Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Aug 21, 2008

Perjuangan Anthocharis

Oleh al-Misri

Hari ini, awan yang cerah dan angin sepoi bahasa seperti rutinnya menghantarkan kalimah-kalimah zikir memuji al-Hafiz kepada seluruh alam tentang keindahan maya. Namun di perdu pohon Kenanga, sayup zikir tadi ditenggelami oleh tangisan Anthocharis. Hatinya terlalu sedih. Sebak dan pilu. Telah terbenam baginya kecerahan dan keindahan hari ini. Baru seminggu yang lalu dia berasa gembira. Riang dan ceria. Tetapi hari ini nampaknya dia kecewa lagi.

Dia masih bersugul di bawah pohon itu. Puas dipujuk oleh Anthocharis jantan, namun dia tetap begitu. Perasaan marah dan kecewanya masih belum sudah. Memang mereka tidak berperikemanusiaan! Adakah ini ujian, peringatan atau balasan Tuhan?

Tingkah lakunya telah diperhatikan. Kasihan melihat Anthocharis sendirian. Keesakkan menangis. Lalu dia merangkak menghampiri.

“Mengapa engkau menangis Anthocharis?” Monarch bertanya temannya.

“Oh...engkau rupanya. Sebenarnya aku kesedihan!”

“Apa yang engkau sedihkan?”

“Anak-anak aku dimakan Apanteles dan Exorista. Mereka memang tidak berhati perut!” Anthocharis memberitahu dalam sedan yang belum tamat.

“Aku kasihan dan bersimpati di atas nasib engkau. Bersabarlah,” Monarch menunjukkan rasa terharunya.

Anthocharis tetap bersedih. Dia terasa kehilangan yang amat sangat. Bagaimana dia harus bergembira lagi? Segala-galanya telah hancur dan musnah. Rentung hatinya dengan perbuatan Apanteles dan Exorista.

Ketika Anthocharis pulang daripada mencari makanan, dia melihat Apanteles dan Exorista tanpa segan dan silu merobek telur-telur kepunyaannya. Anthocharis dapat merasakan kesakitan yang dideritai oleh telur-telurnya. Dia tidak berupaya melawan. Sanggup mereka menganiaya kumpulan yang sama. Ah... tidak wajar mereka melakukan begitu padaku! jerit hati Anthocharis.

* * *

Baru seminggu yang lalu Anthocharis menghasilkan telur-telurnya. Semuanya di dalam saiz yang kecil, 3 hingga 6 mm. Dia meletakkannya dengan baik di atas sehelai daun ketapang. Dia ingin melihat telur-telurnya, menetas, menjadi larva, menjadi pupa dan akhirnya dewasa sepertinya. Namun hasrat Anthocharis terpadam begitu saja. Semua ini adalah gara-gara Apanteles dan Exorista. Andai diberikan kekuatan, mahu saja dia menuntut bela di atas kematian anak-anaknya.

“Anthocharis... apakah engkau tidak mempunyai alat perlindungan untuk melindungi dirimu daripada musuh-musuh yang datang menyerang!” Monarch bertanya.

“Aku sedih kerana aku tidak seperti temanku, Idea Leucano. Mereka lebih bernasib baik daripada diriku,” bilang Anthocharis.

“Mengapa engkau berkata demikian! Bukankah engkau dari spesies yang sama!”

“Memang kami daripada spesies yang sama tetapi famili yang berlainan. Mereka mengumpulkan racun di dalam tubuh untuk mempertahankan diri,” jelas Anthocharis.

Monarch agak keliru dengan penjelasan Anthocharis. Dia bertanya lebih lanjut.

“Tetapi bagaimanakah mereka boleh hidup dengan racun?”

Apa yang Anthocharis tahu, idea mengumpulkan racun di dalam tubuhnya ketika masih di tahap larva lagi. Racun diperoleh daripada tumbuh-tumbuhan yang dimakan. Racun yang terkumpul itu tidak merosakkan larva. Racun itu akan dibawa ke tahap dewasa apabila melengkapi kitar larva dan pupa. Racun ini amat berguna bagi mereka melindungi diri daripada musuh. Sesiapa yang memakan mereka akan turut sama mati kerana racun itu. Oleh yang demikian, tiada haiwan lain yang berani menggangu mereka.

“Idea tergolong di dalam famili ‘Si Harimau, Si Gagak’ manakala dirinya dari famili ‘Si Biru, Si Tembaga’,” Monarch mengangguk tanda faham. Lantas dia berkata.

“Tetapi engkau tetap cantik di kalangan teman-temanmu, jangan bersedih,” Monarch cuba memujuk.

Anthocharis memang cantik seperti yang dikatakan oleh temannya. Ia berukuran kecil hingga sederhana. Dia dipanggil “Si Biru, Si Tembaga”, kerana kepaknya yang lazim berwarna biru atau jingga yang bergemerlapan.

* * *

Anthocharis kelihatan gembira hari ini. Gundahnya telah mulai surut, sikit demi sedikit. Kesuraman hari-hari lalu mula disinari panas sang mentari. Dia sudah mahu terbang ke sana dan ke mari. Lemah gemalai mengibarkan sayap. Keindahan kepak depan dan kepak belakang sungguh menambat hati.

Anthocharis terbang dan hinggap di atas bunga yang sedang berkembang. Menghisap manis sari pati madu bunga. Sesekali dia datang kepada temannya.

“Aku gembira melihat engkau begitu ceria hari ini.” Monarch menyambut kedatangan temannya dengan ukiran senyum di bibir.

“Terima kasih Monarch.”

“Kau boleh menghasilkan telur-telurmu lagi, jangan bimbang.” Monarch memberikan semangat dan rangsangan kepada temannya agar tidak berputus asa.

“Tetapi aku takut. Mereka akan menyerang lagi!”

Anthocharis mulai merasa bimbang. Dia resah. Dia tidak mahu peristiwa itu berulang kembali. Dia mahu telur-telurnya menetas di dalam keadaan yang aman. Tiada sebarang gangguan. Dan tiada sesiapa yang akan memakan telur-telurnya.

“Jangan bimbang Anthocharis. Aku akan menjaga anak-anak engkau. Namun kita harus percaya setiap ketentuan al-Hafiz,” janji Monarch.

Anthocharis riang. Dia mengibarkan kepaknya beberapa kali. Hatinya mula berbunga gembira. Dahulu, Anthocharis seakan patah semangat. Dia ingin mati setelah kehilangan segala-galanya. Hidup bagaikan tidak bererti lagi. Sudah puas dia memikirkan semuanya. Mungkin ini jalan yang terbaik! Namun, adakah al-Hafiz akan menerima kematiannya sebagai kematian yang baik? Tetapi, dia boleh mengawan lagi. Mengapa terburu-buru!

“Terima kasih, Monarch. Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas budi engkau. Sudah terlalu banyak engkau membantu aku.”

Tidak terucap kata-kata paling indah buat Monarch. Segala pertolongan yang diberikan begitu bererti. Baru sekarang dia merasakan impiannya akan tercapai, jika masa dulu tidak... ia akan tercapai sekarang! Dirinya akan lari daripada kekecewaan.

“Anthocharis. Mengapa engkau takut pada Apanteles dan Exorista?”

“Mereka musuh aku. Aku benci pada mereka!”

Kedua-duanya serangga parasit. Mereka meletakkan telur-telur mereka ke atas telur, larva, dan pupa kepunyaan Anthocharis. Kadang-kadang telurnya hampir beratus-ratus biji.

“Kamu tahu Monarch... apabila telur-telur Apanteles dan Exorista menjadi larva, ia akan memakan jasad lemak yang ada pada telur, larva dan pupa kepunyaanku. Anak-anak aku mati menjadi makanan mereka.” Ucap Anthocharis sayu.

Monarch mengeleng-gelengkan kepalanya. Dahsyat sungguh perilaku mereka.

“ Apabila jasad-jasadku telah habis dimakan, ia akan memakan organ dalaman seperti salur pencernaan dan sistem saraf,” Anthocharis menyambung ceritanya.

“Apanteles menggunakan satu tiub panjang yang dipanggil ‘ Ovipositor’ untuk menusuk ke dalam kulit larvaku yang lembut dan mengalirkan telurnya ke dalam larvaku.”

“Bagaimana pula Exorista menyerang telur-telur engkau?”

Monarch mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Sekurang-kurangnya dia dapat belajar sesuatu dan tahu cara untuk menyelamatkan diri daripada diserang Apanteles dan Exorista.

“Exorista meletakkan telur-telurnya di atas permukaan telur-telurku. Apabila telurnya menetas, ia akan menghasilkan larva Exorista. Larva Exorista kecil tetapi ia mempunyai mulut yang tajam. Dengan menggunakan mulut yang tajam inilah, ia menggigit dan mengorak masuk ke dalam telur, larva, dan pupaku,” Anthocharis mula merasa sedih.

“Maafkan aku, Anthocharis. Aku tidak bermaksud untuk membuat engkau merasa sedih.”

Monarch mula melihat ada manik-manik jernih yang jatuh dari wajah temannya. Dia cukup simpati. Malang sungguh nasib temannya itu. Tidak dapat melihat anak-anaknya membesar apatah lagi untuk bermain bersama.

* * *

Anthocharis berasa cukup bertuah. Mempunyai teman seperti Monarch yang memahami keadaannya. Sanggup berkongsi suka dan duka. Bukan senang mencari teman sebegini. Adakalanya teman lebih suka mementingkan diri. Silap-silap jadi habuan teman sendiri.

“Kita saling memerlukan di dalam hidup ini. Apatah lagi di dalam dunia kita yang begitu sempit,” kata Monarch pada temannya.

“Tapi bagaimana engkau dapat menolong aku?” tanya Anthocharis.

Dia ingin tahu bagaimana temannya boleh menolong. Mengapa Monarch perlu bersusah payah kerana dirinya? Sedangkan telur-telurnya mengambil masa sekurang-kurangnya satu setengah bulan untuk menjadi Anthocharis dewasa. Sanggupkah dia berkorban untuk suatu jangka masa yang lama?

“Aku akan membina sarangku dengan menganyam daun-daun di kelilingku. Letakkan telur-telur engkau dekat dengan sarangku. Apabila telurmu menetas. Larva-larvamu akan masuk ke dalam sarangku dan memakan daun-daun itu,” jelas Monarch.

“Kemudian apa akan berlaku?”

“Aku akan mengangkat keluar larva-larvamu dan membawanya ke kawasan yang mempunyai daun dan pucuk yang banyak. Dan aku akan menjaga larvamu daripada serangan musuh-musuhmu itu... sehinggalah ia berkembang dan selamat menjadi pupa.”

“Oh... aku sungguh berterima kasih kepada engkau... Monarch. Kau memang baik hati!” ucap Anthocharis.

* * *

Anthocharis sudah bersedia. Dia mahu mengawan lagi. Dia mahu impiannya tercapai.

“Sungguh banyak telur-telurmu!” Monarch kagum Anthocharis dapat menghasilkan hampir seratus biji telur.

“Itulah zuriatku. Aku cukup gembira.”

“Aku berjanji akan menjaganya dengan baik,” Monarch memberi harapan agar temannya tidak gusar lagi.

Monarch memang telah bersedia sejak awal. Dia telah membina sarangnya terlebih dahulu. Telur-telur Anthocharis diletakkan berdekatan dengan sarangnya. Monarch tidak menjaganya seorang diri. Dia meminta bantuan teman-temannya yang lain untuk sama-sama menjaga telur Anthocharis.

Sikap saling bantu-membantu sudah sebati di dalam jiwa keluarga Monarch. Bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Itulah pegangan yang ditunggak selama ini. Kerana itu, tiada siapa yang berani mengganggu keturunan mereka.

“Lihat Anthocharis... di dalam masa seminggu, telur-telur engkau telah menetas menjadi larva!” jerit Monarch gembira.

“Oh... sungguh senang hatiku. Tidak sabar aku menanti mereka menjadi dewasa,” Anthocharis berteriak keriangan.

Anthocharis tidak dapat menyembunyikan perasaan girangnya. Dia benar-benar gembira. Terlalu gembira. Dia terbang penuh gemalai. Dan sering memerhatikan kawasan sekeliling dengan berhati-hati. Dia khuatir, musuhnya datang menyerang.

Anak-anaknya kian membesar. Larva yang baru menetas akan menjalani proses penyalinan kulit untuk menjadi lebih besar. Proses penyalinan kulit berlaku antara 4 hingga 6 kali di dalam tempoh 7 hingga 20 hari. Anthocharis semakin tidak sabar. Kini larvanya di dalam proses istirehat dan dipanggil pupa. Pupa juga mengambil masa dan ketika untuk berubah menjadi Anthocharis dewasa.

“Aku lihat engkau tidak sabar-sabar lagi menanti anak-anakmu menjadi seperti engkau,” Monarch menelah hati temannya.

“Oh... Monarch. Memang saat ini yang aku nantikan, jika tidak kerana pertolongan engkau dan perkenan dari al-Hafiz, nampaknya aku akan terus kecewa.”

“Hari ini aku menolong engkau. Mungkin suatu hari nanti engkau pula yang akan menolong aku,” kata Monarch pada temannya.

Mereka sama-sama tersenyum. Ikatan ini terlalu kukuh untuk diurai. Dan mereka terus menanti kemunculan yang ditunggu. Beberapa hari kemudian, sarung pupa mula pecah. Terserlah Anthocharis dewasa menyerupai ibunya.

“Aku sungguh gembira hari ini... Monarch. Aku telah dapat melihat anak-anakku sendiri. Aku boleh terbang dan bermain bersama mereka. Dan aku juga tidak lupa untuk ucap terima kasih kepada engkau dan teman-teman yang lain kerana sudi menolong aku.” Tergambar keceriaan di wajah Anthocharis.

“Aku juga tumpang gembira. Sungguh cantik anak-anakmu itu. Tidak ubah seperti engkau jua,” Monarch memuji.

“Oh... sungguh terima kasih, Monarch,” balas Anthocharis kembali.

“Aku mahu mengajar anak-anakku terbang. Nanti aku kembali,” Anthocharis meminta izin temannya.

“Pergilah wahai temanku.”

Anthocharis membawa anak-anaknya hinggap di atas kuntuman bunga. Dia mengajar anak-anaknya terbang. Anthocharis gembira melihat kelatah anak-anaknya. Bersungguh-sungguh mereka belajar di udara. Ada yang masih tidak dapat mengawal sayap dan jatuh ke tanah.

Anthocharis terus memberi semangat dan dorongan yang kental. Dia mahu anak-anaknya menjadi penerbang yang baik. Nyaris-nyaris seekor anaknya disambar burung. Nasib mereka baik, burung pula dikejar sang helang.

* * *

Musim tengkujuh telah tiba. Anthocharis harus berhijrah bersama-sama anaknya. Musim hujan boleh mempengaruhi kebolehdapatan sumber tumbuhan sebagai makanan. Tetapi Anthocharis begitu sedih untuk meninggalkan temannya, Monarch. Dia tidak sanggup berpisah. Itulah satu-satunya teman yang sukar untuk dicari ganti.

“ Monarch, nampaknya aku terpaksa berhijrah... musim tengkujuh telah tiba. Aku harus cari perteduhan yang sesuai untuk kami,” Anthocharis menyatakan hasratnya.

“Apakah engkau akan meninggalkan aku!” Monarch inginkan kepastian.

“Kami akan berhijrah buat sementara waktu. Bila musim telah berubah, aku akan kembali di sini.” Sebak dada Anthocharis memberitahu.

“Nampaknya, aku akan kehilangan seorang teman,” Monarch sudah dapat merasakan saat-saat mereka akan berpisah. Pandangan mata mula kabur ditenggelami air mata yang mula bertakung.

“Jangan bersedih, teman. Aku akan kembali lagi,” janji Anthocharis.

“Sebagai seorang sahabat, aku akan menanti engkau. Jagalah anak-anakmu dengan baik. Jangan sampai diserang musuh lagi. Semoga engkau semua selamat di bawah peliharaan al-Hafiz.”

“Oh... Monarch, aku amat menyayangimu sebagai sahabatku. Semoga kita berjumpa lagi.”

Mereka menangis dengan perpisahan sementara waktu ini. Bisakah mereka bertemu di pertemuan kali kedua? Anthocharis melambai-lambai dengan sayapnya.

No comments: