Tiada ungkapan bagi menceritakan kehalusan akhlak Rasulullah s.a.w. Baginda adalah contoh dan tauladan yang paling agung di dalam sejarah kehidupan manusia. Bukan sahaja seluruh makhluk menyayanginya bahkan Allah s.w.t amat menyayanginya.
Di dalam sebuah hadith Qudsi ada dinyatakan yang mafhumnya : " Kalau tidak kerana engkau, wahai Muhammad, nescaya Aku tidak ciptakan alam semesta ini." Di dalam Surah Al-Saba' ayat 28 pula, Allah s.w.t berfirman : " Tidaklah kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa khabar gembira (rahmat) kepada umat manusia (seluruh alam) dan memberi peringatan-peringatan, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Di dalam surah Al-Ahzab ayat 21, Allah berfirman : " Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh teladan yang baik untuk kamu." Begitulah puji-pujian yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kekasihnya Rasulullah s.a.w. Kita sebagai umatnya harus berbangga dan sewajarnya memikul tugas untuk mengembangkan risalah yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Dengan itu semoga Allah akan terus merahmati umatnya dengan mengurniakan kesejahteraan dan keamanan.
Sepanjang bulan Rabiul Awwal ini, umat Islam merayakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Sememangnya dengan mengingati sejarah perjuangan baginda s.a.w akan menyegarkan rasa cinta dan kasih kita kepada beliau. Masih basah diingatan menerusi sejarah yang kita baca perihal halusnya akhlak baginda yang sentiasa mendahulukan kepentingan umatnya daripada dirinya sendiri. Sehingga di kala sakaratul maut pun baginda masih menyebut dan mengingati umatnya. Seorang rasul yang duduk dikalangan para sahabatnya sehingga sama-sama berlapar dikala ketiadaan makanan sedangkan di tangannya tersimpan khazanah perbendaharaan langit dan bumi sebagaimana dinukilkan oleh Imam Ja'far Al Barzanji di dalam Maulid Al Barzanji : " Rasul ikat perutnya dengan batu di ketika lapar, sedangkan ditangannya tersimpan kunci khazanah langit dan bumi."
Semoga kita mendapat syafaat daripada baginda... Amin.
No comments:
Post a Comment