Diari Kenangan Terindah

Untuk Tetamu Yang Sudi Singgah

Hari ini,

aku sempat menjenguk pantai akal yang sarat maklumat di dadanya aku akan pastikan sejarah terus mengalir tanpa noktah namun salam penghargaan tetap kukirimkan buat tamu sulung yang sudi singgah.



Terima kasih dan salam penuh hormat (al-Misri)

p/s- Kepada para tetamu, jangan lupa sign in my guestbook ok...



Jan 15, 2008

Tugas untuk bendung, banteras gejala sosial tanggungjawab bersama

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli



PELBAGAI gejala tidak sihat terus bernanah menjadi 'penyakit masyarakat'. Kehilangan Sharlinie Mohd Nashar menjadi satu lagi episod tragis yang menggusarkan kita, selepas kehilangan dan kematian ngeri Nurin Jazlin Jazimin, tahun lalu.

Banyak pihak menyuarakan pandangan dan pendapat kaedah yang perlu diambil bagi membendung permasalahan ini.

Namun, beberapa kaedah dan langkah yang diambil tidak langsung meninggalkan kesan. Kini, masyarakat semakin gusar dengan wujudnya kes culik, bunuh dan rogol di kalangan kanak-kanak bawah umur yang hangat diperkatakan.

Senario yang agak genting ini jika dibiarkan berterusan, pasti membawa impak besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Ketika kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, semua anggota masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan besar bagi menjana kemajuan seiringan dengan proses pembangunan rohani masyarakat.

Tugas ini jika ingin dilihat meninggalkan kesan terbaik, maka ia perlu dilakukan secara kolektif atau bersama. Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim.

Tanggungjawab bergantung pula kepada keupayaan diri seseorang itu apabila berada dalam kelompok manusia tertentu dan mengikut tahap keilmuwan dimiliki seseorang individu.

Firman Allah bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3).

Sesuai dengan situasi mengejar kemajuan yang begitu drastik mutakhir ini, amat wajarlah kesedaran daripada semua pihak ditingkatkan kerana kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama.

Justeru, tugas atau peranan untuk membendung dan membanteras gejala sosial ini tentu juga beban tanggungjawab yang harus dipikul bersama untuk menanganinya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ada menyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan lidah, tangan dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya dengan menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan cukup besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka seharian. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri sendiri.

Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa juga perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi kasih sayang berpanjangan.

Anak memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau mengabaikan tugasan berat lantaran terlalu sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak dan menyelesaikan permasalahan yang sering melanda anak-anak remaja, siapakah yang harus dipersalahkan?

Kita bersyukur dengan beberapa tindakan dan langkah drastik yang diambil untuk menyekat kejadian jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah kegawatan gejala sosial yang melanda negara.

Apa pun, tidak lebih sebagai langkah jangka pendek, maka ia hanya bersifat langkah sementara, kerana ia tidak akan dapat mengelakkan diri anak muda secara konsisten, kerana kemahuan mereka akan mengatasi segala-galanya.

Mereka akan terus berusaha untuk memperoleh sesuatu yang mereka ingini walau dengan apa cara sekalipun. Jika ini berlaku, maka akan timbul pula gejala sosial lebih teruk lagi.

Justeru, semua anggota masyarakat perlu sama-sama berusaha untuk memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam kitab suci al-Quran supaya semua manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan (mafhum dari ayat 2, surah al-Maidah).

Masyarakat setempat hendaklah sensitif dengan keadaan sekeliling dengan saling bantu membantu di antara satu sama lain, menjaga kebajikan dan keselamatan sesama jiran sekampung. Amalan ini mungkin dianggap lapuk, tetapi sepatutnya dihidupkan semula walaupun ramai orang Melayu hari ini lebih suka tinggal di taman perumahan.

Sikap 'sombong' dan tidak mahu saling kenal mengenali dan berbaik-baik dengan jiran apatah lagi satu jalan atau satu lorong, haruslah dihapuskan. Semai dan tanamkan semangat kejiranan seperti diamalkan sebelum ini.

Pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) misalnya perlu berbincang dan berganding bahu mewujudkan pusat pengajian al-Quran dengan segala kemudahan seperti pengangkutan dan sebagainya.

Sejak awal lagi anak perlu ditanam supaya membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf. Didikan awal inilah yang biasanya melekat dalam sanubari mereka. Dengan demikian, apabila dewasa, mereka akan mudah menolak segala bentuk kemungkaran kerana ada benteng dalam diri yang menegah mereka membabitkan diri dalam sebarang tindakan merosakkan diri sendiri.

Sesuai dengan Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud: "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad", maka proses pendidikan yang kuat dan mantap akan menjamin program jangka panjang itu berhasil.

Walaupun perlu diingat, ilmu tanpa pengawasan dan tunjuk ajar yang berterusan akan membuatkan ilmu itu tidak berkembang dan sukar pula mencanai dalam pemikiran bagi proses pembentukan peribadi anak.

Peranan mendidik anak tidak harus dilepaskan oleh ibu bapa hanya kepada guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak umpamanya, ibu bapa berperanan besar dalam menentukan sahsiah diri anak mereka.

Ibu bapa dan semua anggota masyarakat yang berumur perlu menunjukkan qudwah hasanah dengan berakhlak mulia akan dapat diteladani anak muda ini. Usahlah membawa mereka ke arah jalan yang boleh merosakkan pemikiran dan akhlak.

Ada waktunya orang dewasa menjadi duri dalam daging dengan menjadi ejen kepada rosaknya pelbagai langkah dan tindakan yang diambil pihak pemerintah.

Sepatutnya ibu bapa dan orang yang berusia perlu berperanan sebijak mungkin dan menyedari kedudukan mereka sebagai pembina sahsiah anak, bukannya perosak dan peruntuh.


INTI PATI
Sahsiah pendidikan anak


  • Ibu bapa memainkan peranan penting menentukan hala tuju dan arah hidup anak. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka terjerumus gejala sosial.

  • Ibu bapa perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan dengan diiringi kasih sayang.

  • Anak memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa. Hubungan erat dengan anak mengelak gejala sosial pada masa depan.

  • Mendidik anak tidak harus dilepaskan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak, ibu bapa berperanan menentukan sahsiah diri anak mereka.
  • Berita Harian, 15 Januari 2007

  • Artikel ini dirasakan amat penting untuk kita sama-sama manfaatkan. Wajarkah ibu bapa dipersalahkan dalam kes seperti ini.
  • No comments: