Ada satu peristiwa tentang seorang budak, Svetaketu Aruneya namanya telah disuruh oleh
ayahnya pergi menuntut ilmu dan menjadi seorang murid yang bijaksana. Ketika dia
berpergian dia baru berumur dua belas tahun. Selepas dia menamatkan pengajian Kitab
Vedas, dan ketika dia sudah berumur dua puluh empat tahun, dia kembali menemui
bapanya, berbangga dengan ilmu pengetahuan yang sudah dipelajari serta dengan perasaan
memandang tinggi akan dirinya sendiri.
Melihatkan keadaan ini, bapanya berkata kepadanya, Svetaketu, anakku, kamu nampaknya
memandang tinggi akan dirimu sendiri, kamu fikir kamu sudah cukup terpelajar, dan kamu
seorang yang megah. Pernahkah kamu bertanyakan perihal ilmu yang dengannya apa yang
tidak didengari itu didengari, apa yang tidak terfikir itu terfikir, dan apa yang
tidak diketahui itu diketahui?"
"Apakah ilmunya itu, wahai bapaku?" tanya Svetaketu.
"Dengan mengetahui segumpal tanah liat, anakku, semua tanah liat boleh diketahui, kerana
sebarang perbezaan hanyalah kata-kata dan hakikatnya adalah tanah liat; dan dengan
mengetahui seketul emas semua emas boleh diketahui, kerana sebarang perbezaan hanyalah
kata-kata dan hakikatnya ia hanyalah emas..."
Svetaketu berkata, "Sudah pasti guru-guruku yang terhormat tidak mengetahui akan hal ini.
Jika mereka mengetahuinya, mengapa mereka tidak mengajarkannya kepadaku?"
"Jadi, biarkan ia begitu, wahai anakku. Bawa kemari sebiji buah daripada pokok banyan
ini."
"Nah, ini buahnya, wahai bapaku."
"Pecahkannya."
"Ia sudah pecah, wahai bapaku."
"Apa yang kamu lihat di dalamnya?"
"Biji-biji yang sangat kecil, wahai bapaku."
"Pecahkan sebiji daripadanya, wahai anakku."
"Ia sudah dipecahkan, wahai bapaku."
"Apa yang kamu lihat di dalamnya?"
"Tidak ada apa-apa, wahai bapaku."
Kemudian bapanya pun berkata: "Wahai anakku, daripada zat di dalam biji yang kamu tidak
dapat lihat apa-apa di dalamnya itulah datangnya (wujudnya) sebatang pokok banyan yang
nyata ini."
"Percayalah,wahai anakku, bahawa zat yang tidak dapat dilihat dan paling sulit untuk
dijelaskan itu adalah roh kepada seluruh alam. Itulah kenyataan dan hakikat. Itulah Atman.
Kamu Adalah Begitu."
1 comment:
Telah kubaca "Kamu Adalah Begitu" Nyata ada kebenaran bahawa Allah itu Maha Pencipta daripada kita tiada menjadi ada, daripada bijibenih yg sukar ditafsir melalui kata-kata walaupun hakikatnya ia sebutir benih tapi Allah mampu menjadikan ia sepohon Banyan dan Allah jua mampu untuk menjadikan benih itu terus mati menjadi benih yg tak bermakna...so, janganlah kita rasa terlalu besar dan hebat kerana Allah itu lebih hebat dengan "kun faya kun" mampu menjadikan segalanya...Allah segalanya untuk menjadikan "Kamu Adalah Begitu' ...Wallahu'alam
Post a Comment