Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Apr 27, 2008

EH! PAPA SUI GENERIS

Oleh; al-Misri



Eh! Bumiku sonder Menteri Sujana. Kata hatiku itu merupakan kata-kata dalaman yang kononnya kata handalan teori epilog. Atau, stream of concioussness. Akukah yang bakal menjadi Menteri Sujana? Persoalan itu sering bermain-main di dalam kotak fikir papaku.

Bagaimana dan mengapa aku mengetahuinya, entah, aku pun tidak mengetahuinya. Nak kata aku jahat, tidak juga, nakal pun rasanya tidak. Papaku tidak pula pernah memberi apa-apa amaran kepadaku. Aku tidak pernah ponteng sekolah. Aku selalu akur dengan setiap arahan papa.

Mama suka benar kalau papa menjadi itu, menjadi ini. Asalkan jangan papa beristeri dua sudah. Hatiku tahu tentang isi hati mama. Kalau papa jadi Menteri Sujana, bolehlah mama tumpang sekaki. Tapi kalau papa kahwin lagi, jangan sekaki, dua-dua belah kaki mama mungkin naik ke atas papa. Lebih takut lagi kalau-kalau jadi perang dunia ketiga. Pecahlah rumah kami atau berkecai terus!

Bukan main ria hati mama kalau ke majlis-majlis koktel atau apa-apa keraian yang papa dijemput sama. Melaramlah mama. Orang panggil mama dengan panggilan mesra: Datin. Dan mama akan tersenyum dengan lerekan yang panjang. Kalau boleh sampai ke telinga agaknya. Paling menggembirakan hati mama, isteri Menteri Perdana (MP) pun memanggil mama dengan panggilan mesra: Datin.

Suatu ketika aku merakamkan perbualan papa. Rakaman itu cukup rahsia. Tidak ada sesiapa pun yang tahu. Aku merencanakan kurang lebih tiga bulan. Begitu teliti aku membuat perancangan. Siap dengan pelan dan strukturnya. Aku gunakan MP7 berekod yang ada remote control dan disembunyikan di sebalik karangan bunga yang paling rimbun daunnya.

Mama juga tidak perasan walaupun setiap hari dia menyapu habuk di karangan bunga itu dengan bulu ayam warna-warni yang papa beli di Bandung sewaktu lawatan peribadinya dulu !

Waktu mendengar semula kesan rakaman MP7, aku menginterpretasi sendiri rasa, perasaan dan mimik wajah serta perlakuan kedua-dua orang tuaku.

“Abang dah bersedia kalau MP lantik jadi Menteri Sujana?”

“Mana awak tahu?”

“Saya agak-agak saja. Kan, gambar abang kerap benar terpampang di dada akhbar sekarang. Abang banyak bercakap pasal agama. Abang ulas pasal itu, abang ulas pasal ini. Macam-macam abang ulas. Pendek kata, orang lain tak berani ulas kerana tak ramai orang macam abang.”

Papa tentu tersengih, seperti kerang yang sudah berbau busuk.

“Apa yang tak sama?”

“Kan kurang orang macam abang. Abang berkelulusan doktor falsafah dalam bidang agama. Haji Othman Mohamed pun belum dapat doktor falsafah.”

Papa tentu tersengih lebih lebar lagi apabila mama menggandingkannya dengan Haji Othman Mohamed, apa lagi yang melebihi orang tua itu.

“Aku tahu hal itu. Kan awak pun tahu. Kalau tak ulas, nanti masyarakat terpesong. Kalau masyarakat dah terpesong, siapa susah? Ini satu darma yang perlu aku lakukan. Masyarakat bukan macam aku, tak ramai yang berkelulusan tinggi. Bayangkan, yang berijazah di negara kita cuma beberapa peratus saja. Apa lagi yang berdoktor falsafah.”

Tersenyum juga aku mendengar hujah papa. Memang papa prihatin dengan masalah-masalah yang berkaitan dengan pelajaran atau ilmu. Pada aku, papa seorang sui generis.

Namun, aku kurang memahami apabila papa menyebut bahawa tujuan dia mengulasnya semata-mata kerana takutkan masyarakat di bumi ini terpesong. Terpesong dengan hadis, terpesong dengan ajaran tasawuf, terpesong dengan ajaran makrifat dan terpesong dengan tabligh.

Papa tidak kata ajaran-ajaran ini salah. Ajaran-ajaran ini sememangnya benar dan betul tetapi apa yang merisaukan papa ialah ada orang dan pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan memesongkan ajaran-ajaran ini.

Aku pula menjadi gusar sedikit, apabila memikirkan bahawa papa kerap juga tertinggal solat. Terutama apabila membawa kami bersiar-siar di Trafalgar Square atau ke Downing Street, London. Kalau sudah kerap benar tertinggal solat, macam mana nak jadi Menteri Sujana?

Dan, setahuku, kata-kata papa yang ditulis semula oleh wartawan boleh ditafsir macam-macam. Ada kawanku memberitahu bahawa kata-kata papa dalam berita Warta Tabloid dulu itu berbau agitasi. Takut juga hatiku apabila teringat hujahan yang lain.

“Apalah papa kau, belum lagi menjadi menteri kanan sudah sibuk-sibuk. Pulak tu, gambar di dalam akhbar dulu tu, ada pula gambar mama kau tersengih di belakang papa kau. Tak pula menutup aurat rambut.” Berkerut dahiku.

Betul juga kata temanku itu. Kira-kira seminggu sesudah peristiwa rakaman perbualan itu, aku mendapati perangai papa semakin berubah. Papa sudah makin kerap berlatih pidato. Kadang–kala papa berpidato di ruang tamu. Sampai larut malam papa masih lagi berlatih berucap. Kadang-kala sampai ke pagi. Kesian mama, terpaksa tidur sorang-sorang bertemankan bantal golek. Dan siangnya penat-penat mengiringi papa kalau ada majlis atau musyawarah di mana-mana.

Ada masanya, papa berlatih di bilik tidur dan aku terdengar kalimat-kalimat papa kerana daun pintu bilik terbuka sebab tidak dirapatkan. Papa semakin giat. Tapi yang merungsingkan aku adalah penyakit papa. Penyakit itu aku namakan penyakit ‘eh’. Kalau tidak silap aku, kata orang putih schizophrenia.

“ Merdeka ! Eh !”

Aku terus mendengar percubaan papa.

“Kenapa pulak abang ni menjerit kuat-kuat malam buta ni?”

“Awak diamlah. Apa yang awak tahu? Asyik menumpang tuah laki je. Aku tengah berlatih ni.”

“Takkanlah abang tidak ada pejabat? Kan lebih baik berlatih di sana. Kan pejabat tempat bertugas. Dan berlatih pidato, termasuk sebahagian daripada tugas.”

Aku berfikir. Benar juga kata-kata mama. Orang siasah, pidato adalah senjatanya. Senjata itu menjadi tajam atau terasah kalau disiarkan pula oleh wartawan atau Ketua Pemberita dan dibaca oleh orang ramai. Aku faham. Kelancaran berpidato adalah penting untuk menarik minat pendengar. Aku ada belajar di sekolah tentang seni berpidato yang dipanggil retorik dalam bahasa Greek dan dalam bahasa Melayunya membawa maksud seni pertuturan yang elok dan penggunaan kata-kata yang terbaik untuk membujuk khalayak. Aku minat sungguh dengan mata pelajaran ini. Lebih-lebih lagi retorik guru yang mengajar mata pelajaran ini cukup bagus pada fikiranku. Aku kagum dengan retorik Cikgu Halimatun. Dan oleh sebab kecemerlangan retoriknyalah membuatkan aku selalu dapat menyiapkan tepat pada masanya setiap tugasan yang diberikan kepada kelas kami.

Walaupun aku tidak pernah mendapat A bintang untuk retorik, tetapi untuk rekod peribadi, aku boleh bersyukur dalam ketidakpuasan hati. Cikgu Halimatun, bukan setakat retoriknya baik, communication skillnya pun baik juga. Alangkah bagusnya kalau papa juga mempunyai kebolehan retorik seperti Cikgu Halimatun.

Tentu papa tidak akan tereh-eh di majlis. Tentu papa tidak akan mendapat malu dan tidak akan ditertawakan.

Ketua Pemberita atau Pengerusi syarikat akhbar terpaksa siarkan ulasan papa walaupun sebenarnya tidak perlu disiarkan. Mereka terikat dalam dunia kebijaksanaan manusia. Dunia ciptaan mereka sendiri.

Siang-siang papa sudah membeli saham akhbar dalam peratusan yang agak banyak. Pidato bagi orang siasah umpama modal berharga. Kalau tidak masakan Julius Caesar terpaksa belajar berpidato. Sanggup bekas maharaja Roma itu ke Gibraltar, belajar daripada orang-orang Islam Moor seni berpidato. Lepas itu, Caesar pulang ke Roma.

Papa terus berpidato dalam seni latihannya di bilik mandi pada setiap pagi. Dan kadang-kadang papa, melanjutkan cakap-cakap sorangnya di depan cermin, sewaktu memakai kasut sebelum pergi kerja dan juga kadang-kala ketika memakai dasi pagi-pagi hari.

“Bangsa kita perlu prihatin pasal ekonomi. Eh, Majlis apa yang sesuai untukku?” (Tentu papa mengedutkan dahinya di dalam bilik mandi sambil merenung air hujan shower). “Okey, majlis pembangunan desa... Tuan-tuan dan puan-puan, kita ni kebanyakannya tidak berpelajaran, anak-anak kita kini pun ada yang keciciran pendidikan ...”

“Eh!!! ... Tak kanlah kita. Aku berkelulusan tinggi... Sekali lagi ... Tuan-tuan dan puan-puan... Tuan-tuan patut sedar, tuan-tuan tidak bersekolah. Eh! Silap lagi... mana boleh kata begitu. Nanti marah pula orang kampung.”

“Nanti mereka baling batu atau angkat punggung, tidak ada pula orang nak dengar aku berpidato. Kalau disebut mereka tidak bersekolah, mana boleh. Nanti, masing-masing yang dah diseru itu nak bersekolah semula, pening pula aku terpaksa sediakan sekolah dewasa.”

“Bukan senang nak mengajar orang dewasa. Cikgu pula sekarang ini semuanya muda-muda belaka. Nanti, jadilah macam kelas dewasa P. Ramlee dalam Pendekar Bujang Lapuk.”

Lama juga papa diserang penyakit eh. Eh, penyakit eh pula, schizophrenialah! Jangan-jangan aku pun dah berjangkit dengan penyakit eh papa ini. Eh, tak mahu aku. Pernah juga aku mendengar rungutan papa. Hari itu hari Jumaat, sewaktu papa duduk di sofa, sambil menarik stoking.

“Malu juga aku tadi.”

“Kenapa bang?”

“Waktu berhujah dalam dewan tadi, ramai yang tertawa.”

“Kenapa bang? Shahril tu buat kelakar lagi ke?”

“Bukan Shahril. Tapi aku. Mereka tertawakan aku.”

Aku membayangkan sesuatu.

Mungkin sahaja waktu papa berucap, suasana dalam dewan senyap. Senyap kerana ada juga segelintir penghuninya yang terpaksa menutup sedikit kelopak matanya. Maklumlah, jadi menteri tentu sahaja tidur tidak cukup. Makan tidak cukup. Rehat tidak cukup. Tenaga tidak cukup. Waktu tidak cukup dan apa lagi yang tidak cukup.

Kalau sudah jadi menteri, mulalah ada sindrom tak cukup subsidi, tidak cukup tanah dan tidak cukup itu ini. Tapi setakat ini nasib baik papaku masih cukup semuanya. Cuma solatnya saja yang sudah semakin tidak cukup. Masalah juga ni. Papa jadi ketua keluarga dan seperti yang digembar-gemburkan mungkin papa akan menjadi Menteri Sujana.

“ Tuan Yang Dipertua Dewan. Eh, pihak pembangkang tadi jelas sekali tersilap. Eh, cuba ulang sekali lagi, Yang Berhormat, apa aku kata tadi? Eh.”

Tentu sekali Yang Dipertua Dewan akan menegur papa kerana penyakit eh papa itu.

“Yang Berhormat. Gunakan bahasa sopan.”

Teguran Yang Dipertua Dewan tentu sahaja mengejutkan papa dan mengejangkan saraf-saraf separuh tua papa. Mungkin menambahkan lagi bilangan garis-garis usia di dahi papa.

“Maafkan saya Tuan Yang Dipertua, Tapi, eh, mana pihak pembangkang tadi? Awak ya? Eh. (Tentu orang yang ditudingi papa menggeleng) Awak? Eh awak? Eh awak? Eh awak? Eh.” (Tentu sahaja habis semua ahli pihak pembangkang ditudingi papa)

Dan tentu sahaja semua yang ditudingi, menggeleng. Akhirnya, papa mengalah apabila ahli-ahli penyokong kerajaan pun berani meledakkan suara tertawa.

“Kenapa pulak jadi begitu? Tak salah kan?”

“Aku pun hairan. Hairan betul. Pasal apa, apabila bercakap, idea tidak datang. Pulak tu, gagap buka main.”

“Awak tak cukup rehat tu. Tapi, saya rasa, tidak salah ahli-ahli dewan ketawa. Mereka kan normal. Takkanlah mereka ingin serius sepanjang masa. Lagipun orang luar bukannya tahu apa yang berlaku di dalam sana tu. Kalau ada pun, orang-orang surat khabar. Atau pelajar sekolah yang melawat untuk mengikuti sidang dewan. Abang tidak patut malu. Buat biasa.”

“Aku hairan betul. Pasal apa aku mudah terlupa. Keturunan aku tidak pernah begitu. Dan dulu pun, aku tidak pernah begini. Dah tua-tua ni, dapat pula penyakit baru.”

Aku kasihankan papa. Papa mungkin telah banyak mengalami malu semenjak mendapat penyakit eh. Apa tidaknya, kalau setiap kali pergi majlis dan papa diminta berucap atau menjatuhkan sepatah dua kata, pasti eh papa datang dan di saat itu papa tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi.

Suatu ketika lain, aku mendekati papa.

“Papa, boleh Aqil tanya sesuatu?” Papa mencerlungkan mata.

Terkejut juga aku melihat gelagat papa yang tidak semena-mena itu. Aku pun eh juga di dalam hati. Kenapa pula papa ni, teruk benar ke masalah yang difikirkannya?

“Aqil dengar, papa dah bercita-cita tinggi.”

Papa tersengih. Sengihan papa seolah-olah suatu lakonan. Lakonan bisu. Cukup bersahaja. Macam wayang Charlie Chaplin dan aku takut untuk menyebut anggapan spontan itu, bimbang papa merajuk. Kalau sudah merajuk, papa bukan boleh baik dalam masa yang singkat.

Maunya papa tidak mahu membelek buku laporan peperiksaan aku. Aku mungkin faham perangai papa. Walaupun papa sayangkan aku dan adik-adik tapi kalau aku tersilap, papa hukum. Dan hukuman papa pula selalunya memang tepat dengan kesalahan yang terlakukan oleh aku.

Lazimnya, hukuman papa ada kaitannya dengan urusan percutian. Apabila bercuti, papa kerap melancong. Papa suka membawa keluarga ke seberang laut. Papa acap pilih negara-negara Eropah, tanah Barat kata papa. Dan kalau papa menghukumku, aku terpaksa dicicirkan dari senarai.

Aku terpaksa menemani babu di rumah. Aku terpaksa menjalani tenang seorang diri tanpa kebisingan suara adik-adik. Terbayanglah cuaca di Tanjung Sedeli. Damai, tenang dan abadi.

Tapi nasib baik juga waktu papa bercuti ke Itali, namaku teratas di dalam senarai. Aku sudah lama mengidamkan untuk menghirup udara di bumi tersebut. Ini kerana kempen kecil yang dibuat oleh cikgu Sejarahku, Cikgu Sidek. Kata cikgu Sidek, orang Itali merupakan orang yang paling lawa dalam dunia.

Sampai begitu sekali minat Cikgu Sidek dengan negara Itali. Dan Switzerland pula negara paling aman. Sewaktu ke negara Swiss ini, namaku hampir-hampir terkeluar dari senarai, namun nasib menyebelahiku kerana mama banyak membela aku. Papa masukkan juga namaku!

Perbualan demi perbualan aku dengan papa berlangsung sesi demi sesi. Kerapnya terputus apabila papa diam membatu. Atau, papa beredar meninggalkanku di sofa. Atau, papa akan meminta aku menyiapkan tugasan sekolah.

Aku merangka-rangka pidato papa. Pidato dan ujaran papa, iaitu ujaran yang diidami papa. Walaupun ucapan papa ditulari penyakit baru, iaitu neodesease, aku pasti simpati. Aku mereka-reka ucapan papa.

Dan, sewaktu meneliti semula ucapan papa yang telah aku buat, aku terdengar-dengar suara papa membunyikannya. Suara papa lantang dan jelas. Baru aku perasan suara papa merdu dan lunak sebenarnya.

“Tuan-tuan eh puan-puan. Saya fikir eh kerajaan sekarang cukup giat eh banyak rancangan ikhtiar bantu orang miskin eh rancangan kini patut diperbanyakkan lagi eh orang miskin di negara kita eh untuk meningkatkan taraf hidup eh.”

Paling mengharukan hatiku apabila papa ... Bukan lagi menjadi menteri jauh sekali Menteri Sujana. Tapi, tak ubah seperti Tok Selampit, atau burung pipit... Papa berujar-ujaran. Papa bernyanyi-nyanyian;

“ Eh. Pisang batu di bawa ke mari eh.” (berbunyi sorakan dan muzik : cakpong, taktung)

“ Eh banyak orang asli berjual beli eh.” (berbunyi gong berpalu)

“ Eh anak Cina bermain batu eh,

Batu selambut bersama Melayu eh,

Samalah sama kita berlagu eh.” (cakpong, taktung, tung, tung, tung)

Kali ini mama hanya mampu mengalirkan air mata dan memelukku erat. Dalam tidak sedar, air dari mataku juga turut mengalir hangat membasahi pipi. Inilah ujian dari Tuhan...



p/s - Kepada teman-teman yang begitu lama menantikan buah tangan cerpen dari saya, ini adalah sebuah hasil yang sempat dituai dari kesempatan masa yang terlalu sempit kebelakangan ini. Harap mendapat sesuatu...


Apr 19, 2008

Bayar Gaji Dengan Garam

Oleh, Nur Aqilah

Julius Caesar (100 Sebelum Masihi)

Kebanyakkan mereka yang mempelajari sejarah tahu bahawa Julius Caesar merupakan salah seorang pemerintah kerajaan Rom purba yang sangat terkenal. Walau bagaimanapun mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa pada era pemerintahan Julius Caesar, sebahagian daripada upah perkhidmatan askar-askar Rom dibayar dengan garam.

Dalam bahasa Latin garam dipanggil salarium. Daripada perkataan salarium inilah muncul perkataan Inggeris salary, yang bermakna 'gaji'.



Manusia dan Pengetahuan

Oleh, Puteri Zulaikha




Ada banyak pohon: tidak semuanya menghasilkan buah.

Ada banyak buah: tidak semuanya boleh dimakan.

Juga banyak macam pengetahuan: meskipun demikian tidak semuanya berharga untuk manusia.



~ Nabi Isa a.s.

PENADOL


Bidin melihat rakannya, Wafdi.. sedang membuat kopi...kemudian memasukkan sebutir ubat panadol ke dalamnya. Dengan kehairanan Bidin
bertanya kepada Wafdi...


Bidin: "Kenapa kau masukkan panadol dalam kopi tu?"


Wafdi: "Kopi ni panas.. bagi panadol.. kurang sikit panas dia.."

Bidin:?????....

Cinta Sejati Seorang Ibu Terhadap Anak-Anaknya

oleh, Zun-Nun

Dia seorang wanita yang sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang sekitarnya. Maklumlah ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa binti Amru demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr:

“Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada si Sakhr, malang.
Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat.
Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku.”

Setelah Khansa masuk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakannya untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya telah diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian kesemua puteranya itu telah diserahkannya untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam.

Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan mara ke medan perang:

“Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa.”

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imaran yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga kamu menjadi orang yang beruntung.”

Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata:

“Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah, dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh-musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapatkan balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal.”

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satupun bermula sampai dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah.

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikitpun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang di antara mereka bersyair:

“Hai saudara-saudaraku!
Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat.
Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah.
Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi.”
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair:
“Demi Allah!
Kami tidak akan melanggar nasihat ibu tua kami
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati
Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh bersama-sama
Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah.
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya sambil bersyair:
“Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas dan tidak goncang.
Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang
Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri
Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri
Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati.
Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi.” Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair: “Bukanlah aku putera Khansa’, bukanlah aku anak jantan
Dan bukan pula kerana Amru yang pujiannya sudah lama terkenal,
Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku.”
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat ibondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau bilau kerana pihak Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera pejalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi lainnya. Mereka jadi mangsa gajah sendiri. Kesempatan ini dipergunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka.

Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya merekapun lari lintang pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syhuhada itu terbujur empat orang adik beradik anak Khansa.

Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan:

“Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengar mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!”
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat putera-puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan ‘Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid.

PALESTIN BUMI AWAN HITAM

oleh; al-Misri

Dari dalam sebuah kitab perjanjian lama
telah dilukis langit berawan hitam
bersama warna kehidupan kelam
asap tebal menggelita bumi
mentari siang tercorok bersembunyi.

Di relung kalbu menyimpan kerinduan
masih ada sisa mengharapkan
masih ada daya menggerakkan
manusia dan dunia dalam kedamaian
bersama menikmati setiap inci ciptaan Tuhan.

Harus ke mana kubawa harapan berlabuh?
ke mana harus kubawa impian berteduh?
sedangkan antagonis bermaharajalela membunuh
menyabung dalam gelanggang peraga angkuh.

Awan hitam … asap peperangan dan perjuangan
dari Nablus ke Hebron
berdesakan, bergendongan
bertempiaran bermandi hiba
sehingga tiada lagi daya titisan air dari sepasang mata.

Sementara,
yang berkuasa terus menindas
yang tertindas membalas ganas
yang lemah bergelimpangan di jalanan
janda dan anak-anak yatim mengharap belas
bergerimis duka mendamba tenang bebas.


Sepanjang nafas taqwa aku cuba menembus langit
berdoa Tuhan mengukir semula kulit bumi
menyingkir semua derita yang tiada berdosa
sambil aku melambai salam buat syahid menuju syurga
bersama haruman kasturi diapit bidadari yang setia
melupakan semua luka dan duka.

Hantarkanlah perajurit syurga mewarnai awan
jangan biarkan awan Palestin kehitaman
para syuhadaMu setia menanti
dalam ingatan ada diri-Mu jelas terpatri
mengharapkan awan biru muncul kembali.



p/s - marilah sama-sama kita bebaskan Palestin, walau hanya dengan doa sebagai senjatanya...

Pengetua dan Hubungan Manusia

Oleh; al-Misri

Perhubungan sesama manusia sangat penting diambil perhatian. Hubungan sesama manusia tidak dapat dielakkan. Di peringkat sekolah, kejayaan pentadbiran sesebuah sekolah sangat bergantung kepada cara mana hubungan antara pengetua, pentadbir, guru, pelajar dan ibu bapa serta pihak luar.


Kebanyakan pengetua dan pentadbir telah mengetahui pelbagai teori pengurusan dan ilmu psikologi. Malangnya ramai pengetua tidak aplikasinya di sekolah atau merasakan tidak sesuai dilaksanakan di peringkat sekolah. ‘Block mental' ini harus diketepikan. Sepatutnya para pengetua mengubahsuai teori-teori yang dipelajari dan tidak mengabaikannya begitu sahaja.

Contohnya :

  • Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru – hanya sekitar 20 ibu bapa yang hadir daripada 2700 bapa yang sepatutnya hadir.
  • Masalah disiplin pelajar. Seringkali ibu bapa menyatakan disiplin anaknya semasa di sekolah rendah amat baik, tetapi apabila bertukar ke sekolah menengah , disiplin anaknya semakin teruk. Dakwaan ibu bapa begini membawa maksud pendidikan sekolah menengah telah merosakkan anaknya.
  • Masalah black metal di kalangan pelajar.
  • Permasalahan politik yang dipegang oleh anak-anak sejak di bangku persekolahan
  • Kecenderungan ibu bapa menghantar anak ke sekolah bercorak agama
  • Penagihan dadah
  • Kemerosotan prestasi pelajar Melayu dalam pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.

Komunikasi Pengurusan

Komunikasi pengurusan ialah proses bagaimana pengetua berkongsi pengalaman dengan guru-guru, kakitangan sokongan, para pelajar dan masyarakat sekitar sekolah . Seseorang pengetua yang berkesan, popular, disukai ramai dan disanjung oleh oleh guru-guru, ibu bapa dan para pelajar, perkara yang diambil perhatian ialah kemahiran berkomunikasi.

Berkomunikasi bukan sekadar bercakap, malahan berdiam diri dan berpakaian juga jenis komunikasi. Pengetua amat memerlukan kemahiran komunikasi pengurusan kerana beberapa faktor :

Menjalin hubungan

Dengan adanya kemahiran berkomunikasi, pengetua dapat menjalin hubungan mesra dengan semua pihak dan proses pengajaran – pembelajaran berjalan lancar.

Semua guru tidak rasa tertekan kerana adanya kemesraan daripada pengetua. Guru-guru merasakan diri mereka dihargai, dikasihi dan dimuliakan.

Semua pelajar lebih mudah berhubung dengan pengetua dan menyalurkan masalah tanpa ada sebarang sekatan. Apabila pelajar dapat menyatakan masalah, maka pengetua lebih mengetahui corak dan asas permasalahan di sekolah. Maka sebarang permasalahan, rasa tidak puas hati lebih mudah diselesaikan. Jadi komunikasi merupakan suatu pelepasan keluhan perasaan emosi dan memenuhi keperluan sosial. Contohnya : • Penyebaran risalah agama Kristian di kalangan pelajar Islam atau bukan Islam. Buku-buku Bible New Tastament diedarkan di luar sekolah dan dibawa ke kawasan sekolah tentu akan menimbulkan isu sensitif di kalangan pelajar terutama sekali di kalangan Islam. Pelajar yang terlibat dapat memberitahu perkara itu dan tindakan dapat diambil dengan cepat . Contohnya melaporkan kepada pihak polis atau pihak berkuasa yang lain.

Saling faham memahami

Melalui kemahiran berkomunikasi, para pengetua lebih saling memahami. Pihak atasan dapat memahami citarasa dan kehendak orang bawahan. Sementara pihak bawahan dapat mengetahui matlamat, objektif dan kehendak yang ingin dicapai oleh pihak atasan.

Segala maklumat sampai secara terus, tanpa melalui pihak ketiga. Komunikasi secara terus dan kerap adalah lebih baik. Jadi tidak akan berlaku penapisan maklumat. Tambahan pula maklumat boleh disampaikan secara formal dan tidak formal. Maklumat yang disampaikan secara tidak formal lebih memberi kesan di dalam ingatan.

Penyebaran maklumat lebih berkesan. Contohnya pengetahuan teknologi, latihan kerja, kewangan , pengurusan dan sebagainya. Pihak bawahan akan berfungsi lebih bebas, lebih kreatif, berkeyakinan dan penuh dedikasi.

Selain itu pembentukan matlamat akan lebih terarah dan terancangan. Pembentukan matlamat yahg merupakan perahan idea pengetua dan guru-guru akan lebih mujarab menyelesaikan masalah di sekolah . Dalam membuat keputusan , mesyuarat dan perbincangan mesti selalu diadakan. Alternatif yang dirumuskan akan diedarkan kepada semua bagi tujuan perbincangan dan maklumbalas. Apabila persetujuan dicapai, ia akan dimeteri , diedarkan dan dilaksanakan.

Mempengaruhi

Satu perkara yang tidak kurang penting ialah pengetua dapat mempengaruhi orang bawahan secara lisan dan secara fizikal. Guru-guru dana para pelajar akan lebih kagum dan terarah fikirannya kerana ‘boss’ begitu dekat dengan mereka. Guru-guru dan pelajar dapat digerakkan untuk mengubah tingkalaku, minat dan bekerjasama ke arah peningkatan prestasi akademik dan ko kurikulum di sekolah.

Misalnya pengetua mahu guru-guru lain bekerjasama dan mematuhi idea yang hendak dilaksanakan seperti mengadakan Jogathon dan Jamuan amal. Aktiviti ini hanya akan berjaya jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para guru dan pelajar.

Komunikasi juga sebagai alat kawalan. Organisasi sekolah mempunyai hierarki, panduan yang formal yang perlu dipatuhi. Organisasi yang leper memudahkan maklumat disampaikan.

Membantu

Selain itu pengetua dapat membantu menyelesaikan masalah orang bawahan. Masalah peribadi dapat diluahkan tanpa rasa malu. Pengetua akan bertindak sebagai fasilitator dan kaunselor. Prestasi guru-guru dan pelajar dapat ditingkatkan dengan memberikan dorongan dan bimbingan.

Contohnya pengetua dapat membantu masalah guru yang tidak dapat mengawal kelas dengan baik. Pengetua atau guru disiplin menyiasat segera aduan guru tersebut. Pelajar yang nakal , bising dan tidak membuat latihan yang diberi, mestilah dihukum. Sekiranya pelajar tersebut bergaduh dengan pelajar lain atau tidak menghormati guru, tindakan gantung atau buang sekolah boleh diambil.

Dan banyak lagi sebenarnya nilai tambah yang perlu dimiliki dan diusahakan oleh seorang pengetua bagi memastikan organisasi di bawah pentadbirannya sentiasa berwibawa dan dihormati.

Penutup

Pengetahuan pengetua tentang ‘hubungan manusia dalam pendidikan ‘ cukup penting. Ia akan membentuk ciri-ciri kepimpinan yang berkesan :

  • kemahuan yang tinggi untuk memimpin dan tabah bertindak menghadapi cabaran
  • Pintar dan berinisiatif tinggi
  • berwawasan dan mempunyai matlamat yang jelas mengenai organisasi dan pengajaran
  • bekerja keras dan menjadi contoh yang baik kepada staf yang lain.
  • memberi peluang kepada guru menonjolkan kepemimpinan mereka
  • mengetahui batasan kepimpinan formal dan tidak formal seperti kemahiran interpersonal , ramah dan baik hati.
  • Proaktif dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas.

Pengetahuan di atas selaras dengan saranan Sergiovanni ( 1995 : 85 ) , seorang pengetua yang berkesan perlu mempunyai lima kemahiran iaitu :

  • Kemahiran teknikal
  • kemahiran manusia
  • Kemahiran pendidikan
  • Kemahiran simbolik
  • Kemahiran budaya.

*** Apa macam, berani ke nak jadi pengetua...?

Misteri Dan Hebatnya Makna Cantik/Tampan

oleh; al-Misri


Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.

Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain. Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu.

Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular. Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam.

Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.

Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini.

Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa.

Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara.

Jika anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.

Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.

Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.

Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu.


***Itu saja yang membezakan. Apa pandangan anda?