Sama tapi tak serupa. Apa yang sama dan apa pula yang tak serupa itu? Inilah yang hendak kita sama-sama renungkan supaya peranan sebagai 'pemimpin dan peneladan sekolah' benar-benar dapat digarap sebaik mungkin dalam usaha kita bukan sekadar menjadi 'Konduktor bas' tetapi sepatutnya menjadi 'Konduktor orkestra'.
Ramai orang terutama Guru-Guru Besar yang tidak dapat 'melihat, merenung dan mentafsir serta menterjemah' apa, mengapa, bagaimanan dan ke mana sesuatu perkara itu di dalam memastikan peraturan dan kehendak-kehendak ordinan dan peraturan persekolahan di negara ini khasnya, dan segala macam dasar dan perubahan yang dibuat dari masa ke semasa oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Pejabat Pendidikan Daerah amnya.
Salah satu daripada perkaranya ialah berkaitan dengan Perhimpunan Sekolah. Walau pun hal ini bukan perkara baru tetapi malangnya banyak sekolah melihat dan menganggapnya satu perkara remeh, tidak penting, buang masa, leceh, apa benda nak isi, malah sampai ada sekolah yang didakwa tidak melaksanakan langsung perkara ini walaupun ianya menjadi salah satu 'kewajipan' sekolah yang tidak boleh ditolak begitu sahaja. Di sinilah betapa seseorang Guru Besar itu perlu bersikap sebagai 'pegawai eksekutif' yang berkesan bagi menentukan semua kehendak dan dasar pendidikan yang terangkum di dalam Pekeliling Ikhtisas itu dilaksanakan sepenuhnya bukan sekadar mematuhi secara 'membabi buta' tetapi dapat memberi impak dan kesan yang mendalam dan penuh bermakna kepada seluruh anak didik dan guru-guru di sesebuah sekolah itu.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4 Tahun 1984 ini yang bertajuk "Perhimpunan Sekolah" sebenarnya telah dikeluarkan oleh Bahagian Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 14 Jun 1984 dan surat kedua (dalam siri yang sama) bertarikh 10 September 1984. Intipati yang digariskan di dalam kedua-dua pekeliling tersebut ialah mengenai aspek masa perhimpunan dijalankan, aturcara perhimpunan dan perhatian khusus. Para 4.2 menyatakan: semua guru dan murid hendaklah sama-sama berada di dalam majlis perhimpunan itu dan bersama-sama menyanyikan Lagu Kebangsaan, Lagu Negeri dan / Lagu Sekolah (jika ada) dengan betul dan penuh bersemangat.
Kemudiannya menerusi Tambahan Kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1984; bertarikh 10.09.1984 di para 2.1 satu lagi lagu perlu dinyanyikan di dalam perhimpunan tersebut. Lagu yang dimaksudkan ialah lagu "Malaysia Berjaya". Manakala para 3 dengan jelas arahan berbunyi: "Di samping mengadakan perhimpunan mingguan, sekolah-sekolah juga adalah diminta mengadakan perhimpunan khas guru-guru dan murid-murid pada tiap-tiap hari untuk bersama-sama menyanyikan Lagu Kebangsaan Negaraku dan lagu "Malaysia Berjaya".
Perhimpunan khas tersebut hendaklah diadakan tiap-tiap hari sebelum waktu pertama bermula sama ada bagi sekolah satu sidang atau dua sidang..." Sedarkah kita akan semua kehendak pekeliling ikhtisas tersebut, dan sudahkah ianya dipraktikkan secara tekal dan bermakna?
Apabila pihak pengurusan sekolah tidak memandang penting terhadap acara perhimpunan ini maka itulah sebabnya kita dengar dan lihat berapa banyak sekolah yang gagal melaksanakan bukan sahaja perhimpunan harian malah perhimpunan mingguan pun tidak dijalankan seperti yang diarahkan. Lepas itu kita dengar pula berbagai rungutan mengenainya bukan sahaja daripada pihak guru-guru bahkan daripada Guru Besar sendiri! Antara beberapa 'kelemahan' dan 'ketidakakuran' dalam mematuhi pekeliling ini adalah:
· Tidak menepati masa: ada masanya terus tidak dijalankan, atau dijalankan tak tentu masa, ada sekolah mulai perhimpunan jam 9.00 pagi! Lewat memang perkara biasa..dan tak rasa apa-apa pun.
· Aturcara: terlalu ramai yang 'berucap' hinggakan ada sekolah Guru Besarnya tidak dapat pun nak berucap kerana masa sudah habis! Pelik bukan?
· Mutu: murid-murid menyanyikan lagu-lagu tersebut tanpa iringan muzik, akibatnya lagu jadi rosak, lari 'tempo', tak betul melodi dan akhirnya cara menyanyi yang tidak bermutu. Apa guru Muzik tak boleh tolong ke?
· Disiplin: paling buruk ada Guru Besar tidak turun dan berbaris bersama-sama murid-murid. Akhirnya guru-guru pun semuanya berada di kantin, tinggallah Guru Bertugas seorang diri mengendalikan acara. Nampaknya asal buat sudah...mutu acara dan yang paling penting 'pembentukan sahsiah diri' dan 'disiplin kendiri' langsung tidak menjadi 'agenda utama' di sekolah ini.
Aturcara Perhimpunan Mingguan Sekolah
Mengikut para 3.2.1 Pekeliling Ikhtisas tersebut di atas, antara lain aturcara perhimpunan hendaklah mengandungi:
Nyanyian Lagu Kebangsaan Negaraku / dan Lagu Kebangsaan Negeri, Lagu 'Malaysia Berjaya' dan Lagu Sekolah, (jika ada);
Upacara menaikkan bendera;
Upacara membaca Ikrar Rukunegara;
Ucapan Guru Besar;
Lain-lain perkara yang difikirkan perlu bagi mencapai tujuan perhimpunan. (Ikrar Taat Setia Guru dan Murid, lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa'.) ٱ
Not everything that is faced can be changed.
But nothing can be changed until it is faced.
No comments:
Post a Comment