Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Apr 27, 2008

EH! PAPA SUI GENERIS

Oleh; al-Misri



Eh! Bumiku sonder Menteri Sujana. Kata hatiku itu merupakan kata-kata dalaman yang kononnya kata handalan teori epilog. Atau, stream of concioussness. Akukah yang bakal menjadi Menteri Sujana? Persoalan itu sering bermain-main di dalam kotak fikir papaku.

Bagaimana dan mengapa aku mengetahuinya, entah, aku pun tidak mengetahuinya. Nak kata aku jahat, tidak juga, nakal pun rasanya tidak. Papaku tidak pula pernah memberi apa-apa amaran kepadaku. Aku tidak pernah ponteng sekolah. Aku selalu akur dengan setiap arahan papa.

Mama suka benar kalau papa menjadi itu, menjadi ini. Asalkan jangan papa beristeri dua sudah. Hatiku tahu tentang isi hati mama. Kalau papa jadi Menteri Sujana, bolehlah mama tumpang sekaki. Tapi kalau papa kahwin lagi, jangan sekaki, dua-dua belah kaki mama mungkin naik ke atas papa. Lebih takut lagi kalau-kalau jadi perang dunia ketiga. Pecahlah rumah kami atau berkecai terus!

Bukan main ria hati mama kalau ke majlis-majlis koktel atau apa-apa keraian yang papa dijemput sama. Melaramlah mama. Orang panggil mama dengan panggilan mesra: Datin. Dan mama akan tersenyum dengan lerekan yang panjang. Kalau boleh sampai ke telinga agaknya. Paling menggembirakan hati mama, isteri Menteri Perdana (MP) pun memanggil mama dengan panggilan mesra: Datin.

Suatu ketika aku merakamkan perbualan papa. Rakaman itu cukup rahsia. Tidak ada sesiapa pun yang tahu. Aku merencanakan kurang lebih tiga bulan. Begitu teliti aku membuat perancangan. Siap dengan pelan dan strukturnya. Aku gunakan MP7 berekod yang ada remote control dan disembunyikan di sebalik karangan bunga yang paling rimbun daunnya.

Mama juga tidak perasan walaupun setiap hari dia menyapu habuk di karangan bunga itu dengan bulu ayam warna-warni yang papa beli di Bandung sewaktu lawatan peribadinya dulu !

Waktu mendengar semula kesan rakaman MP7, aku menginterpretasi sendiri rasa, perasaan dan mimik wajah serta perlakuan kedua-dua orang tuaku.

“Abang dah bersedia kalau MP lantik jadi Menteri Sujana?”

“Mana awak tahu?”

“Saya agak-agak saja. Kan, gambar abang kerap benar terpampang di dada akhbar sekarang. Abang banyak bercakap pasal agama. Abang ulas pasal itu, abang ulas pasal ini. Macam-macam abang ulas. Pendek kata, orang lain tak berani ulas kerana tak ramai orang macam abang.”

Papa tentu tersengih, seperti kerang yang sudah berbau busuk.

“Apa yang tak sama?”

“Kan kurang orang macam abang. Abang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang agama. Haji Othman Mohamed pun belum dapat doktor falsafah.”

Papa tentu tersengih lebih lebar lagi apabila mama menggandingkannya dengan Haji Othman Mohamed, apa lagi yang melebihi orang tua itu.

“Aku tahu hal itu. Kan awak pun tahu. Kalau tak ulas, nanti masyarakat terpesong. Kalau masyarakat dah terpesong, siapa susah? Ini satu darma yang perlu aku lakukan. Masyarakat bukan macam aku, tak ramai yang berkelulusan tinggi. Bayangkan, yang berijazah di negara kita cuma beberapa peratus saja. Apa lagi yang berdoktor falsafah.”

Tersenyum juga aku mendengar hujah papa. Memang papa prihatin dengan masalah-masalah yang berkaitan dengan pelajaran atau ilmu. Pada aku, papa seorang sui generis.

Namun, aku kurang memahami apabila papa menyebut bahawa tujuan dia mengulasnya semata-mata kerana takutkan masyarakat di bumi ini terpesong. Terpesong dengan hadis, terpesong dengan ajaran tasawuf, terpesong dengan ajaran makrifat dan terpesong dengan tabligh.

Papa tidak kata ajaran-ajaran ini salah. Ajaran-ajaran ini sememangnya benar dan betul tetapi apa yang merisaukan papa ialah ada orang dan pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan memesongkan ajaran-ajaran ini.

Aku pula menjadi gusar sedikit, apabila memikirkan bahawa papa kerap juga tertinggal solat. Terutama apabila membawa kami bersiar-siar di Trafalgar Square atau ke Downing Street, London. Kalau sudah kerap benar tertinggal solat, macam mana nak jadi Menteri Sujana?

Dan, setahuku, kata-kata papa yang ditulis semula oleh wartawan boleh ditafsir macam-macam. Ada kawanku memberitahu bahawa kata-kata papa dalam berita Warta Tabloid dulu itu berbau agitasi. Takut juga hatiku apabila teringat hujahan yang lain.

“Apalah papa kau, belum lagi menjadi menteri kanan sudah sibuk-sibuk. Pulak tu, gambar di dalam akhbar dulu tu, ada pula gambar mama kau tersengih di belakang papa kau. Tak pula menutup aurat rambut.” Berkerut dahiku.

Betul juga kata temanku itu. Kira-kira seminggu sesudah peristiwa rakaman perbualan itu, aku mendapati perangai papa semakin berubah. Papa sudah makin kerap berlatih pidato. Kadang–kala papa berpidato di ruang tamu. Sampai larut malam papa masih lagi berlatih berucap. Kadang-kala sampai ke pagi. Kesian mama, terpaksa tidur sorang-sorang bertemankan bantal golek. Dan siangnya penat-penat mengiringi papa kalau ada majlis atau musyawarah di mana-mana.

Ada masanya, papa berlatih di bilik tidur dan aku terdengar kalimat-kalimat papa kerana daun pintu bilik terbuka sebab tidak dirapatkan. Papa semakin giat. Tapi yang merungsingkan aku adalah penyakit papa. Penyakit itu aku namakan penyakit ‘eh’. Kalau tidak silap aku, kata orang putih schizophrenia.

“ Merdeka ! Eh !”

Aku terus mendengar percubaan papa.

“Kenapa pulak abang ni menjerit kuat-kuat malam buta ni?”

“Awak diamlah. Apa yang awak tahu? Asyik menumpang tuah laki je. Aku tengah berlatih ni.”

“Takkanlah abang tidak ada pejabat? Kan lebih baik berlatih di sana. Kan pejabat tempat bertugas. Dan berlatih pidato, termasuk sebahagian daripada tugas.”

Aku berfikir. Benar juga kata-kata mama. Orang siasah, pidato adalah senjatanya. Senjata itu menjadi tajam atau terasah kalau disiarkan pula oleh wartawan atau Ketua Pemberita dan dibaca oleh orang ramai. Aku faham. Kelancaran berpidato adalah penting untuk menarik minat pendengar. Aku ada belajar di sekolah tentang seni berpidato yang dipanggil retorik dalam bahasa Greek dan dalam bahasa Melayunya membawa maksud seni pertuturan yang elok dan penggunaan kata-kata yang terbaik untuk membujuk khalayak. Aku minat sungguh dengan mata pelajaran ini. Lebih-lebih lagi retorik guru yang mengajar mata pelajaran ini cukup bagus pada fikiranku. Aku kagum dengan retorik Cikgu Halimatun. Dan oleh sebab kecemerlangan retoriknyalah membuatkan aku selalu dapat menyiapkan tepat pada masanya setiap tugasan yang diberikan kepada kelas kami.

Walaupun aku tidak pernah mendapat A bintang untuk retorik, tetapi untuk rekod peribadi, aku boleh bersyukur dalam ketidakpuasan hati. Cikgu Halimatun, bukan setakat retoriknya baik, communication skillnya pun baik juga. Alangkah bagusnya kalau papa juga mempunyai kebolehan retorik seperti Cikgu Halimatun.

Tentu papa tidak akan tereh-eh di majlis. Tentu papa tidak akan mendapat malu dan tidak akan ditertawakan.

Ketua Pemberita atau Pengerusi syarikat akhbar terpaksa siarkan ulasan papa walaupun sebenarnya tidak perlu disiarkan. Mereka terikat dalam dunia kebijaksanaan manusia. Dunia ciptaan mereka sendiri.

Siang-siang papa sudah membeli saham akhbar dalam peratusan yang agak banyak. Pidato bagi orang siasah umpama modal berharga. Kalau tidak masakan Julius Caesar terpaksa belajar berpidato. Sanggup bekas maharaja Roma itu ke Gibraltar, belajar daripada orang-orang Islam Moor seni berpidato. Lepas itu, Caesar pulang ke Roma.

Papa terus berpidato dalam seni latihannya di bilik mandi pada setiap pagi. Dan kadang-kadang papa, melanjutkan cakap-cakap sorangnya di depan cermin, sewaktu memakai kasut sebelum pergi kerja dan juga kadang-kala ketika memakai dasi pagi-pagi hari.

“Bangsa kita perlu prihatin pasal ekonomi. Eh, Majlis apa yang sesuai untukku?” (Tentu papa mengedutkan dahinya di dalam bilik mandi sambil merenung air hujan shower). “Okey, majlis pembangunan desa... Tuan-tuan dan puan-puan, kita ni kebanyakannya tidak berpelajaran, anak-anak kita kini pun ada yang keciciran pendidikan ...”

“Eh!!! ... Tak kanlah kita. Aku berkelulusan tinggi... Sekali lagi ... Tuan-tuan dan puan-puan... Tuan-tuan patut sedar, tuan-tuan tidak bersekolah. Eh! Silap lagi... mana boleh kata begitu. Nanti marah pula orang kampung.”

“Nanti mereka baling batu atau angkat punggung, tidak ada pula orang nak dengar aku berpidato. Kalau disebut mereka tidak bersekolah, mana boleh. Nanti, masing-masing yang dah diseru itu nak bersekolah semula, pening pula aku terpaksa sediakan sekolah dewasa.”

“Bukan senang nak mengajar orang dewasa. Cikgu pula sekarang ini semuanya muda-muda belaka. Nanti, jadilah macam kelas dewasa P. Ramlee dalam Pendekar Bujang Lapuk.”

Lama juga papa diserang penyakit eh. Eh, penyakit eh pula, schizophrenialah! Jangan-jangan aku pun dah berjangkit dengan penyakit eh papa ini. Eh, tak mahu aku. Pernah juga aku mendengar rungutan papa. Hari itu hari Jumaat, sewaktu papa duduk di sofa, sambil menarik stoking.

“Malu juga aku tadi.”

“Kenapa bang?”

“Waktu berhujah dalam dewan tadi, ramai yang tertawa.”

“Kenapa bang? Shahril tu buat kelakar lagi ke?”

“Bukan Shahril. Tapi aku. Mereka tertawakan aku.”

Aku membayangkan sesuatu.

Mungkin sahaja waktu papa berucap, suasana dalam dewan senyap. Senyap kerana ada juga segelintir penghuninya yang terpaksa menutup sedikit kelopak matanya. Maklumlah, jadi menteri tentu sahaja tidur tidak cukup. Makan tidak cukup. Rehat tidak cukup. Tenaga tidak cukup. Waktu tidak cukup dan apa lagi yang tidak cukup.

Kalau sudah jadi menteri, mulalah ada sindrom tak cukup subsidi, tidak cukup tanah dan tidak cukup itu ini. Tapi setakat ini nasib baik papaku masih cukup semuanya. Cuma solatnya saja yang sudah semakin tidak cukup. Masalah juga ni. Papa jadi ketua keluarga dan seperti yang digembar-gemburkan mungkin papa akan menjadi Menteri Sujana.

“ Tuan Yang Dipertua Dewan. Eh, pihak pembangkang tadi jelas sekali tersilap. Eh, cuba ulang sekali lagi, Yang Berhormat, apa aku kata tadi? Eh.”

Tentu sekali Yang Dipertua Dewan akan menegur papa kerana penyakit eh papa itu.

“Yang Berhormat. Gunakan bahasa sopan.”

Teguran Yang Dipertua Dewan tentu sahaja mengejutkan papa dan mengejangkan saraf-saraf separuh tua papa. Mungkin menambahkan lagi bilangan garis-garis usia di dahi papa.

“Maafkan saya Tuan Yang Dipertua, Tapi, eh, mana pihak pembangkang tadi? Awak ya? Eh. (Tentu orang yang ditudingi papa menggeleng) Awak? Eh awak? Eh awak? Eh awak? Eh.” (Tentu sahaja habis semua ahli pihak pembangkang ditudingi papa)

Dan tentu sahaja semua yang ditudingi, menggeleng. Akhirnya, papa mengalah apabila ahli-ahli penyokong kerajaan pun berani meledakkan suara tertawa.

“Kenapa pulak jadi begitu? Tak salah kan?”

“Aku pun hairan. Hairan betul. Pasal apa, apabila bercakap, idea tidak datang. Pulak tu, gagap buka main.”

“Awak tak cukup rehat tu. Tapi, saya rasa, tidak salah ahli-ahli dewan ketawa. Mereka kan normal. Takkanlah mereka ingin serius sepanjang masa. Lagipun orang luar bukannya tahu apa yang berlaku di dalam sana tu. Kalau ada pun, orang-orang surat khabar. Atau pelajar sekolah yang melawat untuk mengikuti sidang dewan. Abang tidak patut malu. Buat biasa.”

“Aku hairan betul. Pasal apa aku mudah terlupa. Keturunan aku tidak pernah begitu. Dan dulu pun, aku tidak pernah begini. Dah tua-tua ni, dapat pula penyakit baru.”

Aku kasihankan papa. Papa mungkin telah banyak mengalami malu semenjak mendapat penyakit eh. Apa tidaknya, kalau setiap kali pergi majlis dan papa diminta berucap atau menjatuhkan sepatah dua kata, pasti eh papa datang dan di saat itu papa tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi.

Suatu ketika lain, aku mendekati papa.

“Papa, boleh Aqil tanya sesuatu?” Papa mencerlungkan mata.

Terkejut juga aku melihat gelagat papa yang tidak semena-mena itu. Aku pun eh juga di dalam hati. Kenapa pula papa ni, teruk benar ke masalah yang difikirkannya?

“Aqil dengar, papa dah bercita-cita tinggi.”

Papa tersengih. Sengihan papa seolah-olah suatu lakonan. Lakonan bisu. Cukup bersahaja. Macam wayang Charlie Chaplin dan aku takut untuk menyebut anggapan spontan itu, bimbang papa merajuk. Kalau sudah merajuk, papa bukan boleh baik dalam masa yang singkat.

Maunya papa tidak mahu membelek buku laporan peperiksaan aku. Aku mungkin faham perangai papa. Walaupun papa sayangkan aku dan adik-adik tapi kalau aku tersilap, papa hukum. Dan hukuman papa pula selalunya memang tepat dengan kesalahan yang terlakukan oleh aku.

Lazimnya, hukuman papa ada kaitannya dengan urusan percutian. Apabila bercuti, papa kerap melancong. Papa suka membawa keluarga ke seberang laut. Papa acap pilih negara-negara Eropah, tanah Barat kata papa. Dan kalau papa menghukumku, aku terpaksa dicicirkan dari senarai.

Aku terpaksa menemani babu di rumah. Aku terpaksa menjalani tenang seorang diri tanpa kebisingan suara adik-adik. Terbayanglah cuaca di Tanjung Sedeli. Damai, tenang dan abadi.

Tapi nasib baik juga waktu papa bercuti ke Itali, namaku teratas di dalam senarai. Aku sudah lama mengidamkan untuk menghirup udara di bumi tersebut. Ini kerana kempen kecil yang dibuat oleh cikgu Sejarahku, Cikgu Sidek. Kata cikgu Sidek, orang Itali merupakan orang yang paling lawa dalam dunia.

Sampai begitu sekali minat Cikgu Sidek dengan negara Itali. Dan Switzerland pula negara paling aman. Sewaktu ke negara Swiss ini, namaku hampir-hampir terkeluar dari senarai, namun nasib menyebelahiku kerana mama banyak membela aku. Papa masukkan juga namaku!

Perbualan demi perbualan aku dengan papa berlangsung sesi demi sesi. Kerapnya terputus apabila papa diam membatu. Atau, papa beredar meninggalkanku di sofa. Atau, papa akan meminta aku menyiapkan tugasan sekolah.

Aku merangka-rangka pidato papa. Pidato dan ujaran papa, iaitu ujaran yang diidami papa. Walaupun ucapan papa ditulari penyakit baru, iaitu neodesease, aku pasti simpati. Aku mereka-reka ucapan papa.

Dan, sewaktu meneliti semula ucapan papa yang telah aku buat, aku terdengar-dengar suara papa membunyikannya. Suara papa lantang dan jelas. Baru aku perasan suara papa merdu dan lunak sebenarnya.

“Tuan-tuan eh puan-puan. Saya fikir eh kerajaan sekarang cukup giat eh banyak rancangan ikhtiar bantu orang miskin eh rancangan kini patut diperbanyakkan lagi eh orang miskin di negara kita eh untuk meningkatkan taraf hidup eh.”

Paling mengharukan hatiku apabila papa ... Bukan lagi menjadi menteri jauh sekali Menteri Sujana. Tapi, tak ubah seperti Tok Selampit, atau burung pipit... Papa berujar-ujaran. Papa bernyanyi-nyanyian;

“ Eh. Pisang batu di bawa ke mari eh.” (berbunyi sorakan dan muzik : cakpong, taktung)

“ Eh banyak orang asli berjual beli eh.” (berbunyi gong berpalu)

“ Eh anak Cina bermain batu eh,

Batu selambut bersama Melayu eh,

Samalah sama kita berlagu eh.” (cakpong, taktung, tung, tung, tung)

Kali ini mama hanya mampu mengalirkan air mata dan memelukku erat. Dalam tidak sedar, air dari mataku juga turut mengalir hangat membasahi pipi. Inilah ujian dari Tuhan...



p/s - Kepada teman-teman yang begitu lama menantikan buah tangan cerpen dari saya, ini adalah sebuah hasil yang sempat dituai dari kesempatan masa yang terlalu sempit kebelakangan ini. Harap mendapat sesuatu...


No comments: