Oleh;
Jafny b. Jaapar
Fakulti Pengajian Pendidikan UPM
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah meletakkan asas yang baik bagi pembinaan hala tuju pendidikan di Malaysia. Ada faktor-faktor asas dan fundamental yang perlu dipertahankan secara kreatif dan dinamik dalam menerima segala perubahan yang berlaku. Dasar pendidikan negara tidak dapat mengelak daripada menerima faktor-faktor sekitar yang sifatnya dinamik dan cenderung berubah. Asas-asas yang fundamental seperti keperluan pembangunan akal, rohani dan jasmani adalah ‘substance’ dalam pembangunan sistem pendidikan kita. Sekiranya pemberatan ilmu dan keterampilan dengan menafikan kepentingan nilai, kita hanya akan membangunkan generasi penerus yang arif tentang ilmu dan keterampilan tetapi tandus akal budinya sehingga wataknya menjadi mekanistik tanpa etika dan akhlak yang tinggi. Oleh itu, ketangkasan jasmani didukung oleh kekuatan ilmu dan keterampilan serta dikendalikan oleh faktor-faktor akal-budi dan akhlak yang tinggi akan menghasilkan daya saing dan jati diri yang baik.
Isu paling besar dalam pendidikan mutakhir ialah pendidikan terlalu bersifat fizikal dan mekanikal. Semua bidang dalam ilmu pendidikan dilaksanakan menurut pendekatan sains tabii dan keperluan teknologi tercanggih. Menerusi pendekatan ini matlamat pendidikan tertumpu pada konsep profesionalisme, kepakaran dan pengkhususan dalam bidang-bidang yang diperlukan segera pada satu masa tertentu. Dalam keghairahan ini, falsafah pendidikan untuk membangunkan manusia (INSAN) yang bermoral, berakhlak, beradab dan berhikmah semakin terpinggir.
John Horgan (1998) dalam bukunya yang terbaru iaitu ‘The End of Science’ menegaskan bahawa sains moden hari ini telah sampai ke titik kematiannya kerana dua ekstrim. Petama, sains telah berjaya memahami semua teori besar seperti teori relativiti, teori kosmologi kuantum dan Darwinisme. Dengan itu tiada lagi teori yang perlu dikaji. Kedua, saat kematian sains telah tiba kerana sains telah gagal mencari jawapan secara rasional dan impirikal tentang apakah tujuan serta makna hidup di bawah kewujudan manusia. Dalam dua ekstrim detik-detik matinya sains, Horgan (1998) membuat dua kesimpulan. Pertama, ahli-ahli sains perlu yakin dan sedar bahawa akal itu mempunyai batasnya. Maksudnya, ada ilmu yang tidak dapat difahami semata-mata dengan proses berfikir (akal). Kedua, krisis pemikiran dan nilai yang dicetuskan oleh budaya hidup sains, akan menggalakkan manusia kembali kepada agama. Menyedari perkara ini, falsafah perlulah di‘hidup’kan semula. Kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Oleh itu, FPK perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam semua komponen pendidikan supaya seimbang, harmonis dan sepadu antara agama dan kehidupan.
Bagaimanapun, era penjajahan lebih 450 tahun lamanya telah juga berjaya menanamkan sejenis penyakit jiwa, iaitu jiwa hamba atau jiwa penjajah di kalangan umat kita. Pendidikan dan pembudayaan penjajah telah melahirkan kelompok pribumi pengagum Inggeris dan kebudayaan Barat. Ini dapat dilihat dengan keangkuhan dan kebanggaan segelintir yang begitu menyanjungi sistem nilai dan budaya Barat hingga malu untuk memperagakan gaya hidup Melayu yang subur dengan nilai-nilai keIslamannya.
Seringkali ungkapan yang terukir di bibir mereka seolah-olah gaya hidup Barat saja yang menyerlahkan kemodenan dan kemajuan yang hakiki. Budaya Melayu Islam semacam tidak relevan lagi dengan peredaran zaman. Jati diri bangsa semakin terhakis lantaran kecelaruaan nilai dan budaya baru yang meresap ke dalam kotak pemikiran sebahagian besar umat Melayu kini. Nilai-nilai pendidikan Islam yang menjadi teras peribadi bangsa Melayu yang cukup dinamik suatu ketika dulu, semakin dipinggirkan. Malah, dalam usaha untuk mencari-cari identiti sebenar bangsa bagi mendepani pelbagai cabaran mendatang, masih ramai yang kabur dan hilang arah.
Sejak akhir-akhir ini, keruntuhan moral dan kecelaruan akhlak remaja, khususnya pelajar semakin menjadi-jadi. Permasalahan ini bukan sahaja berlegar di kalangan pelajar bermasalah, tetapi kini menjalar pada peringkat mendatangkan masalah dan mudarat kepada masyarakat. Kalau dulu kita sekadar mendengar masalah pelajar terbabit dengan dadah, merokok, minum arak, melepak, ponteng sekolah, berjudi di kalangan mereka dan berkelakuan tidak senonoh, kini pelajar-pelajar kita mula terbabit dalam pelbagai jenayah lebih serius sehingga berani membakar rumah, mencederakan sesiapa saja yang didendami oleh mereka serta membunuh.
Jika ditelusuri permasalahan sosial dan kecelaruan akhlak serta nilai di kalangan generasi muda yang semakin serius dan mencemaskan ini, pasti ada antara kita yang tertanya-tanya apakah punca fenomena ini boleh berlaku ? Apakah ini harga yang terpaksa dibayar bagi meraih puncak kemajuan yang dicita-citakan ? Adakah sistem pendidikan negara sudah gagal membentuk generasi yang mempunyai kekuatan nilai dan adab yang tinggi seiring dengan tuntutan zaman ? Atau mungkin juga ada yang mula menuding jari menyalahkan pihak lain ?
Dalam menanganinya, pendekatan mendidik adalah jalan penyelesaian terbaik dalam membentuk kualiti keinsanan pelajar, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Melalui pendidikan bersepadu, kita mampu melahirkan masyarakat yang bukan saja hebat dari segi keterampilan dan kemahiran malah diadun dengan nilai akhlak dan adab yang tinggi. Jesteru, tanpa jiwa merdeka yang lahir daripada adab dan pembudayaan nilai-nilai Islam yang sejati, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya.
Kung Fu Tze, seorang ahli falsafah tersohor China pernah menyatakan ; “Pendidikan individu adalah persiapan kepada masyarakat yang beradab”. Dalam konteks tanggungjawab kerajaan mendidik rakyat, beliau melontarkan pendapat ; “Sekiranya kerajaan menggunakan pendekatan kuasa politik dan hukuman melalui perundangan semata-mata dalam mentadbir rakyatnya, mereka mungkin mengelakkan diri daripada melanggar peraturan itu tetapi nilai malu dan rasa hormat tidak mungkin terbina dalam diri mereka. Namun, jika kerajaan mentadbir mereka dengan menggunakan pendekatan mendidik, pastinya terbentuk perasaan malu dan hormat lalu mereka melakukan sesuatu tanpa perlu dipaksa”.
Dalam Islam, dasar pendidikan mesti merujuk kepada kefahaman ilmu yang luas dan komprehensif. Ilmu yang diterapkan dalam sistem pendidikan ialah ilmu yang berteraskan iman dan akhlak. Pendidikan dalam Islam lebih menekankan pembangunan individu bukan saja dari aspek fizikal tetapi juga kerohanian dan akhlak. Ini bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang, yang dengannya dia dapat beriltizam membentuk akhlak mulia, sekali gus berusaha memanifestasikan kebaikan kepada orang lain.
Sehubungan dengan itu, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam bukunya bertajuk ‘Aims of Islamic Education’ menjelaskan ; “Elemen terpenting yang terkandung dalam konsep pendidikan menurut Islam adalah satu proses penyemaian nilai adab (ta’dib) atas pengertian faham adab yang luas dan merangkumi faktor kerohanian serta kehidupan material manusia berkualiti”.
Pandangan itu diasaskan kepada hadis Nabi Muhammad yang bermaksud : “Tuhanku telah mendidik aku dan Dia telah mendidik aku dengan sebaik-baik pendidikan”. Sekiranya konsep ini difahami dengan jelas, maka tidaklah dinamakan pendidikan seandainya pengajaran akhlak dan adab diabaikan. Malah Islam turut menekankan risalah Nubuwwah itu sendiri bagi menyempurnakan akhlak yang tinggi dan mulia. Firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud; “Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berakhlak mulia”. Pendidikan dan pembinaan akhlak ialah proses seiring yang tidak boleh dipisahkan. Malah, maksud pendidikan tidak bermakna jika elemen akhlak dikesampingkan.
Inilah yang ditekankan Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin yang menetapkan agar pembersihan jiwa daripada akhlak yang rendah sebagai keutamaan awal dalam deretan adab dan tugas pelajar. Menurutnya; “....ibadat hati dan mengisi batin dengan ilmu tidak pula sah tanpa lebih dulu membersihkan hati daripada najis akhlak yang keji dan sifat kotor”.
Sistem Pendidikan Rasulullah membuktikan bagaimana tarbiyah nubuwwah berjaya melahirkan peribadi Muslim yang cukup berkualiti dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi. Proses transformasi moral berlaku secara radikal yang berjaya mengubah budaya fikir dan peribadi umat Islam pada waktu itu. Nabi Muhammad berjaya menukarkan watak dan peribadi masyarakat jahiliyah yang amat rendah nilai akhlak kepada generasi baru yang amat tinggi martabat keinsanannya. Oleh itu, apabila fenomena kecelaruan moral dan kedangkalan akhlak semakin melebar di kalangan pelajar pada hari ini, hal ini seolah-olah mencerminkan atau menggambarkan kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Sistem pendidikan itu boleh dianologikan seperti kilang yang memproses dan mengeluarkan produk untuk manfaat pengguna.
Jika pengguna mencemuh kualiti produk yang dikeluarkan, pasti ada masalah di kilang berkenaan, sama ada dari aspek pemprosesan, kandungan atau kualiti bahan yang digunakan mahupun sistem pengurusan kilang itu. Adalah tidak adil masyarakat terus-menerus mengecam produk itu tanpa dikaji secara teliti kilang yang menjadi tempat produk itu dihasilkan.
Kalau dilihat secara dasar, sistem pendidikan yang ada pada hari ini sebenarnya mempunyai matlamat yang jelas sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dibentuk sejak 1987. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan : “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.
Pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting dalam membangunkan sesebuah negara. Matlamat yang jelas beserta strategi dan perancangan yang tersusun tidak mempunyai erti sekiranya sistem pendidikan gagal mencapai objektif untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang beretika, bermoral, amanah dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Impian dan cita-cita untuk menjadi bangsa yang maju dan utuh tidak akan mampu direalisasikan andainya tidak dimulakan dengan usaha pembinaan kualiti bangsa yang berpaksikan kepada dinamika tauhid, keilmuaan yang kuat dan kualiti keinsanan yang hakiki.
Persoalannya, sejauh manakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang cukup kukuh, mantap dan bermakna benar-benar diterjemahkan dalam seluruh komponen pendidikan negara ? Atau adakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan sekadar tinggal falsafah yang menjadi hiasan di dinding sekolah atau ungkapan indah yang meniti di bibir pihak berwajib semata-mata ? Dalam aspek lain, peranan pendidik turut menjadi faktor penting dalam mencorakkan dan mewarnai peribadi anak didiknya.
Peranan guru dan pendidik bukan sekadar menyampaikan pengetahuan tetapi membentuk kefahaman dan cara fikir pelajar yang berteraskan nilai adab serta akhlak berpandukan prinsip keagamaan yang tinggi. Sehubungan dengan itu, Al- Ghazali dalam bukunya Adab Pelajar dan Pengajar menganjurkan agar guru menunjukkan sikap kasih sayang dan ikhlas terhadap pelajarnya, melarang secara halus, memberikan pelajaran menurut ukuran fahaman murid dan menunjukkan teladan yang baik.
Ahli falsafah Islam, Ibn Khaldun, dalam bukunya yang masyhur Mukaddimah pernah mengingatkan; pendidik berperanan sebagai teladan yang mampu memberikan impak besar kepada pembangunan akal dan sahsiah pelajar. Peranan dan tanggungjawab pendidik harus lebih dinamik dan diberikan perhatian sewajarnya. Namun demikian, usaha juga harus dilakukan bagi mengkaji pendekatan terbaik dalam menterjemahkan aspirasi besar Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam konteks pembelajaran dan pengajaran di semua peringkat.
Begitu juga halnya apabila kita membicarakan isu yang melingkari krisis moral dan akhlak pelajar yang semakin menjadi-jadi dewasa ini. Perlu ada usaha yang objektif dan ikhlas untuk menilai keberkesanan sistem pendidikan yang menjadi teras pembentukan generasi mahupun pembinaan sesebuah tamadun gemilang.
Dengan pendidikan yang teradun sempurna, kita perlu berhati-hati dalam memimpin generasi muda agar tidak terjebak dengan budaya hedonisme dan sensate . Adalah sangat malang sekiranya generasi muda di negara ini terlalu terpengaruh dengan anasir-anasir budaya Barat yang jelas tidak sejajar dengan ciri-ciri masyarakat Timur yang berpegang kepada agama dan adat resam.
Sikap berhati-hati ini sangat perlu ibarat menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak bersepah dan rambut tidak putus. Hal ini demikian, memandangkan umat sejagat sedang berhadapan dengan wabak pemikiran yang disebut oleh Daryush Shayegan sebagai cultural schizophrenia, iaitu umat menjadi terpesona dengan budaya negatif Barat sehingga tidak melihat lagi kekuatan intrinsik yang terkandung di dalam kerangka budaya, ethos dan agama sendiri.
Malah, kita perlu mengambil sikap khuatir sekiranya penyerapan budaya Barat ini telah menyebabkan generasi muda dan pelajar negara menghadapi krisis kematian nilai (death of values). Apatah lagi, sekiranya mereka sanggup meminggirkan ajaran agama dan khazanah budaya tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Kebobrokan peradaban Barat ini turut diterjemahkan oleh pujangga dan pemikir terkemuka, Muhammad Iqbal menerusi baris puisinya yang berbunyi; “Peradaban Barat adalah pergeseran hati dan perasaan, Oleh kerana jiwanya tidak dapat bertahan di dalam kesucian, tatkala jiwa itu kehilangan kemurniannya, punahlah segalanya ...”
Oleh itu, kita tidak wajar menjadi seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing dalam mengatasi masalah ini. Sudah tiba masanya bagi semua pihak menggembleng tenaga dan buah fikiran bagi menangani kemelut sosial di kalangan generasi muda hari ini. Generasi muda, khususnya pelajar, selaku pewaris negara pada masa depan perlu dibimbing dan dibentuk pemikiran serta keperibadian mereka agar mampu berdepan dengan era globalisasi yang lebih terdedah kepada pelbagai unsur negatif dari luar. Dari suasana baru ini, kita perlu membina generasi muda yang berdaya tahan, bersikap kreatif, kritis dan selektif serta mampu membezakan perkara yang serasi dan perkara yang bertentangan dengan budaya kita.
No comments:
Post a Comment