aqilah mengangguk lesu.
“ Hendak lagi ? ”
“ Tak, ” geleng kepala.
“Bila awak pulang ke negeri Selatan kelak bagaimana ? Tidakkah awak akan kehilangan makanan yang digemari? Perlukah saya mengirimkannya sebulan sekali?”
Kepala Nur Aqilah nampak menggeleng-geleng lesu. Sambil meletakkan chopstik ke mangkuk kecil di sebelah kiri mejanya, Nur Aqilah berkata;
“ Di negeri kami ada sejenis makanan yang seakan-akan aukiyuno yang kau megah-megahkan ini. Namanya Laksa Daksina. Ianya masakan tradisi yang kami banggakan tidak seperti aukiyuno ini. Adakah kau sedar bahawa aukiyunomu ini adalah masakan campuran hasil gabungan resepi dari barat dan timur. Di mana letak keasliannya Nagkamura?”
Nagkamura terasa kalah. Dia mencebirkan bibir.
“Mengapa awak mencebir ? ” tanya Nur Aqilah. Hatinya terasa tidak senang dengan telatah Nagkamura yang menyolok mata itu. Tindakan Nagkamura seperti lelaki lembut yang cuba melepaskan kemarahan. Namun, perasaan Nur Aqilah itu segera hilang bila melihat Syuzimuri datang termengah-mengah.
Syuzimuri teman sebiliknya baru sahaja selesai berlatih karate di tingkat ketujuh bangunan itu. Kulit tangannya nampak merah berbintih darah. Parang tangannya nampak merah. Dan buku limanya juga nampak merah. Kulit-kulit itu sebenarnya sudah keras macam belulang, akibat hari-hari dia berlatih menetak, menumbuk, dan menepis serangan lawan. Kulit muka Syuzimuri yang putih itu juga kelihatan merah jambu. Namun, keayuan wajah wanitanya masih tetap terserlah.
“Syuzimuri,” Nur Aqilah menghalakan mukanya pada Syuzimuri yang masih mengesat-ngesat peluh itu. Penat benar dia nampaknya. Dialah wanita yang tealah menerima dan mempelawanya untuk tinggal bersama di kondominium ini dua tahun yang lalu. Dia seorang wanita yang peramah dan suka membantu.
“ Ya, kawan ....,” balas Syuzimuri sambil menyondongkan badannya ke bahu Nur Aqilah menggambarkan keakraban seorang sahabat karib.
Nagkamura kelihatan cemburu. Ia memaling muka, seolah-olah tidak suka melihat kejadian itu.
“Seorang perempuan yang mencebir itu ertinya menghina. Tapi apa pula ertinya kalau seorang lelaki mencebir?” kata Nur Aqilah sambil tersenyum-senyum.
Belum sempat Syuzimuri menjawab, tiba-tiba Nagkamura berpaling kepadanya dan bertanya.
“Awak sudah pernah ke negeri Selatan bukan?”
“Ya,” jawab Syuzimuri.
“Ada aukiyuno di sana?”
“Tidak,” terangnya jujur.
Bila mendengar jawapan itu ketawa Nagkamura meletup-letup. Macam bunyi motosikal tersumbat. Nur Aqilah menjeling Nagkamura. Nagkamura ketawa menang.
“Syuzimuri, hujung tahun lalu kitakan pernah ke Teluk Danga yang terletak di negeri Selatan. Kita ke sana sempena rumah terbuka Aidilfitri. Kita melihat persembahan tarian zapin dan kuda kepang. Kemudian, kau dan aku telah melawat rumah limas, rumah tradisional masyarakat Selatan dan menikmati sejenis makanan. Ingat tak Syazimuri ?” tanya Nur Aqilah kepada sahabatnya itu dengan tenang.
Terkebil-kebil kelopak mata Syuzimuri dalam usaha memaksa memori lampau diimbas kembali oleh radar ingatannya. “ Ya, aku masih ingat. Kenapa ?”
“Itulah makanan yang dibangga-banggakan oleh abangmu seakan-akan aukiyono bukan. Kami menamakannya Laksa Daksina,” jelas Nur Aqilah. Kali ini, Nagkamura terus ketawa untuk menutup malu.
Syuzimuri turut tersenyum melihat tingkah abang dan sahabatnya itu. Dia tahu otak Nagkamura telah tidak begitu sihat seperti dulu. Nagkamura sudah dua kali gagal dalam percintaan. Dan kini minat Nagkamura terhadap Nur Aqilah yang satu pengajian dengannya juga sudah diketahui.
Dan jika Nagkamura tidak dapat memikat Nur Aqilah, fikirnya, bererti dia telah tiga kali gagal dalam percintaan. Syuzimuri tidak tahu apa salahnya Nagkamura. Wajahnya tidak buruk. Dia sudah bekerjaya dan juga seorang komposer muda yang agak berjaya di sini. Sekarang ini pun dia sedang berusaha untuk mendapatkan ijazah kedoktorannya. Perwatakannya baik. Sikapnya juga jujur. Dialah pelindung dan tempat mengadu selepas pemergian ayah dan ibu mereka dalam kemalangan ketika dia berumur 10 tahun dulu.
Bila ketawanya makin kendur di hujung, Nagkamura menghulur rokok. Syuzimuri menyambut sambil bertanya sesuatu dalam bahasa Jepun yang cepat, lancar dan mendatar. Susah juga bagi Nur Aqilah untuk memahami perbualan mereka.
“Di sini lelaki dan perempuan dianggap sama. Perempuan cuba untuk lakukan apa yang lelaki boleh lakukan. Merokok di sini bagi perempuan itu perkara biasa. Tetapi di negeriku perempuan yang merokok dianggap pelik dan kurang siuman. Mengapa mereka ini lebih pentingkan gaya daripada kesihatan yang tidak boleh di jual beli ?” detik hati Nur Aqilah tentang tindakan Syuzimuri.
Syuzimuri pernah memberitahu Nur Aqilah bahawa merokok boleh memberikan ketenangan kepadanya. Kata-kata Syuzimuri itu pernah menjadi perdebatan yang panjang antara mereka berdua. Tapi, hujah Syuzimuri tidak pernah disertakan dengan pandangan mana-mana ahli akademik atau saintis. Untuk menjaga hati semua pihak, Nur Aqilah membiarkan persoalan itu lebur begitu sahaja. Dia sedar, bahawa dirinya seorang perantau.
“Bolehkah aku mengubah kebiasaan yang sudah sebati dengan jiwanya sejak sekian lama ? Ahh... biarkanlah dia, detik hati Nur Aqilah lagi.
Sambil matanya tunduk ke bawah, tangan Nur Aqilah terus menerus mengacau periuk yang isinya hanya tinggal sedikit sahaja lagi itu. Dia suka hendak menghabiskan semua aukiyuno itu kalau boleh. Tapi perutnya sudak terasa senak, kenyang sampai ke tekak.
Nur Aqilah sebenarnya merasa hairan kalau melihat gadis-gadis mahu pun pemuda-pemuda atau sesiapa sahaja berbangsa Jepun yang mempunyai satu cara makan yang tersendiri.
Makannya kelihatan begitu sedap. Dan berapa penuh pun pinggan atau mangkuk yang diisi dalam hidangan itu, mereka akan makan sampai habis. Bersih. Licin macam dijilat naga.
Hilai tawa beberapa orang gadis yang sedang makan di ruang dapur berhadapan rumah mereka memeranjatkan Nur Aqilah. Mereka makan sambil bergurau. Dan suasana jadi hingar dengan gelak ketawa mereka. Lantas peristiwa itu telah membuat dia teringat kata-kata uminya, “ Srikandi Selatan itu adab makannya bersopan. Tidak elok kalau berbual-bual dan bermain-main ketika mengadap rezeki. Ingatlah, tanda seseorang itu bersyukur ialah menghargai apa yang dipegang.”
Lama juga Nur Aqilah menumpukan perhatian pada mereka. Kadang-kadang dia tumpang senyum juga. Geli hatinya melihat telatah mereka yang bergurau seperti anak-anak kecil sambil tolak-menolak, tarik-menarik dan tampar-menampar.
Syuzimuri yang menjentik-jentik rokok ke tempat abuk rokok yang terletak berhampiran siku kirinya, mengejutkan Nur Aqilah dengan berkata; “ Nur Aqilah cuba awak fikirkan dalam-dalam, apakah kehidupan manusia ini agama lebih penting dari kebahagiaan?”
“Tidak semestinya begitu,” jawab Nur Aqilah.
“ Jadi apa ertinya alasan yang awak berikan tatkala menolak untuk berkahwin dengan Nagkamura? Kan awak kata yang agama menjadi penghalang besar ...”
“ Bagi saya ! Itu hanya bagi saya.Tapi tidak pula pada orang lain.”
“ Jadi kalau begitu, awak seorang manusia yang tidak tegas?” kata Syuzimuri sambil tersenyum.
“Apa maksudmu?” Nur Aqilah membeliakkan biji matanya.
“ Awak bermain-main dengan kata-kata, “ jelas Syuzimuri lanjut. Kemudian dia ketawa berdekah-dekah. Geli benar rasa hatinya. Wajah Nur Aqilah berubah warna. Tapi dia cuba juga mententeramkan hatinya.
“Katakanlah apa yang awak nak kata. Aku tetap dengan penderianku. Aku di didik di negeriku dengan didikan untuk menjadi insan yang berpegangan dan berprinsip. Islam itulah jiwaku dan adat Melayu itulah pakaianku.”
Suasana sepi sebentar. Nur Aqilah membuang pandangan ke sudut bilik yang digubah indah dengan bunga-bunga dan keladi dari negeri hawa panas.
Banyak keladi-keladi yang dilihatnya itu oleh orang-orang kampung Nur Aqilah dipanggil keladi bakung. Keladi-keladi tersebut jadi makanan babi peliharaan penternak-penternak binatang.
Di Tokyo pokok keladi itu merupakan pokok yang mahal. Hanya orang-orang kaya dan berpendapatan tinggi saja yang mampu memeliharanya.
“ Kalaulah aku nak kaya, boleh aku jadi pengimport pokok-pokok ini,” dia berangan-angan.
“Nur Aqilah, kalau aku bertanya secara jujur, bolehkah awak menjawabnya secara jujur juga?” Nagkamura tiba-tiba bertanya.
“Apa salahnya....!” balas Nur Aqilah ikhlas.
Lama Syuzimuri memandang muka Nagkamura. Dia menunggu-nunggu pertanyaan apakah yang akan dikemukakannya kepada Nur Aqilah. Dada Nur Aqilah berdebar.
Selepas mengesat-ngesatkan tangannya dengan tuala basah yang bergulung kecil di dulang buluh, yang dijalin jaring seperti tangguk itu. Nagkamura bertanya.
“ Awak sudah bertunang di tanah air?”
“Tidak.”
“Bila awak agak – awak akan berumahtangga?”
“Saya tak tau ...”
“ Kalau awak akan berumahtangga, lelaki bagaimana yang awak akan pilih?”
Nur Aqilah diam. Susah dia hendak menerangkan dengan tepat.
Nagkamura jenuh menunggu jawapan Nur Aqilah. Asap rokok berkepul-kepul wajahnya. Tetapi Syuzimuri tidak begitu. Dia tidak sabar. Lantas dia bertanya sebelum Nur Aqilah memberikan jawapan.
“ Yang kacak dan tampan?”
“Tentu.”
“High Class ?”
“Tentu.”
“Gentleman ?”
“Tentu.”
“ Yang seagama ?”
“ Sudah tentu.”
“ Sebangsa ?”
“ Tidak perlu !”
Mendengar perkataan tak perlu, dada Nagkamura begitu cerah. Mahu sahaja dia merangkul-rangkul Syuzimuri untuk menyatakan terima kasihnya kerana jawapan Nur Aqilah itu.
“ Bagaimana kalau aku memeluk agamamu esok ?” tanya Nagkamura gugup. Wajah Nur Aqilah ditenungnya lama-lama.
“Silakan dengan hormat,” balas Nur Aqilah jujur.
“Dan kita akan berkahwin bulan hadapan?” terus-menerus Nagkamura menyuarakan harapannya yang maha besar itu.
“ Maafkan aku, aku hanya akan berkahwin dengan lelaki yang dilahirkan di negeri Selatan. Aku cinta negeriku. Dan hidup matiku ada di negeriku !”
Nagkamura tersandar dikerusinya. Waktu itu dunia dirasanya begitu sempit.
No comments:
Post a Comment