Angin Ogos menyapa lagi – mengibarkan bendera, meniupkan semangat, menyemarakkan api patriotisme di sana-sini. Syukur setinggi-tinggi syukur, Malaysia dipanjangkan usia dan dilimpahi rahmat keamanan serta kemakmuran yang barangkali jarang kita dengar dari negara lain. Dan dua musim lagi kita akan mencapai usia ranum separuh abad.
Fikirkan: Orang dewasa, dan remaja yang sudah cukup matang untuk mengenal erti kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, kini sudah sekurang-kurangnya mencapai usia 60 tahun. Ramai juga yang telah tiada.
Yang kita lihat pada sambutan Hari Kemerdekaan dewasa ini – di padang dan di stadium; yang berarak, membaca ikrar atau berpayung terjun – rata-rata adalah dari golongan muda. Mereka dilahirkan di bumi Malaysia yang sudah sedia merdeka, Mereka kini hidup dikelilingi TV satelit, program realiti, laman web pelbagai ragam, telefon bimbit generasi terbaru dan kereta nasional berlumba-lumba di jaringan lebuh raya moden.
Bagaimana rasanya mendapat kemerdekaan setelah beberapa abad berada di bawah telunjuk penjajah – itulah soalan yang seharusnya ditanyakan oleh golongan muda kepada generasi zaman pra-Merdeka. Atau, tanyakan: “Bagaimana rasanya bila tanah tumpah darah kita diperintah dan dibelenggu penjajah?”
Mereka yang pernah bertanya berkemungkinan besar telah mendengar jawapan yang memilukan, yang barangkali mampu meruntun lelaki berhati waja. Pahit getir peperangan, kesengsaraan hidup di bawah kongkongan orang asing, dan perjuangan penuh pancaroba untuk menuntut kemerdekaan – semuanya menjadikan dinihari 31 Ogos 1957 sebuah mimpi indah yang akhirnya menjadi kenyataan, satu hari yang seolah-olah melimpahkan cahaya baru yang penuh dengan seribu satu harapan.
Kemudian, bila kita sudah pandai merangkak, bertatih dan bangun lalu menegakkan tiang-tiang seri bangsa, dan bila kita sudah yakin berteriak “Malaysia Boleh” di puncak dunia, apatah lagi dengan prasarana kelas G7 di kota-kota besar, kita mula menjadi terlalu berani dan terlalu terbuka, malah kadang-kadang menjadi alpa dan terlupa akan nilai-nilai murni bangsa kita.
Kerana itulah kita ingin menyambut kehadiran 31 Ogos dengan acara besar-besaran selama sebulan, yang kita ingin sasarkan kepada golongan muda. Kita mahu golongan muda turut sama kembali mengimbau keperitan perjuangan membebaskan tanah air, dan menyelami keagungan nilai sebuah kemerdekaan. Kita mahu pengguna jalan raya dan kanak-kanak bukan sahaja bangga mengibar bendera, tetapi juga mengerti bahawa lebih 51 tahun yang silam, tiada bulan bintang dan jejalur yang gemilang di tiang bendera kita.
Pada masa yang sama, kita ingin mengajak semua pihak merenung sejenak: Di mana kemurnian Merdeka jika “Merdeka” disorak dan dilaungkan tanpa jiwa, tanpa keinsafan dan tanpa kesedaran? Kita tentunya tidak mahu generasi akan datang melihat 31 Ogos sebagai sekadar hari tidak bersekolah atau tidak bekerja, dengan Jualan Murah Merdeka di sana sini. Paling kita tidak mahu, kalimah Merdeka yang penuh keramat itu dipetik bagi mengiringi temasya alkohol atau perayaan “kebebasan” yang sebenarnya hanya mencanangkan bahawa jiwa kita masih dijajah orang asing.
Antara kobar dan kibar musim perayaan ini, kami di Suara Sang Minda ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-51. Semoga hangat semilir Ogos ini akan terus kekal, semoga api patriotisme akan terus membakar pada bulan-bulan dan musim-musim mendatang, dan kita akan terus hidup sebagai satu Negara, satu Bangsa yang sentiasa Merdeka.
No comments:
Post a Comment