Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Nov 9, 2007

Bapa Fizik Moden

Oleh Nur Aqilah


Albert Einstein merupakan pemikir sains yang terunggul sepanjang zaman. Beliau dilahirkan pada tahun 1879, di Jerman selatan. Kajian beliau menjadi asas kepada fizik moden dan masih merupakan dasar kepada penerangan tentang kejadian alam semesta dan benda yang dilihat oleh saintis di dalamnya. Idea beliau membawa kepada penemuan pelbagai jenis benda, daripada kuasa nuklear hinggalah ke lohong hitam di angkasa lepas. Teori yang paling popular adalah Teori Kerelatifan Khusus. Ia menerangkan bahawa sesuatu benda yang bergerak pada halaju cahaya akan mengalami jarak yang berkurangan dan masa berjalan dengan lebih perlahan.

http://www.westegg.com/einstein/

http://www.aip.org/history/einstein/

(sumber: Saintis Terkenal, Siri Personaliti Terkenal, Nina Morgan)

Balang Mayonis dan 2 Cawan Kopi

oleh; Zun-Nun




Di dalam sebuah kelas falsafah, seorang profesor berdiri di hadapan dewan kuliah, meja di hadapannya terdapat beberapa barangan. Tanpa sepatah perkataan, kelas bermula dengan beliau mengambil sebuah balang mayonis yang besar dan mengisinya dengan bola golf.


Dia kemudian bertanya kepada para pelajarnya, adakah balang tersebut penuh, dan pelajarnya menjawab "ya!".

Profesor kemudian mengambil sekotak batu kerikil halus dan menuangkannya ke dalam balang yang telah dipenuhi bola golf tadi, lantas menggoncang balang tersebut dengan lembut. Bebatu kerikil mengisi ruangan kosong di antara bola-bola golf. Sekali lagi dia bertanya akan pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh, pelajarnya lantas menjawab "ya..."

Tanpa menjelaskan apa-apa kepada pelajarnya, profesor tersebut lantas mengambil pula sebuah kotak yang berisi pasir dan menuangkannya ke dalam balang tersebut.

Pasir yang dituang mengisi ruangan di antara batu kelikir dan bola golf. Seperti tadi dia bertanya lagi kepada para pelajarnya sama ada balang tersebut telah penuh. Dalam keadaan yang penuh persoalan, rata-rata pelajarnya menjawab "Ya.."

Sejurus selepas itu, profesor itu kemudiannya mengeluarkan dua cawan kopi dari bawah mejanya dan menuangkan kedua-duanya ke dalam balang yang telah sedia ada diisi batu golf, batu kerikil dan pasir tersebut. Air kopi mengisi ruangan yang terdapat di antara pasir. Para pelajar mula ketawa dan tersenyum meihat tindakan profesor tersebut.

"Sekarang..." profesor mula bersuara apabila riuh rendah dan gelak ketawa pelajarnya berkurangan.

"Saya mahu anda semua menganggap balang ini sebagai kehidupan anda... Bola-bola golf mewakili perkara penting - Tuhan, keluarga anda, anak-anak, kesihatan anda, kawan-kawan dan semangat anda - Jika anda kehilangan segalanya dan hanya perkara penting ini yang masih anda ada, hidup anda masih penuh. Batu kerikil halus ini pula mewakili perkara-perkara lain seperti kerja anda, rumah atau kereta anda, manakala pasir pula mewakili perkara-perkara lain, yakni perkara-perkara kecil."

"Jika anda memasukkan pasir ke dalam balang dahulu..."
"...anda tidak akan mempunya ruang untuk batu kerikil dan bola golf. Ini sama juga seperti kehidupan anda. Jika anda menghabiskan masa dan tenaga untuk perkara-perkara kecil, anda tidak akan mempunyai ruang untuk perkara yang sebenarnya lebih penting untuk diri anda."

"Ambil perhatian untuk perkara yang kritikal untuk kebahagiaan anda. Luangkan masa gembira untuk anak-anak. Sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan, bawa pasangan anda untuk makan malam, yang pasti, anda akan masih ada masa untuk membersihkan rumah atau urusan lain. Sila ambil berat akan bola golf dahulu - iaitu perkara yang benar-benar penting. Tetapkan keutamaan. Perkara lain cumalah pasir..."

Salah seorang pelajarnya mengangkat tangan dan bertanya apakah pula yang diwakili oleh air kopi.

Profesor tersebut tersenyum. "Saya gembira ada yang bertanya. Ianya menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana penuh pun kehidupan anda, akan sentiasa ada ruang untuk secawan dua kopi bersama rakan-rakan..."

Renungan untuk semua.

Apabila kehidupan anda seakan terlalu penuh dan tampak sukar untuk diuruskan, apabila 24 jam sehari seperti tidak mencukupi, ingatlah kisah Balang Mayonis dan 2 cawan kopi ini... "

10 Laluan Yang Bakal Dilalui Oleh Manusia Dari Dunia Sampai Akhirat

oleh al-Misri


Bagaimana memudahkannya?

LALUAN MENUJU KE KUBUR
a. Jauhkan dari perbuatan mengumpat & mengeji
b. Hindarkan perasaan irihati (benci)

c. Jangan terpengaruh dengan harta dunia
d. Sucikan kadha' hajat dgn istibra (berdehem selepas buang air kecil!)

LALUAN UNTUK BERJUMPA IZRAIL
a. Bersihkan diri dengan bertaubat
b. Gembirakan hati orang Mu'min
c. Bayar semula kadha' (solat & puasa) yang tertinggal
d. Kasih sepenuh hati kepada ALLAH Taala

LALUAN UNTUK BERTEMU MUNGKAR NANGKIR
a. Mengucap dua kalimah syahadat
b. Suka memberi sedekah
c. Berkata benar
d. Bersihkan dan perbaiki hati



LALUAN UNTUK MEMBERATKAN TIMBANGAN
a. Belajar atau mengajar ilmu yang bermanafaat
b. Sucikan perkataan dan pakaian
c. Bersyukur dengan yang sedikit
d. Suka dan redha dengan yang didatangkan oleh ALLAH

LALUAN MEMANTAPKAN AMALAN
a. Jauhkan perkataan yang sia-sia
b. Pendekkan cita-cita dunia
c. Banyakkan puji-pujian kepada ALLAH
d. Banyakkan sedekah dan khairat

LALUAN MELALUI TITIAN SIRAT AL-MUSTAKIM
a. Kasihilah aulia ALLAH Ta'ala
b. Berbaktilah kepada kedua ibubapa
c. Berpegang teguh dengan hukum syara'
d. Bercakap perkataan yang baik sesama makhluk

LALUAN MENJAUHKAN DIRI DARI NERAKA
a. Banyakkan membaca al-Quran
b. Banyakkan menangis kerana dosa-dosa yang lalu
c. Tinggalkan perkara yang maksiat
d. Jauhkan segala yang haram

LALUAN UNTUK MEMASUKI SYURGA
a. Membuat kebajikan seberapa banyak yang boleh
b. Kasihi orang yang soleh
c. Kerjakan segala suruh-suruhan ALLAH
d. Merendahkan diri di antara semua makhluk ALLAH

LALUAN BERJUMPA DENGAN NABI MUHAMMAD
a. Kasihilah Nabi ALLAH
b. Kasihilah Rasulluah
c. Tuntutilah yang difardhukan oleh ALLAH
d. Banyakkan selawat Nabi S. a. w.

LALUAN UNTUK BERTEMU ALLAH
a. Serahkan seluruh jiwa raga kepada ALLAH
b. Hindarkan diri dari menderhaka kepada ALLAH
c. Betulkan dan baikkan i'tiqad kepada ALLAH
d. Bencikan segala yang diharamkan-Nya



* Sudah bersediakah kita untuk itu? Atau adakah kita terlalu sibukkan yang ini?

Nov 7, 2007

Tahukah Anda ?

ASAL USUL GULA GETAH
oleh Nur Aqilah

Menurut sejarah Greek purba, orang-orang Greek juga mengunyah resin pokok yang diperolehi dari pokok mastik yang tumbuh di Turki dan Greek. Mereka memanggilnya gula-gula getah mastik. Ia digunakan bagi mencuci gigi dan menyegarkan nafas. Ia juga boleh didapat di Timur Tengah. Menurut catatan, orang-orang Indian di Tengah Amerika juga menguyah cairan daripada pokok spadilla lebih daripada 1000 tahun dahulu.


Pada tahun 1848 bermulalah gula-gula getah ini diperkilangkan secara komesial oleh John B Curtis dan abangnya. Setelah meraih banyak keuntungan mereka telah mengalihkan kilang mereka dari Bangor ke Porland dalam tahun 1850. Antara perasa yang di hasilkan ialah "White Mountain, Biggest and Best, Four-in-Hand, Sugar Cream dan Licorice Lulu". Pada tahun 1871 Thomas Adams dari New York telah mengeluarkan gula-gula getah secara pengilangan menggunakan mesin. Beliau telah menambah perasa pertama di Amerika dengan pangilan Black Jack. Gula-gula getahnya telah mendapat sambutan hangat sehinggalah tahun 1970 an.
sumber:http://inventors.about.com


HUKUMAN MATI

oleh Zun-Nun


Seorang warden penjara cuba untuk menghiburkan tahanan penjara yang akan menjalani hukuman mati di atas kerusi elektrik, gilirannya akan tiba sebentar nanti.

"Jangan takut. Daya voltannya sangat tinggi, lagi pun semuanya terjadi dalam masa yang sangat singkat," warden berkata.
Kebetulan pula dari kejauhan terdengar laungan kesakitan yang amat luar biasa kuatnya dan perpanjangan.

"Saya pergi ke sana sebentar untuk melihat," katanya.
Tidak lama kemudian, warden tersebut kembali. Dengan selamba dia berkata, "Tak ada masaalah yang berlaku, cuma masalah teknikal sahaja. Sekarang elektrik terputus, jadi mereka gunakan LILIN sebagai gantinya, itu sajaaaaa..."
* Apa macam, berani ke?..

PESAN BESTARI - Merenung Batu?

oleh Puteri Zulaikha

Michelangelo, seorang pelukis dan pengukir Itali yang termasyhor, pada suatu hari sedang duduk sambil memerhati dan merenung sebungkah batu besar yang berada di hadapannya dengan begitu asyik, berserta ketakjuban dan kekaguman yang dibayangkan oleh sinar matanya.


"Apa yang anda tenung ini?' tanya seorang yang berada berhampiran dengannya. " Suatu ukiran yang cantik." balas Michelangelo. Mendengar jawapan Michelangelo itu, orang ramai yang berada dikelilingnya merasa sangsi dan curiga dengan kewarasannya. Tetapi tidak berapa lama kemudian Michelangelo pun mulai memahat bungkah batu tersebut dan akhirnya terjelmalah sebuah ukiran yang sangat cantik.




* Sesuatu yang berada bersama kita, boleh menjadi ilham yang cukup bermakna...

Anda EGO..!!!

oleh; al-Misri

Sedikit sangat orang yang memiliki sifat ego, yang dia menyedari bahawa dirinya memiliki sifat keji tersebut. Natijah tidak menyedari adanya ego itulah maka tercetus berbagai perselisihan dan sengketa di dalam masyarakat. Ini berpunca kerana masing-masing diri dengan sifat ego tersebut bertembung dengan orang lain yang juga memiliki sifat yang sama. Dalam keadaan mereka sama-sama pula tidak menyedari memiliki sifat ego.

Untuk mengetahui samada memiliki sifat ego atau tidak maka perlulah disuluh dengan ilmunya. Ilmu yang menjelaskan tentang ciri-ciri ego tersebut. Namun begitu bukanlah mudah untuk membuang sifat ego itu biarpun sudah mengetahui ciri-cirinya. Kerana ego adalah sifat keji pada batin.

Ego adalah salah satu mazmumah yang bersarang di hati. Sebarang mazmumah bukan mudah hendak dikikis atau dipadamkan. Mazmumah tidak seperti penyakit lahiriah yang mudah diubat. Doktor malah doktor pakar memang bersedia merawat penyakit lahiriah. Penyakit batin atau mazmumah hanya boleh dirawat oleh mursyid yang benar-benar arif. Mursyid inilah yang sangat sukar ditemui. Betapalah pula manusia kini sudah tidak peduli dan tidak berminat untuk mengubati penyakit batin.

Sifat ego adalah penyakit batin. Ianya adalah abstrak atau
maknawiyah, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun tetap dapat dikesan melalui tanda-tanda lahiriah pada sikap seseorang itu. Atau dengan kata lain, sifat ego itu ada manifestasi atau implikasinya. Berdasarkan sikap dan tanda-tanda yang terserlah itulah dapat mengenali seseorang itu memiliki sifat ego.


Di antara ciri-ciri ego itu adalah seperti berikut :-

Menolak Tuhan

Inilah peringkat paling tinggi keegoan manusia. Tidak mahu mengakui akan kewujudan Tuhan ini yang menjadikan mereka berada di dalam kekufuran.

Menolak kebenaran

Biarpun terdapat golongan yang mengakui kewujudan Tuhan namun mereka yang salah faham akan keliru tentang Tuhan turut meletakkan diri mereka di dalam kekufuran. Turut berada di dalam kategori ini ialah mereka yang menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW. Terdapat pula yang mengakui Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad, namun mereka menolak kebenaran ajaran Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mereka yang seumpama ini boleh jatuh kepada murtad atau kufur. Penolakan atas dasar lemah iman dan tidak boleh melawan tuntutan nafsu, syaitan dan kepentingan dunia maka kedudukan mereka sebagai zalim. Andainya berpunca dari kejahilan, namun tidak terlepas juga sebagai mereka yang ego tinggi yang dihukumkan sebagai fasik.Golongan ini pula sangat meremehkan dosa pahala dan tidak suka memperkatakannya. Apa sahaja yang dibuat tidak mahu dikaitkan dengan persoalan dosa pahala atau halal haram. Keegoan mereka ini seolah-olah mahu bebas.

Tidak mahu adanya sebarang keterikatan dengan hukum Allah SWT

Begitu juga dalam kontek kekuasaan Allah SWT, mereka tidak mahu mengaitkan sesuatu peristiwa atau perkara itu dengan bukti kekuasaan Allah SWT yang Maha Kuasa. Sesuatu kejadian samada kejayaan, kegagalan mahupun musibah pada mereka lebih nampak kepada sebab atau faktor kejadian tersebut. Dalam soal usaha ikhtiar, mungkin juga boleh diterima sebagai faktor sebab yang terhasilnya sesuatu yang hakikatnya dengan izin Allah SWT. Apa yang anehnya sebagai memperlihatkan ego adalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau, jerebu, tanah runtuh yang sifatnya tidak ada campur tangan manusia, pun tidak mahu disandarkan kepada kekuasaan Allah SWT. Lantas dengan cepat mereka mengatakan itu semua adalah lumrah alam atau perkara biasa.

Tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain

Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah.

Ego juga dapat dilihat bilamana seringkali menzalimi orang lain apabila seseorang itu memiliki kuasa. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya.
Sering sahaja bercekak pinggang sebagai gambaran membesar diri. Sifat egonya itu terzahir dalam perbuatan bercekak pinggang biarpun tanpa disedarinya.

Payah hendak bertegur sapa kecuali kalau orang lain mendahuluinya

Dia merasakan tidak layak untuk menghormati orang lain seolah-olah orang lain yang patut menghormati dirinya.

Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang.

Selalu berwajah serius dan masam

Ditambah pula dengan sikap yang kurang mesra.Sangat memilih kawan terutamanya di kalangan orang yang setaraf sahaja. Kadang-kadang lebih suka berada di tengah-tengah orang yang lebih rendah bukan kerana merendah diri tetapi mengharapkan agar dirinya kelihatan lebih menonjol. Dan begitulah sebaliknya cuba mengelak berkawan dengan orang yang lebih atas kerana tidak mahu kelihatan dirinya rendah.

Sangat mudah tercabar oleh kebaikan orang lain

Apatah lagi apabila dicabar maka sangat tidak dapat menguasai emosi. Mudahnya tercabar itu samada akan memberi tindak-balas atau terus merajuk dan membawa hati. Mudah menjadi marah terutamanya kalau orang lain yang membuat silap, lebih-lebih lagi kalau kesilapan itu tertimpa ke atas dirinya.Kalau dia terbukti bersalah sangat sukar untuk meminta maaf. Dan apabila orang lain yang bersalah pula sangat sukar memaafkan.

Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran

Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya. Kalau dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.

Sangat suka berbahas

Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah.


Kesan sifat ego ini sangat merbahaya dan dahsyat. Lihat sahajalah Firaun, Namrud dan Hamman, kerana egolah mereka sanggup menderhakai Tuhan. Bahkan sanggup mati di dalam kekufuran. Biarpun berbagai bencana Tuhan datangkan sebagai amaran dan ancaman, semuanya tidak menjadi pengajaran, iktibar dan ingatan. Apalah ertinya mempertahankan 'kenikmatan' ego itu sedangkan menanggung seksa dan laknat Allah SWT.



Sekadar sebuah perkongsian.......

BELAJAR JADI PEMIMPIN

Belajar jadi pemimpin ... bermakna belajar seni dan sains

Belajar ... dekati orang

Belajar ... sayangi orang

Belajar ... menolong orang

Belajar ... mengutamakan orang

Terkadang belajar ... berkorban untuk kebaikan orang

Belajar ... faham orang demi mempertahankan perkara kerana orang

Belajar ... membaca budaya orang untuk orang lain merasa senang

Belajar membaca gerak orang

Belajar luka kerana orang

Aku belajar mengaku salah demi selamatkan orang

Belajar membaca kurang senang orang

Belajar jadi arang kerana api orang

Belajar jadi bara ... masakan makanan orang

Belajar berjuang walau digelar penentang

Belajar jadi juara walaupun terbuang

Belajar menerima tewas di gelanggang ... untuk orang lain merasa menang

Belajar erti hilang ... agar menghargai yang dipegang

Belajar jadi narawastu kembang mewangi walau di tanah gersang

Aku belajar untuk tidak dikenang ... tapi jasa tetap tertunjang

Belajar jadi pesalah walau sebenar dipersalah

Belajar jadi bintang walau kecil tetap dibilang

Belajar kenal susah pendorong untuk beribadah

Aku belajar kenal Allah untuk cinta tidak berupah

Mari belajar kenal mati agar senang untuk berbakti

Belajarlah jadi kuli ... agar tahu nilainya budi

Belajar jadi perantau ... agar kenal intan berkilau

Belajar jadi hamba ... agar tahu siapa tuan dipuja

Belajar jadi pelapor bukan pengekor

Jangan sampai tak kenal muara

Jangan sampai tak mampu berbicara

Jangan mengangguk seperti tiada

Kerana hidup bukan sekadar di buana

Pasti dijemput menghadap Yang Maha Bijaksana !

Nukilan rasa;

Zun-Nun

Ulu Tiram, Johor

Bersedialah untuk pilihan raya yang akan tiba... & buatlah pilihan yang bijak.

Sandaran Hati






Sekadar sandaran hati.....

Nov 6, 2007

Pesan Bestari

Cerita Hanuman

oleh Puteri Zulaikha


Diriwayatkan di dalam Valmiki Ramayana, ketika laskar-laskar kera sampai ke tepi pantai, mereka menghadapi masalah besar bagaimana hendak menyeberangi lautan yang luasnya beratus-ratus yojana (ukuran jarak dalam bahasa Sanskrit) untuk mereka sampai ke Pulau Ceylon (sekarang Sri Lanka). Semua panglima kera kemudian berkumpul berkeliling Sang Hanuman dan berkata kepadanya, "Hanuman, tuan hamba seorang sahaja yang mampu melakukannya. Apalah sangat seratus yojana ini jika dibandingkan dengan orang seperti tuan hamba? Ingatlah sewaktu tuan hamba masih kecil, tuan hamba melompat ke langit menuju matahari, kerana tuan hamba memikirnya sebagai sebiji buah. Tuan hamba hanya perlu membuat keputusan dan tuan hamba pasti akan berjaya menyeberangi jarak sekecil seratus yojana dan sampai ke Sri Lanka."


Seperti yang dimaklumi, Hanuman benar-benar dapat melakukan lompatan berganda

tersebut dan menjejakkan kakinya di Sri Lanka.


~ Valmiki Ramayana

Tahukah Anda?

Angkasawan Wanita Pertama



Jerrie Cobb, wanita pertama berjaya melepasi semua peringkat ujian angkasawan pada 1959 . Beliau telah dikurniakan pelbagai anugerah kecemerlangan, antaranya, Pilot of the Year oleh International Academy of Achievement serta disenaraikan sebagai salah seorang wanita terpenting di Amerika Syarikat oleh majalah Life.

Islam Is Way of Life

Empat Soalan Asasi

Oleh Zun-Nun Daripada Abi Burdah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Tidak bergerak (berjalan) dua kaki seseorang hamba (manusia) itu pada hari kiamat sehinggalah ia ditanya empat perkara: Mengenai umurnya yang telah dihabiskannya, ilmunya yang telah diamalkannya, hartanya dari mana diperolehinya dan apa yang dibelanjakannya, seterusnya mengenai tubuh badannya apakah yang telah digunakannya – Riwayat Tarmizi

Huraian Hadis 'Tidak bergerak dua kaki seseorang hamba pada hari kiamat' bermaksud bahawa seseorang itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan akhirat kecuali setelah ditanya dan disoal beberapa soalan, dan empat perkara asasi yang akan disoal adalah: * Tentang umurnya, iaitu bagaimana ia telah dihabiskan * Tentang ilmunya, iaitu yang mana telah diamalkan * Tentang hartanya, iaitu dari mana diperolehi dan apa yang telah dibelanjakan * Tentang tubuh badannya, iaitu bagaimana ia telah digunakan Mengenai 'umur bagaimana dihabiskannya' bermaksud adakah sepanjang hidupnya ia telah melakukan kebajikan atau kemungkaran. Semuanya ini akan disoal dan akan ditayang semula di akhirat, dan di waktu itu mulut akan ditutup tetapi anggota lain akan bercakap, mengakui apa yang telah berlaku. Firman Allah SWT: Pada hari ini kami tutup mulut-mulut mereka, dan kami bolehkan tangan-tangan mereka berkata-kata, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi, tentang usaha-usaha yang telah mereka kerjakannya Mengenai 'ilmu adakah ia berilmu dan beramal dengannya' bermaksud setiap individu muslim itu diwajibkan menuntut ilmu fardu ain, dan beramal dengan ilmu-ilmunya. Maka diharamkan kita menuntut ilmu-ilmu yang salah, seperti sihir dan seumpamanya, dan menjadi fardu kifayah pula bagi kita menuntut ilmu yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat. Mengenai 'harta dari mana diperolehi, bagaimana dibelanjakan' bermaksud sejauh manakah ia mencari harta menurut lunas-lunas yang telah digariskan Islam, kerana semua harta di dunia ini sama sahaja dari segi rupa dan nikmatnya, tetapi berbeza dari segi hukumnya. Kita juga diwahibkan menentukan bagaimana pula ia dibelanjakan, sama ada ke arah kemungkaran, seperti pembaziran, atau ke arah kebajikan, seperti membantu orang yang miskin dan sebagainya; semuanya ini akan ditanya di akhirat kelak. Mengenai 'tubuh badan, bagaimana ia menggunakan' bermaksud kita hendaklah memastikan tubuh badan yang sihat itu sama ada dihabiskan kepada perkara yang sia-sia atau sebaliknya, dan umat Islam sememangnya dianjurkan semasa tubuh badan yang masih sihat digunakan untuk kebajikan dan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesimpulan Hadis Di akhirat kelak setiap seorang daripada kita pasti akan disoal empat perkara asasi ini, dan tidak ada satu cara pun yang dapat kita lakukan untuk menyorokkannya. Dari amalan kita di dunia inilah kita akan menerima pembalasannya di akhirat kelak, samada syurga atau neraka. Hadis ini mengingatkan kita supaya hendaklah menggunakan peluang yang baik semasa masih hidup di dunia ini untuk melakukan perkara-perkara kebajikan, iaitu menggunakan umur hidupnya, harta kekayaannya, ilmu pengetahuannya, dan tubuh badan serta kesihatannya, untuk segala macam kebajikan dan amal-amal salih. Wallahu'alam

MEMANIFESTASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN PENAWAR MASALAH PELAJAR

Oleh;

Jafny b. Jaapar

Fakulti Pengajian Pendidikan UPM

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah meletakkan asas yang baik bagi pembinaan hala tuju pendidikan di Malaysia. Ada faktor-faktor asas dan fundamental yang perlu dipertahankan secara kreatif dan dinamik dalam menerima segala perubahan yang berlaku. Dasar pendidikan negara tidak dapat mengelak daripada menerima faktor-faktor sekitar yang sifatnya dinamik dan cenderung berubah. Asas-asas yang fundamental seperti keperluan pembangunan akal, rohani dan jasmani adalah ‘substance’ dalam pembangunan sistem pendidikan kita. Sekiranya pemberatan ilmu dan keterampilan dengan menafikan kepentingan nilai, kita hanya akan membangunkan generasi penerus yang arif tentang ilmu dan keterampilan tetapi tandus akal budinya sehingga wataknya menjadi mekanistik tanpa etika dan akhlak yang tinggi. Oleh itu, ketangkasan jasmani didukung oleh kekuatan ilmu dan keterampilan serta dikendalikan oleh faktor-faktor akal-budi dan akhlak yang tinggi akan menghasilkan daya saing dan jati diri yang baik.

Isu paling besar dalam pendidikan mutakhir ialah pendidikan terlalu bersifat fizikal dan mekanikal. Semua bidang dalam ilmu pendidikan dilaksanakan menurut pendekatan sains tabii dan keperluan teknologi tercanggih. Menerusi pendekatan ini matlamat pendidikan tertumpu pada konsep profesionalisme, kepakaran dan pengkhususan dalam bidang-bidang yang diperlukan segera pada satu masa tertentu. Dalam keghairahan ini, falsafah pendidikan untuk membangunkan manusia (INSAN) yang bermoral, berakhlak, beradab dan berhikmah semakin terpinggir.

John Horgan (1998) dalam bukunya yang terbaru iaitu ‘The End of Science’ menegaskan bahawa sains moden hari ini telah sampai ke titik kematiannya kerana dua ekstrim. Petama, sains telah berjaya memahami semua teori besar seperti teori relativiti, teori kosmologi kuantum dan Darwinisme. Dengan itu tiada lagi teori yang perlu dikaji. Kedua, saat kematian sains telah tiba kerana sains telah gagal mencari jawapan secara rasional dan impirikal tentang apakah tujuan serta makna hidup di bawah kewujudan manusia. Dalam dua ekstrim detik-detik matinya sains, Horgan (1998) membuat dua kesimpulan. Pertama, ahli-ahli sains perlu yakin dan sedar bahawa akal itu mempunyai batasnya. Maksudnya, ada ilmu yang tidak dapat difahami semata-mata dengan proses berfikir (akal). Kedua, krisis pemikiran dan nilai yang dicetuskan oleh budaya hidup sains, akan menggalakkan manusia kembali kepada agama. Menyedari perkara ini, falsafah perlulah di‘hidup’kan semula. Kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Oleh itu, FPK perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam semua komponen pendidikan supaya seimbang, harmonis dan sepadu antara agama dan kehidupan.

Bagaimanapun, era penjajahan lebih 450 tahun lamanya telah juga berjaya menanamkan sejenis penyakit jiwa, iaitu jiwa hamba atau jiwa penjajah di kalangan umat kita. Pendidikan dan pembudayaan penjajah telah melahirkan kelompok pribumi pengagum Inggeris dan kebudayaan Barat. Ini dapat dilihat dengan keangkuhan dan kebanggaan segelintir yang begitu menyanjungi sistem nilai dan budaya Barat hingga malu untuk memperagakan gaya hidup Melayu yang subur dengan nilai-nilai keIslamannya.

Seringkali ungkapan yang terukir di bibir mereka seolah-olah gaya hidup Barat saja yang menyerlahkan kemodenan dan kemajuan yang hakiki. Budaya Melayu Islam semacam tidak relevan lagi dengan peredaran zaman. Jati diri bangsa semakin terhakis lantaran kecelaruaan nilai dan budaya baru yang meresap ke dalam kotak pemikiran sebahagian besar umat Melayu kini. Nilai-nilai pendidikan Islam yang menjadi teras peribadi bangsa Melayu yang cukup dinamik suatu ketika dulu, semakin dipinggirkan. Malah, dalam usaha untuk mencari-cari identiti sebenar bangsa bagi mendepani pelbagai cabaran mendatang, masih ramai yang kabur dan hilang arah.

Sejak akhir-akhir ini, keruntuhan moral dan kecelaruan akhlak remaja, khususnya pelajar semakin menjadi-jadi. Permasalahan ini bukan sahaja berlegar di kalangan pelajar bermasalah, tetapi kini menjalar pada peringkat mendatangkan masalah dan mudarat kepada masyarakat. Kalau dulu kita sekadar mendengar masalah pelajar terbabit dengan dadah, merokok, minum arak, melepak, ponteng sekolah, berjudi di kalangan mereka dan berkelakuan tidak senonoh, kini pelajar-pelajar kita mula terbabit dalam pelbagai jenayah lebih serius sehingga berani membakar rumah, mencederakan sesiapa saja yang didendami oleh mereka serta membunuh.

Jika ditelusuri permasalahan sosial dan kecelaruan akhlak serta nilai di kalangan generasi muda yang semakin serius dan mencemaskan ini, pasti ada antara kita yang tertanya-tanya apakah punca fenomena ini boleh berlaku ? Apakah ini harga yang terpaksa dibayar bagi meraih puncak kemajuan yang dicita-citakan ? Adakah sistem pendidikan negara sudah gagal membentuk generasi yang mempunyai kekuatan nilai dan adab yang tinggi seiring dengan tuntutan zaman ? Atau mungkin juga ada yang mula menuding jari menyalahkan pihak lain ?

Dalam menanganinya, pendekatan mendidik adalah jalan penyelesaian terbaik dalam membentuk kualiti keinsanan pelajar, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Melalui pendidikan bersepadu, kita mampu melahirkan masyarakat yang bukan saja hebat dari segi keterampilan dan kemahiran malah diadun dengan nilai akhlak dan adab yang tinggi. Jesteru, tanpa jiwa merdeka yang lahir daripada adab dan pembudayaan nilai-nilai Islam yang sejati, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya.

Kung Fu Tze, seorang ahli falsafah tersohor China pernah menyatakan ; “Pendidikan individu adalah persiapan kepada masyarakat yang beradab”. Dalam konteks tanggungjawab kerajaan mendidik rakyat, beliau melontarkan pendapat ; “Sekiranya kerajaan menggunakan pendekatan kuasa politik dan hukuman melalui perundangan semata-mata dalam mentadbir rakyatnya, mereka mungkin mengelakkan diri daripada melanggar peraturan itu tetapi nilai malu dan rasa hormat tidak mungkin terbina dalam diri mereka. Namun, jika kerajaan mentadbir mereka dengan menggunakan pendekatan mendidik, pastinya terbentuk perasaan malu dan hormat lalu mereka melakukan sesuatu tanpa perlu dipaksa”.

Dalam Islam, dasar pendidikan mesti merujuk kepada kefahaman ilmu yang luas dan komprehensif. Ilmu yang diterapkan dalam sistem pendidikan ialah ilmu yang berteraskan iman dan akhlak. Pendidikan dalam Islam lebih menekankan pembangunan individu bukan saja dari aspek fizikal tetapi juga kerohanian dan akhlak. Ini bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang, yang dengannya dia dapat beriltizam membentuk akhlak mulia, sekali gus berusaha memanifestasikan kebaikan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dalam bukunya bertajuk ‘Aims of Islamic Education’ menjelaskan ; “Elemen terpenting yang terkandung dalam konsep pendidikan menurut Islam adalah satu proses penyemaian nilai adab (ta’dib) atas pengertian faham adab yang luas dan merangkumi faktor kerohanian serta kehidupan material manusia berkualiti”.

Pandangan itu diasaskan kepada hadis Nabi Muhammad yang bermaksud : “Tuhanku telah mendidik aku dan Dia telah mendidik aku dengan sebaik-baik pendidikan”. Sekiranya konsep ini difahami dengan jelas, maka tidaklah dinamakan pendidikan seandainya pengajaran akhlak dan adab diabaikan. Malah Islam turut menekankan risalah Nubuwwah itu sendiri bagi menyempurnakan akhlak yang tinggi dan mulia. Firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud; “Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berakhlak mulia”. Pendidikan dan pembinaan akhlak ialah proses seiring yang tidak boleh dipisahkan. Malah, maksud pendidikan tidak bermakna jika elemen akhlak dikesampingkan.

Inilah yang ditekankan Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin yang menetapkan agar pembersihan jiwa daripada akhlak yang rendah sebagai keutamaan awal dalam deretan adab dan tugas pelajar. Menurutnya; “....ibadat hati dan mengisi batin dengan ilmu tidak pula sah tanpa lebih dulu membersihkan hati daripada najis akhlak yang keji dan sifat kotor”.

Sistem Pendidikan Rasulullah membuktikan bagaimana tarbiyah nubuwwah berjaya melahirkan peribadi Muslim yang cukup berkualiti dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi. Proses transformasi moral berlaku secara radikal yang berjaya mengubah budaya fikir dan peribadi umat Islam pada waktu itu. Nabi Muhammad berjaya menukarkan watak dan peribadi masyarakat jahiliyah yang amat rendah nilai akhlak kepada generasi baru yang amat tinggi martabat keinsanannya. Oleh itu, apabila fenomena kecelaruan moral dan kedangkalan akhlak semakin melebar di kalangan pelajar pada hari ini, hal ini seolah-olah mencerminkan atau menggambarkan kelemahan sistem pendidikan di negara kita. Sistem pendidikan itu boleh dianologikan seperti kilang yang memproses dan mengeluarkan produk untuk manfaat pengguna.

Jika pengguna mencemuh kualiti produk yang dikeluarkan, pasti ada masalah di kilang berkenaan, sama ada dari aspek pemprosesan, kandungan atau kualiti bahan yang digunakan mahupun sistem pengurusan kilang itu. Adalah tidak adil masyarakat terus-menerus mengecam produk itu tanpa dikaji secara teliti kilang yang menjadi tempat produk itu dihasilkan.

Kalau dilihat secara dasar, sistem pendidikan yang ada pada hari ini sebenarnya mempunyai matlamat yang jelas sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dibentuk sejak 1987. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menjelaskan : “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.

Pendidikan merupakan satu aspek yang amat penting dalam membangunkan sesebuah negara. Matlamat yang jelas beserta strategi dan perancangan yang tersusun tidak mempunyai erti sekiranya sistem pendidikan gagal mencapai objektif untuk melahirkan sumber tenaga manusia yang beretika, bermoral, amanah dan cekap dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Impian dan cita-cita untuk menjadi bangsa yang maju dan utuh tidak akan mampu direalisasikan andainya tidak dimulakan dengan usaha pembinaan kualiti bangsa yang berpaksikan kepada dinamika tauhid, keilmuaan yang kuat dan kualiti keinsanan yang hakiki.

Persoalannya, sejauh manakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang cukup kukuh, mantap dan bermakna benar-benar diterjemahkan dalam seluruh komponen pendidikan negara ? Atau adakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan sekadar tinggal falsafah yang menjadi hiasan di dinding sekolah atau ungkapan indah yang meniti di bibir pihak berwajib semata-mata ? Dalam aspek lain, peranan pendidik turut menjadi faktor penting dalam mencorakkan dan mewarnai peribadi anak didiknya.

Peranan guru dan pendidik bukan sekadar menyampaikan pengetahuan tetapi membentuk kefahaman dan cara fikir pelajar yang berteraskan nilai adab serta akhlak berpandukan prinsip keagamaan yang tinggi. Sehubungan dengan itu, Al- Ghazali dalam bukunya Adab Pelajar dan Pengajar menganjurkan agar guru menunjukkan sikap kasih sayang dan ikhlas terhadap pelajarnya, melarang secara halus, memberikan pelajaran menurut ukuran fahaman murid dan menunjukkan teladan yang baik.

Ahli falsafah Islam, Ibn Khaldun, dalam bukunya yang masyhur Mukaddimah pernah mengingatkan; pendidik berperanan sebagai teladan yang mampu memberikan impak besar kepada pembangunan akal dan sahsiah pelajar. Peranan dan tanggungjawab pendidik harus lebih dinamik dan diberikan perhatian sewajarnya. Namun demikian, usaha juga harus dilakukan bagi mengkaji pendekatan terbaik dalam menterjemahkan aspirasi besar Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam konteks pembelajaran dan pengajaran di semua peringkat.

Begitu juga halnya apabila kita membicarakan isu yang melingkari krisis moral dan akhlak pelajar yang semakin menjadi-jadi dewasa ini. Perlu ada usaha yang objektif dan ikhlas untuk menilai keberkesanan sistem pendidikan yang menjadi teras pembentukan generasi mahupun pembinaan sesebuah tamadun gemilang.

Dengan pendidikan yang teradun sempurna, kita perlu berhati-hati dalam memimpin generasi muda agar tidak terjebak dengan budaya hedonisme dan sensate . Adalah sangat malang sekiranya generasi muda di negara ini terlalu terpengaruh dengan anasir-anasir budaya Barat yang jelas tidak sejajar dengan ciri-ciri masyarakat Timur yang berpegang kepada agama dan adat resam.

Sikap berhati-hati ini sangat perlu ibarat menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak bersepah dan rambut tidak putus. Hal ini demikian, memandangkan umat sejagat sedang berhadapan dengan wabak pemikiran yang disebut oleh Daryush Shayegan sebagai cultural schizophrenia, iaitu umat menjadi terpesona dengan budaya negatif Barat sehingga tidak melihat lagi kekuatan intrinsik yang terkandung di dalam kerangka budaya, ethos dan agama sendiri.

Malah, kita perlu mengambil sikap khuatir sekiranya penyerapan budaya Barat ini telah menyebabkan generasi muda dan pelajar negara menghadapi krisis kematian nilai (death of values). Apatah lagi, sekiranya mereka sanggup meminggirkan ajaran agama dan khazanah budaya tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Kebobrokan peradaban Barat ini turut diterjemahkan oleh pujangga dan pemikir terkemuka, Muhammad Iqbal menerusi baris puisinya yang berbunyi; “Peradaban Barat adalah pergeseran hati dan perasaan, Oleh kerana jiwanya tidak dapat bertahan di dalam kesucian, tatkala jiwa itu kehilangan kemurniannya, punahlah segalanya ...”

Oleh itu, kita tidak wajar menjadi seperti enau di dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing dalam mengatasi masalah ini. Sudah tiba masanya bagi semua pihak menggembleng tenaga dan buah fikiran bagi menangani kemelut sosial di kalangan generasi muda hari ini. Generasi muda, khususnya pelajar, selaku pewaris negara pada masa depan perlu dibimbing dan dibentuk pemikiran serta keperibadian mereka agar mampu berdepan dengan era globalisasi yang lebih terdedah kepada pelbagai unsur negatif dari luar. Dari suasana baru ini, kita perlu membina generasi muda yang berdaya tahan, bersikap kreatif, kritis dan selektif serta mampu membezakan perkara yang serasi dan perkara yang bertentangan dengan budaya kita.

SEBUAH HIKAYAT

SAKSI SERBA TAHU
oleh Zun-Nun


Di sebuah mahkamah, satu kes sedang di dengar dengan menghadirkan seorang saksi utama seorang ibu tua. Peguamcara mendapat giliran pertama untuk bertanya beberapa soalan kepada saksi.

Peguamcara : "Makcik Liza, makcik kenal siapa saya?"

Makcik Liza : "Ya, saya tahu benar siapa kamu, malah sejak kecil lagi. Kamu suka berbohong dan mengata di belakang kawan-kawan kamu. Aku juga tahu kamu ada menyimpan kereta curi di luar dan aku berasa amat kasihan dengan isterimu. Selain itu kamu suka bercakap besar, yang sama sekali tidak berasas dan benar. "

Peguamcara tersebut terpegun. Kerana lain yang di tanya .. lain pula jawapan yang diterima.Untuk mengatasi kekejutannya, dia bertanya dengan selambanya...,

Peguamcara : "Makcik Liza pasti juga mengenali Tuan Ahmad Fauzi, peguambela?

Makcik Liza : "Oh ya, tentu saja. Bahkan ibunya dulu sering meninggalkannya bersamaku waktu dia masih kecil. Tak jauh beza dengan kamu, Fauzi juga mengecewakan. Dia pemalas, suka menggoda perempuan dan hidupnya seolah-olah tanpa tujuan."

Habis sahaja Makcik Liza berbicara, hakim memanggil peguamcara dan peguambela untuk menghampirinya.

"Jika kamu berdua menanyakan kepadanya adakah dia kenal aku..., kamu berdua akan aku masukkan ke dalam penjara kerana menghina mahkamah..., " kata hakim.

* Watak di dalam hikayat ini tiada kaitan dengan yang hidup ataupun yang sedang meninggal dunia.


PUISI

SEBUAH HIKAYAT

Ini ada sebuah hikayat yang tercatat dalam buku hikmat

kisah sebuah sekolah pondok agung lagi terhormat

punya ilmuan yang hebat-hebat

lapor diri dengan harapan dan cita-cita tersemat.


Hari-hari silih berganti

dalam tawa dan tangis

dalam senyum dan bengis

anak-anak didik sering sedih pilu

menagih kasih dan ilmu.


Kini telah banyak purnama di pentas ilmu

banyak yang teruji dan diuji

sehingga tiba-tiba datang bah besar

yang bisa meninggalkan titik hitam

dalam lautan saujana luas mata memandang

geduk dipalu ilmuan berkumpul

gegak gempita alam bak hari lintar memecah bumi.

Para ilmuan dipanggil bersidang

ada yang cuba menilik

ada yang cuba melihat dan merasa

ada yang melepas tangan

ada yang terus berbahas

ada yang diam dan ada yang bising.


Masing-masing tertanya-tanya

adakah ini satu musibah besar Tuhan menguji hambaNya?

masing-masing menyalahkan

tanpa sedar anak-anak didik memerhati

dengan luka di hati yang pasti tidak dapat diubati.


Wahai insan yang hadir

kebahagiaan sejati tidak pernah kelihatan oleh mata

kebahagiaan sejati itu terletak pada jiwa

kerna manusia akan merasa kaya apabila hatinya juga kaya

apa yang lebih penting

bukan perselisihan yang diminta

cuma pengadilan yang lebih saksama.


Benar kata saudagar Cina ;

“Jika setiap hari pengembara naik turun gunung leka
membaham kancil, arnab dan rusa. Yakin dan percayalah,
satu hari nanti dia pasti terserempak singa “.

al-Misri , Sekolah Agama Rakyat Johor.

CIKGU JOHAN

Oleh Al-Misri

Semboyan berbunyi nyaring memberi amaran kepada semua pelajar agar bersiap sedia menghadapi persekolahan pada hari ini, 21 Julai 2313. Semboyang yang sudah uzur itu tidak pernah melupakan tanggungjawabnya walaupun tiada siapa yang peduli. Kenderaan pelajar dan guru bergerak perlahan-lahan memasuki kawasan sekolah menerusi kawasan kawalan keselamatan. Setiap kereta dan setiap individu harus melalui kawasan ‘scanner’ untuk memastikan mereka tidak membawa sebarang senjata.Alat yang dipasang 20 tahun lalu sudah tidak berfungsi dengan sempurna kerana kemajuan teknologi terkini yang menghasilkan pelbagai jenis senjata dapat mengelak ‘scanner’ ini.

Cikgu Johan memandu kereta Gen-5 model 2300 meninggalkan kawasan kawalan keselamatan. Kereta antipencemaran yang direka oleh beberapa orang jurutera Malaysia itu dijangka dapat menangani masalah pencemaran dan krisis tenaga. Kereta ini tidak akan mengeluarkan sebarang asap atau sisa buangan kerana menggunakan 100 peratus tenaga elektrik yang dijana daripada bateri khas bertenaga tinggi. Setelah meletakkan keretanya di garaj yang dikhaskan untuk guru, dia bergegas ke bilik mesyuarat. Hari ini ahli lembaga sekolah akan bersidang, dan sebagai guru baru dia perlu hadir untuk menyebatikan dirinya dengan masalah disiplin dan akademik pelajar.

“Apa yang perlu kita tumpukan di sini ialah usaha kita untuk mencegah pelajar-pelajar kita daripada membawa masuk senjata ke kawasan sekolah,” suara garau Cikgu Sahar bagaikan kata aluan kepada Cikgu Johan apabila dia membuka pintu bilik mesyuarat. Kehadirannya sedikit pun tidak mengganggu perjalanan mesyuarat. Pada perkiraan Cikgu Johan perbincangan ini mungkin sudah berlanjutan selama 10 minit.

“Alat ‘scanner’ yang kita gunakan selama ini ketinggalan zaman untuk mengesan senjata yang semakin canggih”. Cikgu Sahar yang merupakan cikgu yang paling lama mengajar di sekolah ini meneruskan penerangannya.

“Tetapi semasa alat ini baru dipasang pun, tiada senjata yang dapat dikesan ketika dibawa masuk”. Cikgu Zainal Timbalan Pengetua mencelah.

“Memang benar kerana tiada siapa yang membawa masuk senjata untuk mengelakkan daripada dikesan. Tetapi sekarang ada pelbagai senjata laser seperti ‘us-A’ yang kecil tetapi bertenaga. ‘Us-A’ ini diperbuat daripada bahan plastik campuran. Jika ‘us-A’ ini dibalut dengan sehelai kertas sekalipun ia akan melepasi ‘scanner’. Pembuatan dan penggunaannya diharamkan di seluruh dunia kerana senjata ini sering digunakan oleh pengganas. ‘Us-A’ menjadi senjata rebutan di pasaran gelap. Menurut laporan polis, senjata ini biasanya dibeli oleh pelajar”.

“Tidak adakah alat yang dapat mengesan senjata seperti ini?” Cikgu Johan cuba melarutkan dirinya ke dalam perbincangan itu. Sepuluh pasang mata terpanah kepada Cikgu Johan, bagaikan terperanjat dengan kehadirannya yang tidak begitu disedari.

“Ada, tetapi kita terpaksa menggunakan semua wang peruntukan sekolah ini untuk membelinya,” sahut Cikgu Anwar selaku bendahari sekolah, sambil berdiri mengambil sepotong kuih.

“Saya rasa masalah ini berpunca daripada kelalaian sesetengah guru pada masa lalu dalam mengajar Pendidikan Islam dan Moral. Mereka tidak cuba memperkukuhkan pendidikan itu ke dalam jiwa anak murid mereka.” Ustazah Nabilah yang merupakan orang yang keempat terpenting dalam ahli lembaga sekolah serta guru kanan pendidikan kerohanian memberi pendapat.

“ Ada benarnya pendapat ustazah itu, tetapi saya rasa kita berkumpul bukan untuk mencari punca sebaliknya penyelesaian terhadap masalah ini. Rasanya perkara yang lalu tidak ada guna kita ungkit.” Cikgu Jamil, Pengetua sekolah membawa kembali perbincangan ke daerah asalnya.

Cikgu Johan terasa hendak membuka mulut untuk menyuarakan pendapatnya tetapi segera dimatikan keinginannya, menyedari dia hanya pemerhati.

“Bagaimana kalau kita singkirkan ketua-ketua geng?” Cikgu Iman yang baru sebulan bertugas sebagai Timbalan Pengetua Hal-Ehwal Murid memberi idea, sekadar tidak mahu dianggap pasif oleh ahli lembaga sekolah.

“Hiss...... lagi kacau! Kita percaya terdapat dua kumpulan besar geng pelajar yang sangat berpengaruh serta beberapa geng kecil. Kumpulan pertama diketuai oleh Mohd. Shukor, atau lebih dikenali dengan nama ‘Jenggo’. ‘Jenggo’ menamakan kumpulannya ‘Racun’. Kumpulan kedua pula diketuai oleh Akhbar yang lebih betah dipanggil ‘Bai’. ‘Bai’ pula menamakan kumpulannya ‘Peluru’. Kedua-dua kumpulan ini sering bergaduh terutamanya di luar sekolah. Sering kita menerima laporan polis mengenai pergaduhan yang melibatkan mereka. Yang kita bimbangkan ialah kebanyakan mereka menggunakan senjata ‘us-A’. Ada juga kumpulan-kumpulan kecil yang lain, tetapi mereka lebih merupakan kelompok yang tersingkir daripada kedua-dua kumpulan ini. Ada juga satu kumpulan yang menggelar diri mereka ‘hard rock’ yang diketuai oleh Badrul atau digelar ‘Boroi’. Dia dikatakan tersingkir daripada kumpulan ‘Peluru’ kerana dituduh cuba mengkhianati kumpulan itu. Walau bagaimanapun kumpulan-kumpulan kecil ini tidak memberi sebarang masalah, dan kita yakin sekiranya ‘Racun’ dan ‘Peluru’ bubar, maka kumpulan-kumpulan kecil ini akan hilang dengan sendirinya,” terang Cikgu Sahar dengan terperinci, sambil matanya tertumpu kepada Cikgu Johan. Sebagai guru yang baru bertugas, Cikgu Johan pasti belum begitu arif dengan situasi sekolah ini, fikir Cikgu Sahar.

Setelah menelan seteguk air kopinya yang sudah mulai sejuk, Cikgu Sahar menyambung kembali, “Apa yang saya cuba gambarkan di sini ialah keadaan huru-hara yang mungkin akan timbul akibat penyingkiran ketua-ketua mereka dari sekolah. Pasti berlaku pergaduhan untuk melantik ketua baru. Mungkin juga mereka akan berdamai, tetapi kita tidak boleh mengambil risiko mengakibatkan keselamatan umum terancam !”

* * *

Pendingin hawa berdengung perlahan. Persidangan yang tidak selesai pagi tadi pasti berputar dalam kotak fikir Cikgu Johan. Benarkah pelajar sekolah ini sebegitu teruk perangai mereka. Nyatalah sekarang dia berhadapan dengan generasi yang sudah kehilangan nilai-nilai tradisi ketimuran yang penuh dengan kelembutan. Mungkin Perang Kimia yang meletus dua abad yang lepas menghasilkan generasi yang sebegini rupa.

Cikgu Johan tersentak lalu bangkit daripada pembaringannya. Sambil duduk berjuntai kaki dibirai katil, dia menyentuh punat komputer di sebelah katilnya. Bunyi ‘beep’ jelas kedengaran menandakan semua sistem komputer telah bangun daripada ‘rehat’nya dan bersedia untuk beroperasi. Cikgu Johan segera menarik kerusi lalu duduk. Skrin komputernya memaparkan segala persediaan untuk mengajar esok hari. Mata pelajaran Ekonomi.

Apabila berpuas hati dengan kandungan pelajaran dan soalan, dia segera mengangkat telefon dan menghubungi Pusat Kawalan Komputer Sekolah. Beberapa minit kemudian, dia bersandar senang sambil memerhatikan data pada komputernya dipindahkan ke bilik darjahnya melalui modem satelit.

Meskipun sudah dua minggu dia melaporkan diri ke sekolah tetapi esok adalah hari pertama dia akan mengajar. Entah mengapa hati kecilnya berdoa semoga ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ akan menjadi salah seorang anak muridnya. Seperti teringatkan sesuatu, Cikgu Johan menarik lacinya dan mengeluarkan dua helai kertas. Kedua-dua helai kertas ini diambil secara bersembunyi dari bilik rekod pejabat. Data peribadi ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ tercatat dengan jelas berserta dengan gambar mereka. Gambar yang terlekat di bahagian atas kertas itu menarik perhatian Cikgu Johan. Gambar mereka di tingkatan satu hanya menonjolkan wajah yang bersih bagai kain putih yang baru dibeli. Sudah empat tahun berlalu, entah bagaimanakah wajah mereka sekarang, getus hati Cikgu Johan lalu kembali berbaring.

* * *

Pintu automatik terbuka luas dan memberi laluan kepadanya untuk bolos ke dalam kelas Tingkatan Lima Mahathir. Tentunya mengambil nama Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Beliaulah yang telah mengutarakan Wawasan 2020 dan telah membawa Malaysia menjadi negara perindustrian terutama di dunia seperti sekarang ini.

Tiada ucapan salam menyambut kedatangannya, seperti mana biasa dilakukan oleh pelajar pada abad 21. Cikgu Johan berjalan pantas ke meja guru dan memasukkan kad pengenalan gurunya ke dalam komputer pusat kelas di meja guru. Dia segera menekan beberapa kunci pada papan kekunci untuk membawa maklumat mata pelajarannya dari memori komputer. Sebentar kemudian, terpapar perkataan ‘Ekonomi’ di skrin paparan di hadapan kelas. Dua puluh lima kepala mengangguk perlahan menyedari bahawa Cikgu Johan adalah pengganti kepada Guru Ekonomi sebelum ini yang telah bersara.

Bunyi berdengung seperti langau kedengaran apabila pelajar menjawab salam Cikgu Johan. “Ekonomi adalah salah satu pelajaran penting dalam kehidupan kita, dan telah dipelajari oleh pelajar-pelajar di dunia sudah berkurun lamanya,” mukadimah yang dipetik daripada kata-kata bekas guru Ekonominya terhenti apabila terpandang dua wajah di belakang kelas yang tidak terjejas dengan pertambahan usia sebanyak empat tahun. Cikgu Johan langsung tidak menyangka yang kedua-dua ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ akan menjadi anak muridnya sekaligus.

“Mohd. Shukor,” tersentak wajah yang tunduk memerhatikan garisan di tangan bagaikan penilik nasib. Mungkin dia terasa janggal dengan namanya sendiri kerana selama ini dia lebih dikenali sebagai ‘Jenggo’.

“Ya,” sahutnya ringkas.

“Cuba kamu definisikan perkataan ekonomi.”

Dia terdiam. Matanya melilau memandang skrin paparan dan sesekali menjenguk ke skrin komputernya sendiri seperti mengharapkan jawapan yang diperlukan akan muncul di situ.

“Sampai mana kamu dah belajar ekonomi?” Cikgu Johan bertanya soalan yang dia sendiri maklum akan jawapannya.

“Ekonomi Eropah sejak zaman kejatuhan Blok Komunis,” jawab ‘Jenggo’ atau Mohd. Shukor itu dengan pantas. Sekurang-kurangnya dia bukannya seorang pelajar yang leka, fikir Cikgu Johan.

“Sebegitu jauh kamu belajar ekonomi, masih tidak tahu definisi perkataan ‘ekonomi’?” Dia dapat mengesan senyum sinis pada muka ‘Bai’.

Kelas diteruskan tanpa sebarang kesulitan. Ternyata mereka tidaklah seburuk yang disangka. Cuma kumpulan yang mereka tubuhkan sendiri secara tidak langsung membahagikan mereka kepada dua kelompok yang nyata. Apabila salah seorang anggota sesuatu kumpulan bangun menjawab soalan, maka ahli kumpulan yang satu lagi akan menjuihkan bibir.

Masa Ekonomi berakhir, dan sekelompok pelajar keluar dari kelas dan berkumpul di luar bersama ‘Jenggo’, manakala ‘Bai’ terus duduk di dalam kelas sambil dikelilingi oleh pengikutnya. ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ bertentang mata buat beberapa ketika. Hati Cikgu Johan berdebar-debar. Lagak mereka bagaikan hendak bertempur. Masing-masing menyeluk poket seluar, bersedia untuk mengeluarkan sesuatu. Akhirnya ‘Jenggo’ berpusing dan beredar, diikuti oleh pengikutnya.

* * *

Buku Psikologi Pelajar tulisan Dr. Rubiah K. Hamzah dibeleknya berulang kali. Hampir remuk buku yang baru dibelinya di Pusat Perkhidmatan Buku Berkomputer (PPBB) dalam perjalanan pulang dari sekolah. Di antara ratusan buku psikologi yang ada di senarai PPBB, dia memilih buku ini kerana penulis buku ini merupakan bekas gurunya.

Dia bungkam. Matanya terasa berdenyut-denyut kerana sudah hampir dua jam menatap buku itu, namun kandungan buku itu tidak berjaya meleraikan kebuntuan yang bermain di kepalanya. Cikgu Johan mengetepikan buku itu lalu berbaring. Oh. Tuhan ! Bantulah aku untuk membimbing mereka ke arah yang Kauredai, doanya sebelum terlena.

Kehadirannya di bilik guru disambut dengan pesanan Cikgu Jamil di Interkom mengarahkannya untuk hadir ke bilik Pengetua. Setelah memadamkan pesanan itu, dia segera melangkah ke pejabat Pengetua. Melihat kedatangannya, Setiausaha Pengetua segera menekan punat pintu untuk mempersilakannya masuk.

“Assalamualaikum,” tegur Cikgu Johan agak keras apabila salamnya yang pertama tidak didengari oleh Cikgu Jamil yang terlalu khusyuk menatap beberapa keping kertas di tangannya.

Cikgu Jamil mengangkat mukanya yang kelihatan tegang. “Cuba cikgu baca laporan ini,” katanya sambil menunjukkan kertas di tangannya.

Belum pun sempat Cikgu Johan membaca, ketuanya menjelaskan, “Ini adalah laporan daripada ibu pejabat saya pukul tiga petang semalam. Seramai 15 pelajar sekolah ini ditangkap kerana menggangu ketenteraman awam di Bandar Zon Selatan. Mereka bertempur sesama sendiri menggunakan beberapa jenis senjata berbahaya. Ada yang cedera parah dirawat di hospital. Menurut pengamatan saya, pelajar yang terlibat adalah terdiri daripada kumpulan ‘Racun’ dan ‘Peluru’. Walau bagaimanapun ketua mereka tidak terlepas.

“Apa kaitannya dengan saya ?” tanya Cikgu Johan, ragu-ragu dengan tujuan dia dipanggil.

“Menurut laporan harian Pusat Kawalan Komputer Sekolah kepada saya, cikgu ada menyoal pelajar-pelajar cikgu secara lisan semalam. Mengikut teori saya, salah seorang ahli kumpulan telah menghina kumpulan yang yang lain menerusi jawapannya. Ini mengakibatkan lawannya sakit hati. Kerana itu mereka bertembung untuk membuat perhitungan sebaik-baik sahaja selesai persekolahan semalam.”

“ Saya rasa tidak salah saya menyoal pelajar-pelajar kelas saya.”

“ Saya tak kata cikgu salah, cuma saya nak ingatkan cikgu, kita tak boleh menyoal pelajar sewenang-wenangnya. Tugas guru ialah mengajar supaya mereka faham. Soalan hanya boleh dibuat melalui ujian bertulis atau komputer.”

“ Sekarang ini mereka semua ditahan di balai polis pusat sehingga ibu bapa mereka datang untuk menjamin mereka,” sambung Pengetua apabila melihat Cikgu Johan hanya mendiamkan diri sambil meneliti kertas ditangannya.

“Cikgu!” Langkah Cikgu Johan terhenti sebelum keluar dari bilik Pengetua. “Saya ada mendengar rakaman pengajaran cikgu semalam. Saya rasa cikgulah orang yang dapat mengubah sikap degil mereka ini. Cuma saya berharap cikgu akan berhati-hati dalam setiap tindakan cikgu.”

* * *

“Awak berdua tahu tak, apa yang awak lakukan adalah bertentangan dengan etika kehidupan manusia yang beradab sopan dan beragama seperti bangsa kita ini. Hanya manusia jahil dan tak bertamadun seperti pada zaman batu sahaja yang akan bertindak bodoh seperti kamu berdua.”

Merah padam muka ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ yang duduk bersebelahan apabila mereka disifatkan oleh Cikgu Johan seperti manusia zaman batu. Bagi Cikgu Johan pergabungan mereka di dalam kelas sudah melampau dan sukar dimaafkan.

“Kerana persengketaan dan pergaduhan di antara manusialah keseimbangan ekologi dunia semakin merosot. Persengketaan antara penduduk Barat dan Timur bumi ini menyebabkan meletusnya Perang Kimia dua abad yang lalu. Akibat peperangan ini hampir 55% daripada muka bumi tidak selamat untuk didiami kerana limpahan sisa toksik dan radioaktif. Sekarang ini pula berlaku persengketaan antara golongan elit yang tinggal di Pusat Komuniti Bulan. Ramai orang menjangka satelit semula jadi tunggal bumi ini akan musnah.”

“ Kamu semua sudah dewasa, seharusnya tahu menilai dan bertindak menurut fikiran yang rasional,” nada suara Cikgu Johan mula mendatar. Sambil duduk dia menyambung, “Bangsa kita akan musnah satu hari nanti jika kamu berdua dan pengikut-pengikut kamu berkelakuan sebegini. Persengketaan adalah sia-sia sama ada kita menang atau kalah. Menang jadi arang, kalah jadi abu.”

Cikgu Johan berfikir keras. Dilihat ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ menundukkan kepala masing-masing. Mungkin kata-katanya ada yang tersangkut pada fikiran mereka. Bagaimana pula dia hendak menyatukan dua hati yang berbeza itu. Bagai menyatukan batu dengan gam kanji. Mampukah dia? Dia merenung wajah kedua-dua anak muridnya itu. Yang terpapar ialah sifat keras kepala.

“Saya akan tinggalkan kamu berdua di sini. Dan bila saya kembali saya mahu kamu berdua sudah berdamai dan berkelakuan seperti manusia yang waras. Oh ya! Baru cikgu teringat, cikgu akan mencadangkan kepada pihak sekolah untuk membentuk sebuah jawatankuasa bagi membincangkan masalah-masalah yang timbul di sekolah ini. Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh pelajar sekolah, dan dibantu oleh guru-guru. Cikgu akan mencadangkan kepada pihak sekolah agar melantik kamu berdua sebagai ahli dalam jawatankuasa ini.” Terangkat kening mereka apabila mendengar kenyataan Cikgu Johan yang terakhir, bagai melantik penjenayah menjadi polis.

Cikgu Johan berjalan meninggalkan bilik kaunseling dalam keadaan kedua-dua musuh ketat itu berpandangan sesama sendiri. Senjata ‘us-A’ yang dirampas daripada ‘Jenggo’ dibawa bersama. Dia bersyukur kerana tiba ke kelas tepat pada masanya. Kalau tidak mungkin kepala ‘Bai’ sudah berkecai.

Sambil duduk di kerusinya dia berfikir, wajarkah dia melantik ‘Jenggo’ dan ‘Bai’ menjadi ahli dalam jawatankuasa itu. Dia yakin Pengetua akan bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa itu, tetapi melantik orang yang banyak menimbulkan masalah kepada sekolah tidak masuk akal. Sebelum bertemu dengan Pengetua, dia perlu bertanya kepada guru-guru yang lain. Setidak-tidaknya dia tidak mahu diketawakan oleh Pengetua nanti. Lama dia berfikir, akhirnya dia bingkas bangun dan berjalan pantas menuju ke bilik kaunseling, bimbang kalau-kalau mereka bertindak mengikut perasaan masing-masing. Dari bilik kaunseling kedengaran bisikan yang mendebarkan. Pintu automatik yang terbuka, sedikit pun tidak mengganggu ‘sembang’ dua sahabat baru. Sesekali mereka ketawa bagaikan dua sahabat lama yang sudah bertahun tidak berjumpa.

Maha Berkuasa Tuhan yang di tangan-Nya terencana kehidupan kita, doa Cikgu Johan sambil tersenyum lega.